Selasa, 10 Januari 2012

PEMBEBASAN SDR ANUAR, TERIMA KASIH RAKYAT MALAYSIA.



Semalam, tanggal 9 Januari 2012 adalah suatu detik sejarah baru untuk Malaysia. Suatu peristiwa yang pastinya menggamit jutaan memori perjuangan rakyat yang berlanjutan hampir 14 tahun lamanya.

Seawal pagi lagi, ribuan pendokong dan penyokong keadilan sudah berada di perkarangan letak kereta di Mahkamah Tinggi Jalan Duta menanti kehadiraan Sdr Anwar dan saya serta keluarga. Ini sungguh memberikan semangat dan kekuatan kepada kami sekeluarga untuk mendepani dengan apa jua keputusan hakim mengenai kes fitnah 2 ini yang berlarutan.

Alhamdulillah, dengan berkat doa, usaha dan tawakkal selama ini, mahkamah telah memutuskan bahawa Sdr Anwar dibebaskan dari segala pertuduhan yang difitnah kepada beliau. Tatkala ini, adalah satu saat dan memori yang paling indah bagi keluarga kami. Segala syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T.

Justeru, saya dan keluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga selama ini dengan sokongan dan kesabaran yang menambahkan semangan perjuangan kami untuk membela kebenaran Sdr Anwar. Segala pengorbanan rakyat selama ini, didoakan agar menjadi saksi perjuangan menentang kezaliman, kerana Rasulullah S.A.W. bersabda: “Jihad yang paling utama adalah kalimat yang benar di hadapan penguasa yang zalim.” (HR Ahmad)

Maka, jelaslah sekarang kebenaran itu adalah hak bagi kita semua yang dizalimi. Insya Allah, kebangkitan rakyat khususnya golongan muda akan menggerakkan zaman demi kesuburan demokrasi.

Dr Wan Azizah Wan Ismail

Tiada ulasan:

Catat Ulasan