Selasa, 7 April 2009

PENGUNDIAN TIGA PILIHANRAYA KECIL BERMULA

KUALA LUMPUR - Proses pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau di Kedah dan Batang Air, Sarawak berlangsung serentak hari ini selepas pusat pengundian dibuka jam 8 pagi ini. Di Bukit Gantang, calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian menghadapi bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada PAS dan calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris. Pertandingan di Bukit Selambau pula mencatat sejarah dengan 15 calon bersaing iaitu calon BN, Datuk S Ganesan menghadapi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), S Manikumar serta 13 calon Bebas. Pilihan raya di Batang Air pula menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon BN, Malcom Mussen Lamoh dan Jawah Gerang daripada PKR. Parlimen Bukit Gantang mempunyai 55,562 pemilih berdaftar, dengan majoriti pengundi Melayu diikuti pengundi Cina dan India; manakala Bukit Selambau mempunyai 35,140 pengundi, dengan majoriti pengundi Melayu, diikuti India dan Cina. Kerusi Batang Air mempunyai 8,006 pengundi, kebanyakannya kaum Iban yang tinggal di pedalaman Sarawak. Pilihan raya di Bukit Gantang dan Batang Air diadakan berikutan kematian penyandang kerusi masing-masing iaitu Roslan Shaharum (Pas) dan Datuk Dublin Unting Inkot (BN) manakala di Bukit Selambau susulan peletakan jawatan penyandang, V Arumugam (PKR). Kebanyakan pusat pengundian dijadual ditutup jam 5 petang, dan keputusan pilihan raya dijangka diketahui seawal jam 9 malam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan