KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar digesa melepaskan jawatannya kerana tidak mampu menangani penyebaran video seks fitnah, tegas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf.
Terbaru, versi hampir lengkap klip video seks tersebut sekali lagi diedar di internet. Tiga video berkenaan dimuat-naik di sebuah blog bernama anwarcctv.
“Ia menggambarkan kelemahan pihak polis yang menunjukkan penekanan tidak diberikan kepada pihak polis untuk menangkap penjenayah yang menyebarkan video ini. Ini menunjukkan bukti bahawa ia merupakan satu jenayah terancang.
“Justeru, Tan Sri Ismail Omar wajar meletakkan jawatannya sebagai Ketua Polis Negara kerana gagal menangani penyebaran video seks ini dan menangkap dalang di sebaliknya,” ujarnya.
Menurutnya, video itu bukan sahaja memalukan Malaysia di mata umum, malah memberi kesan negatif kepada masyarakat, terutama kanak-kanak.
Namun sehingga hari ini, katanya, tidak ada seorang pun yang ditangkap kerana mengedar dan menayangkannya kepada umum, meskipun ia terang-terang melanggar undang-undang di bawah Seksyen 5 Akta Penapisan Filem dan Seksyen 292 kanun keseksaan.
“Sepatutnya tindakan tegas perlu diambil, tetapi sehingga hari ini, pihak polis termasuk juga Suruhanjaya Komunikasi Media (SKMM) gagal mengambil sebarang tindakan kepada penjenayah terbabit,” ujar Yusmadi.
Katanya lagi, tindakan polis yang berdiam diri dengan penyebaran klip itu di internet dan sebaran video yang meluas termasuk di kampung-kampung, seolah-olah merestui perbuatan itu.
“Ini juga menunjukkan kecuaian pihak polis yang gagal untuk meyakinkan rakyat dalam membanteras jenayah,” ujarnya.
Video tersebut sebelum ini ditayang kepada sekumpulan wartawan oleh Trio Datuk T yang terdiri daripada ahli Perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan bekas bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim, Mac lalu.
Bagaimanapun, Pakatan Rakyat menafikan sekeras-kerasnya individu dalam rakaman itu adalah Anwar. Salah seorang Ahli parlimen Pakatan yang dibawa menonton rakaman itu, Datuk Johari Abdul menafikan perkara itu berdasarkan bentuk tubuh dan lenggok lelaki terbabit.
KEADILAN juga mengeluarkan bukti seperti potongan rambut lelaki berkenaan, bahagian dada dan perut lelaki itu yang jauh berbeza dengan Anwar.
Sebelum ini, trio berkenaan dan pihak polis juga membuat kenyataan bercanggah antara satu sama lain.
Shazryl Eskay menyatakan pelaku wanita dalam video itu adalah seorang pelacur China manakala polis pula mendakwa wanita itu adalah seorang penuntut salah sebuah kolej swasta. Eskay juga menyatakan video itu dirakam di sebuah hotel manakala polis pula menyatakan ia dirakam di sebuah kondominium di ibu negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan