Rabu, 10 Februari 2010

SALAH GUNA KUASA & PECAH AMANAH

tun salleh abas






KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas mendakwa Kerajaan Persekutuan telah menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan bayaran royalti atau bayaran tunai tidak kepada kerajaan negeri Terengganu.

Menurut Tun Salleh, Kerajaan Persekutuan juga telah melakukan pecah amanah kerana telah membelanjakan wang tersebut secara tidak telus dan tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada rakyat Terengganu yang dijanjikan terbela dan terjamin.

Tun Salleh mendedahkan perkara ini sewaktu diwawancara Harakah, bagi menjelaskan kemelut isu royalti petroliam yang membabitkan tuntutan Kelantan terhadap Kerajaan Pusat dewasa ini.

"Petronas pula telah melakukan pecah amanah terhadap perjanjian dengan kerajaan negeri Terengganu kerana tidak membayar royalti atau bayaran tunai seperti mana yang termaktub dalam perjanjian dengan Terengganu," tegas beliau.

Beliau menegaskan, bayaran tunai (cash payment) di bawah Akta Pembangunan Petroliam 1974 adalah bayaran yang ‘wajib’ dibuat oleh Petronas walau atas nama apa sekali pun, Royalti, Wang Ihsan atau Dana Khas.

"Wang tersebut tetap kepunyaan kerajaan negeri Terengganu kerana ia wajib dibayar di bawah Akta tersebut," tambah beliau yang juga bekas exco Terengganu sewaktu PAS memerintah Terengganu.

Beliau berkata, "seperti mana yang telah saya nyatakan sebelum ini, ‘wang ihsan’ adalah suatu pemberian yang tidak wajib di mana tiada pihak yang boleh dipertanggungjawabkan manakala, royalti adalah bayaran yang diwajibkan mengikut akta dan undang-undang."

Tun Salleh yakin wang royalti untuk negeri Terengganu (wang ihsan) ini tidak boleh dianggap sebagai hasil Kerajaan Persekutuan kerana sekiranya ia adalah hasil Kerajaan Persekutuan, ia mesti dibayar masuk ke dalam Dana Persekutuan Yang Disatukan (Federal Consolidated Fund).

"Keadaan di mana perbelanjaan dan pengeluaran hendaklah melalui Bajet dan Akta Bekalan (Supply Act). Ada kemungkinan besar, wang ini tidak dianggap sebagai hasil kerana ianya dibayar masuk ke dalam satu dana yang dinamakan Dana Khas yang diurus oleh Kerajaan Persekutuan," terang beliau.

Ini bermakna tegas beliau, wang ini sebagai wang teras (wang amanah) dan mesti dibayar mengikut cara amanah, jika tidak, nescaya berlakulah pecah amanah (breach of trust).

Katannya lagi, "kita juga tidak tahu adakah ianya diaudit oleh Ketua Audit Negara (Auditor General) dan adakah dengan cara ini, hasrat kerajaan Dr Mahathir Mohamad, semasa mengeluarkan kenyataan akhbar pada 5 September 2000 untuk membela rakyat Terengganu tercapai."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan