Ahad, 14 November 2010



KEADILAN akan memberi perhatian serius terhadap resolusi enam perkara yang terhasil dalam Resolusi Rapat Anak Muda Malaysia, berkaitan proses pemilihan pimpinan parti, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menyifatkan resolusi itu sebagai proses yang mengikut saluran tepat dan kematangan ahli, Wan Azizah berkata, beliau sendiri dan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) akan meneliti memorandum dan aduan dari ahli akar umbi.

"Pada 12 November lalu, Datuk Fauzi Abd Rahman MPN Pahang telah berjumpa saya dengan membawa sebuah Resolusi Rapat Anak Muda Malaysia bertarikh 10 November 2010.

"Saya difahamkan resolusi itu adalah hasil dari temu rapat anak muda yang didorong oleh rasa cinta dan iltizam kepada perjuangan," katanya pada satu kenyataan media.

Wan Azizah berkata, parti sudah pun memulakan tindakan dan tumpuan terhadap kes yang mempunyai petunjuk jelas dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahi etika.

"Dengan jaminan ini, saya berharap tidak akan ada kritikan berbentuk peribadi sesama pimpinan dan ahli secara terbuka kerana ini akan membuka ruang kepada musuh.

"Apa yang berlaku ini merupakan proses mematang dan memantapkan parti. Kita yakin ini akan menatijahkan semangat dan kekuatan baru kepada ahli dan parti," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan