Rabu, 25 Mac 2009

KERAJAAN BN SEMAKIN TAKUT PADA BAYANG-BAYANG MEREKA SENDIRI APABILA GANTUNG PERMIT AKHBAR SUARA KEADILAN DAN HARAKAH !!



PETALING JAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permit dua akhbar parti pembangkang iaitu Harakah dan Suara Keadilan masing-masing selama tiga bulan berkuat kuasa hari ini. Ketika mengesahkan perkara tersebut, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, pengurusan kedua-dua organ PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu boleh mengemukakan rayuan. "Memang benar kami (KDN) telah menggantung lesen kedua-dua akhbar itu (Harakah dan Suara Keadilan) berkuat kuasa hari ini. "Kami bukan ingin menyekat kebebasan akhbar di negara ini tapi mereka (Harakah dan Suara Keadilan) masih lagi menerbitkan berita-berita yang tidak benar dan berunsur hasutan," kata beliau. Suara Keadilan menerima surat daripada KDN tengah hari tadi manakala Harakah pukul 4.55 petang menerusi faks. Harakah yang menerima surat tunjuk sebab 26 Februari lalu dikatakan melanggar tiga perkara iaitu menyiarkan berita dan rencana isu-isu semasa, menjual secara umum kepada bukan ahli dan tidak menyerahkan salinan setiap edisi tepat pada masa yang ditetapkan. Harakah diterbitkan dua kali seminggu manakala Suara Keadilan pula setiap minggu. Jelas Syed Hamid, Harakah dan Suara Keadilan telah pun diberikan amaran sebelum ini, namun mereka masih gagal mengikut spesifikasi berita yang sepatutnya. "Ada berita yang mempertikaikan kedudukan Raja-raja, dan isu-isu disiarkan juga berupa laporan yang tidak tepat dari segi maklumat dan sumbernya... ini yang kita kesal," ujarnya. Syed Hamid berkata, kedua-dua organ parti itu boleh mengemukakan rayuan. Kedua-dua akhbar berkenaan dikenakan tindakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua berkata surat penggantungan telah diterima di ibu pejabat parti tersebut tengah hari tadi. "Namun tiada sebarang sebab dikemukakan," katanya. Tegasnya, tindakan tersebut jelas bermotifkan politik. "Ini satu serangan kepada kami (PKR), nampak sangat mereka (Barisan Nasional) menggunakan kuasa yang mereka ada untuk menyekat kebebasan akhbar di negara ini. "Mengapa tindakan menggantung Suara Keadilan dilakukan menjelang pemilihan Umno dan tiga pilihan raya kecil yang akan berlangsung 7 April ini? "Kenapa tidak dari tahun lalu lagi?" katanya ketika dihubungi. Beliau yang juga ADUN kawasan Batu berkata, BN takut maklumat tentang kelemahan serta kerapuhan dalam parti itu dipaparkan oleh media alternatif seperti Suara Keadilan dan Harakah. "Mereka takut mengenai kelemahan pemimpin dipaparkan akan menunjukkan kerapuhan BN. "Jadi mereka ambil jalan mudah dengan menyekat pengedaran akhbar parti pembangkang supaya makluma ini tidak sampai kepada orang ramai," katanya. Chua turut mengesahkan parti itu akan membuat rayuan kepada KDN untuk menarik balik larangan yang dikeluarkan ke atas akhbar rasmi parti itu. "Kita akan buat rayuan dalam masa terdekat, tapi saya tidak dapat putuskan bila. Yang pasti kami akan merayu minta KDN tarik semula larangan ke atas Suara Keadilan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan