Khamis, 28 Mei 2009

PILIHANRAYA KECIL PENANTI, KAIN RENTANG BERUNSUR PENGHINAAN SERTA PERKAUMAN MULA DI PASANG UNTUK CUBA MENGALIH SOKONGAN RAKYAT !!

PENANTI - Nampaknya kempen pilihanraya kecil Penanti sedikit tercemar bila ada pihak yang tidak bertanggungjawab tidak habis-habis memainkan isu perkauman bagi menagih simpati kepada rakyat. Bukan setakat itu sahaja, difahamkan terdapat juga banyak poster dan kain rentang yang menghina Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dipasangkan di sekitar Penanti. Terbaru, dua kain rentang terbabit telah ditemui oleh Skuad AMK Pahang yang meronda di kawasan JDM Mengkuang. Kain rentang pertama ditemui di Simpang Institut Tengku Bainun dan kedua di Simpang Tiga Mengkuang. Menurut Ketua Skuad AMK Pahang yang diketuai Kamarul Hatta, Timbalan Ketua AMK Pahang (foto), beliau bersama rakan-rakan iaitu Arman Rashid (Ketua Penerangan AMK Pahang) dan Saiful Adli Sahidan (AMK Bentong) telah meronda seluruh kawasan JDM Mengkuang dan sungguh terkejut bila menemui kain rentang tersebut. Beliau kemudian telah menanggalkan kain rentang tersebut dan dibawa ke Markas Pusat di Yayasan Aman.


"Saya tidak menjangka perkara-perkara begini boleh berlaku di Penanti dan menganggap kali terakhir berlakunya di Pilihanraya Kecil Bukit Gantang dulu. Apa yang berlaku ini jelas membuktikan bahawa memang terdapat pihak-pihak tertentu yang cuba untuk menggunakan api perkauman bagi menagih simpati rakyat " kata Hatta.


Sementara itu Ketua Penerangan AMK Pahang, Arman Rashid pula menganggap poster-poster itu adalah perkara yang jijik dan biadap dan menunjukkan bahawa mereka kini sudah ketandusan idea untuk memenangi hati rakyat supaya terus menyokong mereka sedangkan rakyat kini telah lebih terbuka khusus didalam isu perhubungan kaum. Yang peliknya Perdana Menteri Malaysia melaungkan 1Malaysia yang ingin menggambarkan semua kaum adalah satu bangsa Malaysia tetapi laungan dan slogan serta bicara tidak selari dengan tindakan. Kita yakin kalau UMNO masih begini, UMNO membawa mereka kearah kehancuran dan rakyat akan menghukum mereka didalam Pilihanraya Umum akan datang.

Masalahnya di sini, siapakah yang punya angkara memasang dan mencetak kain rentang ini sebenarnya?. Apakah calon bebas terbabit atau puak-puak UMNO dan Barisan Nasional yang begitu teruja dengan sokongan rakyat terhadapat Anwar dan Pakatan Rakyat mutakhir ini. Nampaknya mereka sudah mula terdesak untuk melakukan tindakan. Dalam masa yang sama mereka takut untuk berhadapan secara "anak jantan" dengan Pakatan Rakyat menerusi pilihanraya. Kini episod "baling batu sembunyi tangan" sudah pun bermula. Soalnya, apakah jika kes seperti ini dilaporkan kepada pihak berkuasa maka mereka akan membuat siasatan dan mendakwa individu terbabit. Sedangkan dalam isu kain rentang "Kami Nak Idris Natang!" di Terengganu dulu masih belum diselesaikan sehingga ke hari ini. Maknanya, pihak polis hanya akan bertindak jika ada kain rentang yang menghina pemimpin UMNO dan BN, sebaliknya yang melibatkan puak-puak mereka sendiri maka siasatan dibuat alar kadar hanya melepaskan batuk ditangga sahaja. Semoga skuad AMK akan dapat membongkar lebih banyak penyelewengan yang berlaku di Pilihanraya Kecil DUN Penanti dalam masa terdekat ini.

AMINAH DAKWA DI UGUT KERANA PENDEDAHAN

BUKIT MERTAJAM: Calon Bebas, Aminah Abdullah (foto) mengakui beliau menerima beberapa ugutan melalui telefon daripada pihak yang tidak dikenali ekoran pendedahan berhubung bukti beliau ditawarkan ganjaran daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti. Aminah berkata melalui panggilan telefon tersebut beliau menerima cacian dan kata-kata kesat yang meminta supaya menarik balik kenyataan dan pendedahan yang dibuatnya sebelum ini. "Kak Min (Aminah) ada menerima satu, dua panggilan ugutan...biasalah, tak perlu layan," katanya dalam sidang media di Simpang Tiga Kubang Ulu hari ini. Isnin lalu Aminah mendedahkan bukti berbentuk rakaman audio perbualan antara beliau bersama dua wakil PKR iaitu seorang Pegawai Khas kepada Exco Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang dan seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR yang cuba menawarkan ganjaran kepadanya termasuk wang sebanyak RM80,000 dan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang. Jelas Aminah panggilan berbaur ugutan tersebut dibuat oleh seorang lelaki yang tidak di kenali. "Lelaki itu telefon dan maki hamun, kalau berani telefonlah menggunakan telefon yang boleh Kak Min hubungi semula. "Ini dia guna telefon awam...pengecut," katanya. Ditanya sama ada pihak polis memberi perlindungan kepada beliau dan keluarga selepas membuat laporan berhubung keselamatannya, Aminah berkata: "Ada...polis ada datang."

Nampaknya calon bebas Aminah Abdullah kini, bukannya berkempen untuk bertemu rakyat bagi memenangi pilihanraya kecil DUN Penanti itu, tetapi beliau masih tercari-cari rentak "songsang" dan cuba untuk memenangi pilihanraya ini berlandaskan ehsan parti komponen BN iaitu SPR sendiri, melalui jalan belakang sebenarnya.

NAFI ATUR PERTEMUAN, CABAR PKR BERI BUKTI

BUKIT MERTAJAM [1.30 pm] - Calon Bebas pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Aminah Abdullah (foto), menafikan beliau yang mengatur pertemuan dengan dua ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 13 Mei lalu. Sebaliknya, katanya, pertemuan itu diaturkan seorang daripada mereka yang menghubungi beliau untuk menyatakan hasrat berjumpa di rumahnya di Jelutong, Pulau Pinang. Aminah yang juga bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, turut mencabar Pengerusi Perhubungan PKR negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim supaya mendedahkan satu peristiwa berlaku di sebuah hotel di Nibong Tebal yang berkaitan soal maruah. "Saya beri masa selama 24 jam untuk menjawabnya," katanya.

Aminah Abdullah kini bebas mengeluarkan kenyataan seolah-olah ada pihak dibelakangnya yang sedang menjaga beliau. Apakah Aminah sebenarnya merupakan calon tajaan UMNO dan Barisan Nasional di DUN Penanti. Sila siasat siapakah jentera kerja beliau ketika kempen pilihanraya ini sekarang. Mungkin juga puak-puak UMNO sendiri.

FITNAH, ANWAR MENFAILKAN SAMAN RM100 JUTA

KUALA LUMPUR - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim (foto), memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Menteri Luar, Datuk Anifah Aman dan Kerajaan Malaysia. Anwar mendakwa beliau difitnah Anifah pada sidang media di Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat di Washington. Dalam pernyataan tutntutannya, Anwar mendakwa Anifah memfitnahnya apabila menyatakan beliau menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan wang untuk beliau melompat parti.

Langkah yang diambil oleh Anwar adalah wajar bagi memberi pengajaran kepada Menteri UMNO, Anifah Aman agar tidak berkokok terus diluar negara pada masa yang akan datang. Beliau sepatutnya menyatakan pandangan dan hala tuju kerajaan dan bukannya menyalahkan individu-individu tertentu di luar negara tambahan pula di Amerika yang selama ini dituduh mempunyai hubungan rapat dengan Anwar.

Sabtu, 16 Mei 2009

PROJEK 'KERAJAAN BARISAN NASIONAL??


Papan tanda projek yang mengelirukan rakyat

PROJEK KERAJAAN BARISAN NASIONAL?. Betul ke apa yang tertulis ni?. Buat balai polis, buat hospital, buat jambatan, buat jalan semua ada papan tanda projek yang tertulis 'Projek Kerajaan Barisan Nasional'. Apa betul ke duit untuk buat projek ni Barisan Nasional yang keluarkan?. Kalau betul, memang kayalah Parti Barisan Nasional ni ye, jadi untuk menjaga imej BN yang mewah ni bolehlah langsaikan hutang perkakasan pilihanraya yang lepas kepada Elegant Advisory yang berjumlah RM 218 juta tu. Setakat RM 218 juta apa ada, celah gigi je tu. BN juga nampak betul pemurah kerana mengeluarkan duit parti untuk pembangunan negara.

Kalau orang yang tak sekolah bolehlah ditipu, hakikat sebenarnya satu sen pun tak guna duit mereka. Rakyat semua mesti fahamkan dengan jelas pekara ni kerana segala peruntukan untuk menjalankan semua diulangi SEMUA projek-projek kerajaan adalah menggunakan duit rakyat. DUIT RAKYAT!. Ini kerana kebanyakkan masyarakat di kampung-kampung selalu berkata 'Siapa yang bagi sekolah, hospital, jalan raya, baja, jambatan kalau bukan BN'. Untuk anak-anak masyarakat di kampung yang celik IT dan membaca maklumat ni, tolong perbetulkan tanggapan orang tua kita sekiranya mereka masih lagi menggunakan alasan tersebut untuk menyokong BN terus menerus. Memang benar projek-projek kerajaan adalah di bawah perancangan BN tetapi janganlah guna lambang dacing untuk papan tanda projek seolah-olah projek tu projek peribadi mereka. Apalah salahnya digunakan lambang kerajaan persekutuan ataupun lambang kerajaan negeri seandainya projek kerajaan negeri, tak boleh ke?. Sekiranya betul rakyat diutamakan sekarang ni, lakukan sedemikian. Jangan di media massa saja lebih.


Baja subsidi yang dipolitikkan dengan berlambangkan dacing

Kami berharap rakyat terutama masyarakat di kampung yang celik IT agar dapat membuat keputusan yang sewajarnya apabila tiba musim pilihanraya nanti. Janganlah diteruskan ke anak cucu pemahaman yang singkat dan terus menerus menyokong BN kerana takut tak dapat jambatan, sekolah, ataupun jalan raya baru. Sebagai rakyat sudah menjadi hak kita untuk meminta sebarang kemajuan di penempatan kita selagi ianya terletak di bawah tanggungan kerajaan dan menjadi tanggungjawab setiap pemerintah untuk memberikan kepada rakyat tanpa menunggu bila tiba pilihanraya saja kerana duit peruntukkan itu duit rakyat. Ingat semua, ITU DUIT RAKYAT!

Selasa, 12 Mei 2009

MAMAK YANG KALUT



Memang SAH kelakar!. Memang dah agak dah pekara seperti ini akan berlaku. Mahkamah Tinggi kata sah, Zambry Mamak kata tak sah, mana yang betul ni?. Barisan Nasional memang patut kendalikan Raja Lawak kerana berjaya menjalankan acara paling lawak tahun ni. Kalau nak diikutkan ceritanya memang orang semua tahu yang Zambry Mamak sebenar-benarnya TIDAK PERNAH menduduki tempat Menteri Besar yang sah sebab Perak sememangnya sudah mempunyai Menteri Besar iaitu DATO SERI NIZAR JAMALUDDIN.

Semenjak pilihanraya 2008 yang telah membaham Barisan Nasional, Perak telah ditadbir oleh seorang Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat Perak dan Dato Seri Nizarlah orangnya bukannya Zambry Mamak. Oleh kerana terjadinya RAMPASAN KUASA di Perak, kes ini akhirnya tiba untuk dinilai oleh Mahkamah Tinggi. Memang benar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Azlan Shah telah melantik Zambry Mamak sebagai Menteri Besar Perak untuk menggantikan Dato Seri Nizar akan tetapi Perak telah pun mempunyai Menteri Besar dan Menteri Besar itu TIDAK PERNAH melucut@terlucut jawatan atau terjadi apa-apa pun yang menyebabkan kerusi Menteri Besar itu kosong.

Oleh kerana kekalutan yang teramat sangat dalam hal ini, kes telah dirujuk ke Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan pengistiharan dan Mahkamah Tinggi telah menetapkan Dato Seri Nizar SAH sebagai Menteri Besar Perak mengikut perlembagaan. Kemudian Zambry Mamak telah mengemukakan rayuan penangguhan pengistiharan tersebut kepada Mahkamah Rayuan dan Zambry Mamak telah berjaya menghalang nizar untuk menjadi Menteri Besar Perak semula. Zambry dengan penuh sombongnya telah meminta Dato Seri Nizar untuk menghormati undang-undang sedangkan dia tidak. Betapa tak malunya.

Kes ini pastinya akan tercatat di dalam MALAYSIAN LAW JOURNAL sebagai kes yang paling lawak sekali di Malaysia. Kami di PAKATAN RAKYAT telah mengusulkan supaya dibubarkan Dun Perak dan pilihanraya negeri diadakan untuk menguraikan kekusutan yang maha kalut ini tetapi BN yang terkenal sekarang ini dengan konsep SATU MALAYSIAnya tidak berani untuk bertarung kerana takutkan kuasa rakyat yang sedang memuncak. Mana dia perginya 'Rakyat diutamakan'?. Seandainya rakyat diutamakan, berikan kuasa kepada rakyat untuk menentukan siapa yang sepatutnya mentadbir negeri PERAK DARUL RIDZUAN.

Isnin, 11 Mei 2009

ALLAH S.W.T BERKATI DATO SERI NIZAR


Kami di Angkatan Muda KeADILan Bahagian Parit Sulong mengucapkan tahniah kepada Pakatan Rakyat Perak kerana berjaya menjulang Dato Seri Nizar semula sebagai menteri besar Perak. Berkat kesabaran dan kegigihan Pakatan Rakyat Perak disertai dengan sokongan rakyat Perak kejayaan akhirnya diraih dengan bermaruah. Kami yang jauh di sini tumpang berbangga setelah berbagai bentuk halangan yang BN adakan, mereka tetap utuh bersatu merempuh untuk mendirikan demokrasi di negeri darul Ridzuan.

Diharap Zambry Mamak dan kuncu UMNOnya bawa bersabar banyak-banyak di atas kebenaran yang telah dibuktikan oleh mahkamah. Jangan pula ditangkap hakim yang telah memutuskan Dato Seri Nizar sebagai menteri besar Perak dan diheret keluar mahkamah pula. Mungkin selepas ini Zambry Mamak bolehlah mengajak kuncu-kuncunya bersidang kat Warong pula.

Akhir kata dari kami syukur kepada Allah S.W.T kerana tanpa izinNya segala yang diusahakan takkan termakbul. Jadi sewajarnya kita di pihak Pakatan Rakyat dan juga penyokong-penyokong sekalian bermuhasabah diri dengan apa yang terjadi. Jangan biarkan diri anda diselubungi Barisan Nasional....

Ahad, 10 Mei 2009

KONTROVERSI, NAJIB JANGAN EGO KONONNYA ADUN PEMBANGKANG CEMARKAN MARUAH NEGARA SELAGI IMEJ DIRI DAN ISTERINYA TERCEMAR DI MATA DUNIA.



Menatap gambar di atas ini, seakan tiada apa yang tidak kena. Namun selepas diamati betul-betul, ternyata memang sudah tidak syak lagi bahawa memang ia menjatuhkan dan mencemarkan imej negara di mata dunia sebenarnya. Sebagai seorang isteri pemimpin dari negara Islam Hadhari, Rosmah Mansor telah gagal "menutup aurat" iaitu satu kewajipan kepada tiap-tiap wanita Islam. Bahkan haram hukumnya bagi para wanita yang mendedahkan aurat. Apakah mufti-mufti dan ulamak di negara ini tidak sedar dan tidak mahu cuba menegur imej isteri Najib Razak itu agaknya?. Atau mereka lebih rela berdiam diri demi mencari sesuap nasi di bumi ini. Apakah jika menegur sesuatu yang sudah termaktub di dalam kitab Al-Quran itu boleh dianggap salah dan akan dihukum dengan seberat-berat hukuman?. Atau, mungkin juga mereka semua tidak sanggup untuk kehilangan pekerjaan. Apakah dunia lebih dipandang dari akhirat yang kekal abadi buat selamanya. Inilah yang dikatakan "ulamak dunia", hanya mampu melihat dan memendamkan rasa sahaja. Apakah yang bakal mereka jawab nanti di akhirat kelak. Apakah mereka sanggup berkompromi dengan pemerintah yang kononnnya Islam dari negara Islam Hadhari yang tidak melaksanakan Islam itu sendiri. Kuasa yang sudah ada, namun dibiarkan sewenang-wenangnya. Inilah imej sebenar ulamak di Malaysia hari ini. Takut dan menikus dari menyatakan pandangan serta teguran terutamanya kepada pemimpin UMNO dan Barisan Nasional itu sendiri.Bukan Rosmah sahaja yang tidak menutup aurat. Sebenarnya ramai lagi pemimpin wanita UMNO yang berimej demikian sebenarnya. Namun, amat mengecewakan bilamana Rosmah Mansor gagal untuk melaksanakan tuntutan Islam itu hatta dalam majlis yang bercorak Islamik itu sendiri. Ini kerana mengikut laporan media gambar yang diambil itu adalah ketika "NAJIB dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor diberi penerangan Pembantu Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia, Adline Abdul Ghani mengenai Maqamat Al-Hariri selepas merasmikan Galeri Khas 2 Muzium Kesenian Islam Malaysia, semalam". Bukankan beliau sedang berada di Muzium Kesenian Islam Malaysia, maka seharusnya sebagai isteri pemimpin Islam beliau wajar berimejkan wanita Islam itu sendiri atau setidak-tidaknya mengenakan tudung kepala ala "Rafidah Aziz" dan "Shahrizat Jalil". Namun, nampaknya Rosmah telah gagal melaksanakan tanggungjawab itu. Ini juga bermakna Najib Razak telah gagal untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin Islam untuk menyuruh dan membimbing isterintya menutup aurat. Apakah pula hukumnya mereka yang melantik dan memilih beliau berkuasa itu. Bukankah, dosanya juga akan terpalit kepada mereka yang memilih pemimpin terbabit. Justeru itu renung-renungkanlah wahai sahabatku semua. Ingatlah, bahawa segalanya ini bukan omongan kosong belaka. Cubalah bertanya kepada menteri agama mereka seperti Dr.Mashitah Ibrahim atau Mejar (B) Jamil Khir Baharom yang baru dilantik itu. Apakah hukumnya jika seorang wanita Islam itu mendedahkan auratnya (Rambut) dikhalayak ramai?.

Inilah gaya "tutup aurat" dua wanita Islam Melayu UMNO
Inilah gaya "tutup aurat" dua wanita Islam Melayu UMNO
Najib berkata ADUN Pakatan Rakyat telah memalukan imej negara dengan insiden yang berlaku dalam sidang DUN Perak baru-baru ini. Soalnya sekarang, mana yang lebih malu bila seorang isteri pemimpin Islam dunia tidak menutup aurat dikhlayak ramai. Apakah hukumnya?. Malah, imej negara yang sudah tercemar dengan pendedahan penglibatan Najib Razak dalam kes Altantunya dalam beberapa buah akhbar sebelum ini pun masih belum dibersihkan dan dijawab oleh beliau. Malah, tindakan najib yang enggan menyaman akhbar-akhbar terbabit jelas sekali telah menjatuhkan imej negara sebenarnya. Justeru itu, beliau tidak boleh menyalahkan ADUN Pakatan Rakyat kononnya menjatuhkan imej negara selagi imej dirinya masih belum pulih dimata rakyat dan juga dunia.

Jumaat, 8 Mei 2009

ADA BERANI KE DATUK??



Hai, apa nak jadi dengan negeri Perak yang satu ni?. Makin hari makin kelakar perkembangan politik kat Perak. Kawan taklah bermaksud nak menyibuk pasal negeri orang lain dan lupakan gelanggang tempat sendiri tapi kawan juga rakyat Malaysia dan Perak sebahagian daripada negara kita yang tercinta ni maka harus juga kita mengambil tahu. Kalau ikut berita arus perdana memang nampak orang-orang Pakatan Rakyat yang biadap(bak kata Zambry Mamak) tapi dari apa yang kita semua lihat terang-terang menunjukkan kebaculan BN. Apa yang susah sangat sampai nak bergaduh dalam dewan rebutkan negeri Perak. Kalau betul-betul anak jantan masing-masing lawanlah cara bermaruah. Apa lagi, pilihanraya negerilah. Biar rakyat yang tentukan siapa yang akan memerintah Perak, baru puas hati. Bukan setakat rakyat Perak je setuju, satu Malaysia pun setuju sampaikan Majlis Peguam(Bar Council) pun cadangkan macam tu.

Ingat dulu masa zaman bebudak sekolah, bila tiba masa bergaduh mesti ajak lawan satu sama satu( one by one), mana ada panggil geng reramai nak belasah sorang je. Labu dan Labi pun nak rebutkan Manisah kena lawan boxing pasal nak tentukan siapa dapat Manisah. Mana-mana negara dalam dunia ni pun kalau dah berlaku perebutan kuasa mesti diadakan pilihanraya sebab itulah caranya orang bermaruah berpolitik. Biar rakyat yang tentukan, ada berani? (nampak sangat tak berani).

Kalau macam nilah cara BN berpolitik memang alamat tak lamalah memerintah. Zambry kena ingat rakyat sekarang bukan 'dok bawah tempurung lagi'. Orang sekarang ni dah 'melihat dari mata burung'. Apa lagi nak ditipunya. 2-3 tahun lagi mesti ada pilihanraya, ingat orang nak pilih awak, jangan harap!. Setakat merampas kuasa macam gerila bolehla, semua dok sebelah dia. Ini yang dikatakan penakut. 'Orang lain tangan kosong, dia pakai parang. Orang pakai pistol, dia pakai meriam'. Ini macam ke ada maruah? Anak-anak jantan yang terbaca ni renung-renungkanlah. Nanti bila tiba pilihanraya jangan sampai salah pilih pulak ye.

V.SIVAKUMAR DI BAWA KELUAR DUN SECARA PAKSA

IPOH [3.30 pm] - Beberapa orang lelaki ala samseng telah dibawa masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri Perak untuk membantu "rampasan kuasa speaker" sebentar tadi. V.Sivakumar telah diheret keluar secara paksa dan tempat duduk speaker telah digantikan oleh R.Ganesan. Beliau kelihatan terjatuh semasa diangkut keluar di luar Dewan. Kerusi yang didudukinya juga dibawa keluar. Kira-kira 30 anggota memasuki DUN sebaik sahaja berlaku pergelutan antara anggota Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat. Tidak diketahui siapakah individu yang menceroboh ke dalam dewan yang mulia itu. Namun, difahamkan mereka adalah anggota pasukan polis yang memakai pakaian preman sebenarnya.

Kecoh, bila Speaker DUN Perak V.Sivakumar telah diseret keluar dewan Biadap dan zalim bila Speaker DUN Sivakumar diseret keluar dewan[Tindakan mengheret Sivakumar keluar dewan adalah satu kerja biadap yang tidak wajar berlaku dalam dewan yang mulia sebenarnya. Namun, dek kerana gila kuasa pemimpin UMNO yang diketui oleh Zambry telah menggunakan kuasa untuk mengupah individu yang tidak dikenali menceroboh masuk ke dewan dan menghalang ADUN Pakatan Rakyat daripada mempertikaikan segala keputusan yang dibuat mereka].
Kecoh, bila Speaker DUN Perak V.Sivakumar telah diseret keluar dewan
Biadap dan zalim bila Speaker DUN Sivakumar diseret keluar dewan

Khamis, 7 Mei 2009

INFORMASI TERKINI SIDANG DUN PERAK


Kecoh, suasana di dalam DUN Perak begitu panas dan mendebarkan

11.23 pagi - Bekas ADUN Sungkai, Datuk P Ganesan dilantik sebagai Speaker dan pada masa sama V Sivakumar masih di tempatnya.
11.00 pagi - Bekas ADUN Sungkai, S Ganeson, bangun dan angkat sumpah sebagai Speaker Dewan. Sivakumar, bagaimanapun masih berada di tempatnya dan pertikaman lidah terus berlaku.
10.58 pagi - Cadangan ganti Sivakumar disahkan Yit Foong
10.55 pagi - Menteri Besar BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, bangun cadangkan bekas ADUN Sungkai ganti Sivakumar sebagai Speaker, disokong Exco Kanan, Datuk Hamidah
10.50 pagi - ADUN Bebas, Yit Foong, mencelah beliau mahu ambil alih perjalanan Dewan daripada Sivakumar. Beliau dakwa sebagai Timbalan Speaker kini miliki majoriti sokongan ahli Dewan untuk jalankan tugas Speaker.
10.41 pagi - Menteri Besar BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kemukakan usul pecat Speaker, V Sivakumar dan disokong semua Adun Barisan Nasional (BN) dan Bebas tetapi ditolak oleh Speaker sendiri.
10.26 pagi - Beberapa lagi penyokong parti ditahan. Masih ada kira-kira 500 berkumpul di pintu depan bangunan Setiausah Kerajaan Negeri Perak.
10.00 pagi - Suasana masih kecoh dalam Dewan, Speaker, V Sivakumar, terus desak Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, enam Exco dan tiga Adun Bebas keluar dewan dan tegaskan keputusan beliau adalah muktamad dan tidak akan benarkan perasmian sidang selagi mereka terbabit tidak keluar Dewan.



9.30 pagi - Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah, tiba untukmerasmikan pembukaan mesyuarat pertama persidangan penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini. Keberangkatan tiba baginda dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara, di perkarangan bangunan itu disambut Menteri Besar BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Yang Dipertua Dewan, V Sivakumar dan timbalannya, Hee Yit Foong serta barisan Exco kerajaan negeri. Sejurus kemudian, Raja Dr Nazrin menaiki Peterana Diraja dan menerima hormat diraja daripada pasukan kawalan kehormatan yang dibarisi 105 pegawai dan anggota batalion 1 Pasukan Gerak Am Polis Diraja Malaysia (PDRM) Hulu Kinta dan lagu rasmi negeri Perak dimainkan oleh Pancaragam PDRM Cawangan Kedah.
8.45 pagi -Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan kerana membawa poster, memakai baju hitam dan lilitan dengan tulisan 'BUBAR DUN".

BERSEJARAH DALAM POLITIK NEGARA, DUA LOKASI SATU PERISTIWA BAKAL BELAKU HARI INI MAKA SIAPAKAH MB PERAK YANG SAH SEBENARNYA


Dua peristiwa besar akan berlaku di dua lokasi berbeza pagi ini. Entah apa yang terjadi, nampak benar ia bagai sesuatu yang tidak kena dan masuk dek akal. Kedua-dua persitiwa yang berlaku pagi ini adalah berkaitan dengan Kerajaan Negeri Perak yang sedang dilanda kemelut yang paling parah hari ini. Satu peristiwa akan berlaku di negeri Perak, iaitu Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Pejabat Kerajaan Negeri Perak di Ipoh, manakala satu lagi ialah di Mahkamah Tinggi Jalan Duta dimana perbicaraan kes siapakah Menteri Besar Perak yang sah akan juga diputuskan pagi ini. Makanya, kedua-dua persitiwa bersejarah ini pastinya akan menjadi perhatian rakyat Malaysia seantero dunia. Nampaknya, apa yang berlaku ini bakal mengundang permasalahan yang lebih besar sebenarnya. Kedua-dua keputusan yang berlaku pasti tidak akan dapat diterima oleh rakyat Perak, melainkan pembubaran DUN dilakukan oleh Sultan Perak sendiri. Dalam keadaan yang cukup kritikal sekarang ini, apa pun boleh berlaku. Mahkamah boleh menukar keputusan secara tiba-tiba jika hakim ditekan oleh pihak berkenaan. Jika berlaku Zambry dikatakan MB yang sah, sudah pasti ia akan menyebabkan rakyat memberontak dan kecewa dengan perkara ini. Manakala jika Ir.Nizar pula diperakui sebagai MB yang sah, apakah Zambry dan konco-konconya dapat menerima semaunya ini. Bukankah sesuatu yang lebih panas pasti akan berlaku jika Sultan Perak tidak membubarkan DUN dalam masa terdekat ini. Justeru itu, Sultan Perak diseru memberi perhatian akan perkara ini dengan serius dan profesional. Serahkan semula kuasa kepada rakyat.
Dua lokasi dan satu peristiwa besar yang pasti menghangatkan negara

SIDANG DEWAN UNDANGAN NEGERI PERAK, SIVAKUMAR BAKAL MEMUTUSKAN TIGA HINGGA EMPAT PERKARA PENTING UNTUK DILAKSANAKAN OLEH BELIAU




IPOH - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berhadapan dengan kemungkinan hilang jawatannya pagi ini telah memutuskan tindakan berhubung tiga hingga empat perkara penting untuk dilaksanakan apabila sidang DUN bermula. "Saya sudah buat keputusan berkaitan banyak perkata, tiga hingga empat perkara. "Ada beberapa lagi belum saya putuskan," kata beliau. Bagaimanapun beliau enggan menyatakan butiran tentang keputusan yang telah pun ditentukan tindakannya. Ketika ditanya sama ada akan menolak dua usul yang dikemukakan oleh BN, V.Sivakumar (foto) yang merupakan ADUN Pakatan Rakyat enggan mengulas lanjut sambil meminta menunggu hingga pagi ini. BN mengemukakan usul agar Sivakumar digantikan oleh wakilnya dari MIC sebagai Speaker yang baru. Bagaimanapun Sivakumar menekankan bahawa beliau sebagai Speaker mempunyai hak untuk menerima ataupun menolak mana-mana usul. "Itu adalah kuasa Speaker," katanya yang turut enggan mengulas sama ada akan membenarkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam exconya yang lain masuk ke Dewan pagi ini. "Itu soalan serius. Saya tahu mahu menjawab," katanya. Semalam bekas Exco Kanan semasa kerajaan negeri diterajui Pakatan Rakyat berkata, Zambry dan enam Exco yang lain masih tidak layak untuk mengambil bahagian dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perak penggal baru pagi ini.