Selasa, 2 November 2010

Rakyat, KEADILAN Dan Anwar.




Walaupun saya cenderung menyokong pembangkang sebelum Reformasi, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998, saya pada mulanya keliru tentang apa yang berlaku dan signifikannya kepada rakyat Malaysia.

Tetapi selepas Gerakan Reformasi memuncak, saya sedar gerakan ini bukan mengenai kes Anwar semata-mata, tetapi suatu kebangkitan rakyat yang selari dengan zamannya.

Apabila saya mula terlibat membantu KEADILAN menerusi Unit Pendidikan Politik-Institut Kajian Dasar sekitar 2001, saya menyedari bahawa KEADILAN lah parti masa depan Malaysia: sebuah gerakan pelbagai kaum yang progresif dan memartabatkan ketuanan Rakyat. Sebab itu saya memilih menyertai KEADILAN.

Perjuangan KEADILAN berasaskan 17 perkara dasar yang menjadi asas matlamat dan perjuangan parti.

Ramai ahli nujum yang mengatakan KEADILAN akan gulung tikar selepas Pilihan Raya Umum 2004 yang meninggalkan KEADILAN hanya kerusi tunggal Permatang Pauh. Apabila Anwar dibebaskan dari penjara pada tahun tersebut, ramai anggap sudah tiada gunanya KEADILAN wujud kerana ikonnya sudah bebas.

Tetapi mereka tersilap. Setahun kemudian di Kongres KEADILAN pertama yang saya hadiri di Kuala Lumpur, usul Agenda Ekonomi Malaysia diluluskan oleh Kongres. Anwar mula bercakap mengenai menggantikan Dasar Ekonomi Baru dengan pendekatan yang menekankan merit dan tindakan afirmatif berdasarkan keperluan.

Waktu itu semua kata tindakan itu gila. Tetapi Anwar menjelajah seluruh Malaysia mempertahankan pendirian tersebut. Selepas Pilihan Raya Umum 2008 yang menyaksikan KEADILAN muncul parti pelbagai kaum paling berjaya dalam sejarah negara, tiba-tiba pendirian tersebut menjadi arus perdana. Mana tidaknya, UMNO yang dahulu menuduh Anwar pengkhianat Melayu pun bersetuju dengan pandangan tersebut.

Pada Pilihan Raya Umum 2008 KEADILAN masuk ke gelanggang Pilihan Raya dengan 5 Janji Anwar yang mewakili manifesto komprehensif tentang agenda parti sekiranya menang di Putrajaya.

Tahun 2010 KEADILAN bersama-sama PAS dan DAP telah menggagaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang bersejarah.

Kini KEADILAN sekali lagi mempelopori sejarah politik negara dengan konsep satu anggota satu undi.

Justeru untuk menuduh KEADILAN taksub pada Anwar adalah tuduhan yang tidak berasas sama sekali. Reformis yang mengasaskan parti ini bangkit bukan kerana Anwar sebagai individu, tetapi kerana nilai-nilai yang diwakilinya.

Meninggalkan kes Anwar hanya pada pasukan guamnya

Oleh Nik Nazmi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan