Sabtu, 5 Mac 2011

TAK TAKUT AZAB NERAKA? TANYA AZWAN KEPADA UMMI HAFILDA

KUALA LUMPUR: Ummi Hafilda Ali diingatkan supaya berhenti memfitnah orang lain sebaliknya berusaha membersihkan dosa yang dilakukan terutama terhadap keluarga sendiri. Peringatan tersebut dibuat oleh adiknya sendiri, Azwan Ali.

Sejak akhir-akhir ini Ummi yang merupakan salah seorang watak utama dalam konspirasi pertama tahun 1998 muncul dan menjaja cerita kononnya beliau tahu keburukan abangnya Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden KEADILAN.

Beliau juga sering mencaci peribadi Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sikap Ummi semakin menjadi-jadi apabila ada pilihan raya kecil. Terbaru, ketika berucap di pentas BN dalam pilihan raya Merlimau, beliau memberi amaran kepada pengundi-pengundi kononnya Anwar merupakan seorang individu yang sangat merbahaya kepada agama dan juga negara.

Dalam SMSya kepada KeadilanDaily.com, Azwan mengingatkan kakaknya bahawa seksaan dari Allah menanti kepada mereka yang melakukan fitnah. “Tak takut azab neraka ker?” kata Azwan.

Sehubungan itu, Azwan yang juga personaliti TV terkenal menasihati Ummi supaya membersihkan diri sendiri sebelum bercakap mengenai orang lain.

“Bersihkan dosa pada adik beradik sebelum nak menyalak berpolitik sambil busukkan darah daging (sendiri). (Ia juga termasuk) dosa kepada saya,” tambah Azwan.

Pada September 1998, ayahnya Haji Ali Omar (Allahyarham) melalui sebuah surat wasiat memutuskan pertalian zuriat dengan Ummi kerana sikapnya yang suka melakukan fitnah.