Jumaat, 27 Mei 2011

NAIK TARIF ELEKTRIK BUKTI KERAJAAN BELA KRONI IPP


KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak memiliki kesungguhan untuk membela nasib rakyat apabila membuat keputusan menaikkan tarif elektrik yang akan diumum Isnin ini, kata Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

Ini kerana katanya, kerajaan lebih berminat menanggung subsidi kepada sektor korporat seperti Syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP), bernilai RM19 bilion hingga RM22 bilion setiap tahun, berbanding menjaga kebajikan rakyat.

“BN tidak prihatin kepada rakyat walaupun menggunakan slogan rakyat didahulukan. Buktinya subsidi kepada IPP tidak ditarikbalik sedangkan mereka menikmati subsidi yang tinggi.

“Tetapi rakyat terpaksa bayar harga elektrik dengan kadar yang mahal,” katanya.

Menurutnya, ketika banyak banyak negara mengeluarkan subsidi untuk menampung keperluan rakyatnya, Malaysia pula mengambil langkah mundur untuk membantu syarikat kroni besar.

“Ketika harga makanan dan barangan semakin naik, negara seperti Taiwan dan Korea memberikan subsidi yang besar kepada rakyatnya supaya tidak merasa terbeban dengan kenaikan tersebut.

“Negara kita pula, yang mengeluarkan minyak dan mampu menjana tenaga elektrik, menaikkan tarif eletrik,” katanya yang juga Bendahari Agung KEADILAN.

Katanya, keputusan itu lebih menguntungkan syarikat konsesi IPP yang besar sedangkan fungsi itu sepatutnya diambil alih TNB sendiri.

Kuasa yang dijana IPP katanya, memenuhi 60 peratus daripada keperluan tenaga negara berbanding TNB membekalkan 40 peratus.

“Kita tanya kepada syarikat IPP utama ini, YTL Corporation Berhad yang dipunyai Yeoh Teong Lay, Tanjung PLC (Ananda Krishnan), Malakoff Corporation (Syed Mokhtar Bukhari) dan Genting Sanyen – ini adalah mereka yang menikmati keuntungan yang besar.

“Apa sebabnya mereka menikmati keuntungan ini dan kemudian menjual lebih mahal kepada TNB sedangkan TNB sendiri boleh menjanakan tenaga elektrik,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya langkah yang akan diambil Pakatan sekiranya memenangi pilihan raya umum, adalah menyemak kembali perjanjian dengan syarikat berkenaan seperti terkandung dalam Buku Jingga.

“Elektrik seperti air, ia adalah keperluan dan hak asasai rakyat dan tidak boleh digunakan untuk mendapat keuntungan,” katanya.

Pakatan Rakyat sebelum ini berulangkali menegaskan bahawa kerajaan berupaya untuk mengelakkan kenaikan tarif elektrik.

Jika dibandingkan negara jiran seperti Thailand, tarif elektrik di negara itu jauh lebih rendah iaitu perbezaan antara 22 peratus hingga 48 peratus.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan itu sebenarnya disebabkan perjanjian berat sebelah yang dipaksakan ke atas TNB.

Harga yang dibeli dari IPP itu jauh lebih tinggi dari harga tenaga yang dihasilkan TNB sendiri, sekaligus menyebabkan IPP mengaut keuntungan besar.


Rabu, 18 Mei 2011

MALAYSIA BERADA DALAM KEBERHUTANGAN YANG AGAK SERIUS



Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang hari ini mendedahkan bahawa hutang negara pada tahun lalu berjumlah RM362.39 bilion, iaitu paras yang paling tinggi dalam tempoh lima tahun.
Hutang itu mencakupi 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK), kali pertama keadaan itu berlaku dalam sejarah negara, kata beliau dalam laporan tahunan terbaru yang di bentangkan di Parlimen hari ini.

Hutang RM362.39 bilion ringgit yang disebut dalam laporan audit itu juga jauh lebih tinggi daripada RM233.92 billion yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Jun lalu.

Ketika itu Najib juga mendakwa hutang itu hanya mencakupi 34.3 peratus KDNK. Dalam laporannya hari ini, Ketua Audit Negara menjelaskan hutang kerajaan meningkat dengan mendadak kerana hutang dalam negara yang semakin membesar. Hutang kerajaan di dalam negara (domestic debt) pada tahun lalu adalah RM348.60 bilion atau 96.2 peratus keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan Dari sini, dapat dilihat Perdana Menteri kita tidak bersifat jujur dalam menutur apa yang sebenarnya berlaku. Rakyat berhak tahu dalam perkara ini. Hutang sebenar Malaysia iaitu RM 362.39 bilion itu adalah mencakupi lebih dari 50% KDNK, iaitu pada 53.7 peratus. Bermakna Malaysia telah berada dalam keberhutangan yang agak serius buat pertama kali dalam sejarahnya sendiri.

Soalnya di sini, mengapa perlu berdolak-dalih untuk mengatakan perkara yang benar? Kalau hutang negara RM 362.39, cakap betul-betul. Tak perlulah nak menipu dalam ucapan Bajet 2011 tempohari dengan mengatakan hutang Malaysia berjumlah RM 233.92 Bilion.

Sangat besar perbezaan nilai di situ iaitu lebih RM 130 bilion! Bukan RM 130. Seperti artikel yang di paparkan pada tempohari berkenaan hutang negara yang perlu dilunaskan dalam tempoh tiga tahun, dengan kenyataan dan angka terbaru yang diberikan oleh Ketua Audit Negara ini, sah Malaysia telah berhutang melebihi KDNK yang sepatutnya berada pada paras maksimum 40%.

Dengan jumlah hutang sebenar yang banyak ini, ditambah pula dengan pelbagai lagi Projek Mega yang bakal dibina seperti Menara Warisan dan yang lain-lainnya, di mana sebenarnya terletak slogan ” Rakyat Di Dahulukan, Pencapaian Di Utamakan”?

Sudah pasti dengan jumlah hutang yang besar ini, kerajaan juga terpaksa memikirkan cara untuk mengaut kembali wang-wang yang telah dibazirkan. Dan di antara langkah-langkah yang pasti, adalah menaikkan cukai, dimana kerajaan dapat memungut hasil secara langsung dan tidak langsung.

Akhirnya, ianya kembali membebankan rakyat. Mungkin golongan rakyat yang mewah, tidak merasakan apa-apa, namun kita perlu ingat bahawa, golongan rakyat di Malaysia ini juga dah jadi macam Piramid. Di mana, golongan pertengahan dan golongan miskin yang menjadi mangsa di atas kecuaian dan pembaziran kerajaan.

Isnin, 9 Mei 2011

JOHOR BAKAL MUFLIS 2012



Mengejutkan! Sebagai salah sebuah negeri yang dianggap maju di Malaysia dengan jumlah pelaburan berbilion setahun, kenyataan di atas mungkin disangka keterlaluan. Tetapi inilah realiti yang harus diterima oleh rakyat johor.

Bagaimana Johor boleh muflis? Antara penyebabnya ialah hutang Johor Corporation (JCorp) yang berjumlah RM 4.032 billion. Apa kaitan JCorp dengan kerajaan Negeri Johor? JCorp merupakan salah sebuah GLC dalam kerajaan negeri.

Bagaimana hutang JCorp boleh menyebabkan Johor muflis? Pada 2002, JCorp telah menerbitkan Bon (surat hutang) berjumlah RM4.032 billion dengan Kerajaan Negeri Johor sebagai penjaminnya. Tempoh matang bon-bon tersebut adalah pada 2007, 2009 dan 2012. Dalam sidang DUN Johor 8 September 2009, JCorp telah menebus bayar sebanyak RM393.76 juta (bon yang matang 2007) dan RM694.98 juta (bon yang matang 2009). Jumlah baki bon yang perlu ditebus pada 31 Julai 2012 adalah RM3.58billion!

Bolehkah JCorp membayar hutangnya menjelang 2012? Keuntungan sebelum cukai JCorp adalah lebih kurang RM600 juta setahun. Diulang "sebelum cukai". Ini bermakna menjelang 2012 , dijangkakan JCorp hanya akan mampu menyediakan RM1.5 billion bagi menebus bayar bon.

Apa implikasi kepada kerajaan negeri? Sebagai penjamin, kerajaan negeri harus menanggung beban hutang JCorp yang tidak mampu dibayar sebanyak RM2 billion. Kegagalan untuk berbuat demikian, kerajaan negeri boleh diheret ke mahkamah dan diisytiharkan MUFLIS!

Bolehkah kerajaan negeri menampung hutang JCorp sebanyak RM2 billion? Dengan keadaan belanjawan defisit (perbelanjaan melebihi pendapatan) yang dialami oleh kerajaan negeri dan nisbah kecairan tunai yang kecil sekitar RM201.53 juta (tunai RM36.37 juta & pelaburan RM165.16 juta), untuk menampung kos pentadbiran sahaja kerajaan negeri dijangkakan mampu bertahan selama 3 bulan.

Apakah cara atau jalan yang digunakan oleh kerajaan BN Johor bagi menyelamatkan keadaan? Menjual aset-aset ataupun hartanah strategik milik rakyat Johor. Antara hartanah yang dipercayai telah dijual ialah:

1. Menara Pejabat Plaza Kotaraya dijual kepada Iskandar Investment Berhad (IIB)

2. Tapak CIQ Stulang juga dijual kepada IIB

Malah jika anda sering melalui jalan Kota Tinggi - Bandar Tenggara, anda mungkin perasan papan tanda Johor Tenggara Oil Palm (JTOP) telah digantikan dengan papan tanda Tradewind. Apakah ini juga bermakna JTOP juga telah dijual?

Selepas ini apa pula yang akan dijual? Aset atau hartanah milik kerajaan negeri dan JCorp adalah sebenarnya milik khazanah dan pusaka rakyat Johor dan bukannya milik UMNO/BN!