Isu terbaru tentang hudud, atau lebih tepat lagi, isu yang dikitar semula dari semasa ke semasa, lebih mencerminkan permainan politik daripada penegasan mengenai akidah atau agama.
Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad yang sentiasa dahagakan publisiti mencabar PAS supaya melaksanakan hudud di Kelantan, kepimpinan parti itu menempelak bekas Perdana Menteri yang telah menghantar suta pada 1994 mengugut mahu mengambil tindakan undang-undang jika Kelantan bertegas mahu melaksanakan Kanun Jenayah Syariah (II) berkaitan hukum hudud.
Apabila Pengerusi DAP Karpal Singah menolak pelaksanaan hudud kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dilaporkan berkata beliau rela jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat kalau tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu melaksanakan hukum hudud.
Maka ghairahlah pecacai UMNO, termasuk media kawalan mereka serta blogger upahan, memulakan serangan terhadap Pakatan Rakyat terhadap apa yang digambarkan sebagai keretakan dalam Pakatan.
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyokong hasrat PAS Kelantan walau pun menambah bahawa undang-undang hudud itu perlu melindungi hak bukan Islam, di samping menegaskan perkara itu tidak pernah dibincangkan oleh pucuk pimpinan Pakatan Rakyat.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyatakan UMNO tidak pernah menolak hudud, cuma keadaan sekarang tidak sesuai untuk dilaksanakan hukun jenayah cara Islam itu.
Baru sahaja para penyokong dan blogger upahan UMNO memulakan serangan terhadap Pakatan, tiba-tiba MCA pula mengugut untuk keluar dari Barisan Nasional jika UMNO mahu melaksanakan hukum hudud.
“Pendirian kami sangat jelas. UMNO mahu melaksanakan hudud, MCA bukan pihak dalam hal itu. Kami akan keluar,” katanya kepada pemberita hari ini.
Pendirian PAS dan MCA
Pendirian PAS dan MCA ini telah menyulitkan usaha pecacai UMNO untuk memburukkan Pakatan Rakyat.
Pertama, bagi mereka yang selama ini mencanangkan bahawa PAS adalah kuda tunggangan DAP yang berprinsip demokrasi sekular, pendirian Nik Aziz telah membuktikan PAS tidak tunduk kepada mana-mana tekanan luar.
DAP juga tidak tunduk kepada tekanan untuk mengubah pendirian demokrasi sekular serta demokrasi sosial yang menjadi prinsip perjuangannya. Ini selaras dengan amalan Pakatan di mana setiap parti komponen adalah rakan kongsi setara atau equal partnership tanpa sebarang dominasi, seperti yang diamalkan dalam BN di mana UMNO menjadi dalang utama.
Kedua, pendirian MCA yang mungkin dikongsi oleh parti-parti komponen pelbagai kaum dalam BN akan menyebabkan segala tohmahan terhadap PAS, DAP dan PKR akan terpalit semula kepada muka mereka yang membuat tuduhan.
Dan semua ini berlaku tidak sampai seminggu selepas Datuk Seri Najib Razak dengan bangganya mengumumkan bahawa Malaysia akan dijadikannya negara demokrasi terbaik di dunia.
Kembali kepada Dasar Bersama Pakatan
Bagi Pakatan Rakyat, apa yang dikatakan masalah itu boleh diselesaikan melalui dialog dan rundingan, selaras dengan budaya politik baru yang mahu Pakatan perkenalkan tanpa sebarang paksaan yang biasa diamalkan oleh kerajaan UMNO-BN.
Rujukan yang ada untuk Pakatan ialah Perlembagaan Persekutuan yang mana ia telah dijadikan asas kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat.
Tiga perkara pertama yang menjadi pedoman Dasar Bersama adalah komitmen untuk:
* Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.
* Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan.
* Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat global.
Inilah intipati Pakatan untuk mencapai cita-citanya, sebagaimana yang dicerminkan melalui slogan “Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia”.
Seperti mana yang pernah dikatakan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali awal tahun ini, hudud bukan agenda dalam Dasar Bersama Pakatan.
“Hudud tak termasuk dalam agenda Pakatan Rakyat, kalau PAS mempunyai kuasa mutlak… dapat dua pertiga majoriti dalam Parlimen, perkara pertama yang akan dilakukan PAS bukan hudud,” katanya.
Sebagaimana DAP tidak memaksa Pakatan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menerima ideologi demokrasi sosial atau menjadikan negara sekular sepenuhnya, tidak perlu bagi mana-mana pihak untuk memaksa penerimaan perjuangan masing-masing.
Kerjasama melalui tolak ansur dan sikap saling faham-memahami telah memperkukuhkan Pakatan sejak Mac 2008. Mengapa mahu dipecahkan perpaduan yang telah dimeterai itu?
Melatah kerana helah Mahathir?
Jika semata-mata kerana usikan Dr Mahathir pun sudah tidak terkawal perasaan, mungkin semua pihak berlu kembali bermuhasabah diri untuk menenangkan keadaan.
Lagi pun ia cuma perencanaan mainan politik Dr Mahathir yang memang diakui hebat dalam percaturan batu api. Bukan sahaja pembangkang diserangnya, pemimpin UMNO dan BN yang dibencinya turut menjadi mangsa.
Bagi Dr Mahathir, mungkin ia hanya satu cara untuk memberitahu Najib bahawa dialah (Mahathir) yang paling hebat dan mampu memecahbelahkan perpaduan Pakatan bagi menjamin kemenangan besar Perdana Menteri dalam pilihan raya umum akan datang.
Ini bermakna isu hudud sekarang ini dijadikan oleh Dr Mahathir sebagai bahan politiknya untuk memaksa Najib supaya akur dengan kehendaknya.
Agenda politik Mahathir dan Najib tidak ada kena-mengena dengan perjuangan murni Pakatan yang perlu ditumpukan demi kebaikan rakyat semata-mata.
Pakatan mahu membebaskan rakyat semua kaum dan agama dari UMNO-BN yang dibelenggu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, serta membawa era baru dalam usaha menambah pendapatan, mengurangkan beban kewangan dan peluang-peluang ekonomi, pendidikan dan pekerjaan yang lebih baik.
Dalam hal ini, mengapa Pakatan Rakyat perlu melatah? – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan