Isnin, 7 Februari 2011

PAKATAN SEBULAT SUARA SETUJU PAS BERTANDING DI MERLIMAU




KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat sebulat suara bersetuju Pas bertanding pada Pilihan Raya Kecil Merlimau dan mengarahkan seluruh jentera bersiap sedia menghadapi PRK berkenaan.

Demikian diumum Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media pimpinan Pakatan Rakyat di ibu pejabat DAP di Jalan Yew petang tadi.

Namun, Pakatan Rakyat belum memutuskan calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil DUN itu.

“(Pilihan raya kecil) Merlimau, kita sudah bincang dan bersetuju sebulat suara supaya menyokong PAS sebagai wakil Pakatan Rakyat.

“Presiden PAS, Tuan Guru Hadi Awang meminta supaya seluruh jentera Pakatan Rakyat dikerahkan dan kita bersetuju,” kata Anwar.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula memberitahu calon yang akan bertanding akan ditentukan berdasarkan cadangan PAS peringkat negeri Melaka.

“Kita baru buat keputusan di peringkat Pakatan Rakyat. Calon itu nanti kita dapat maklumat daripada negeri,” kata Hadi.

Mengulas lanjut, Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali berkata mesyuarat memilih calon akan diadakan pada 13 Februari nanti.

“Senarai pendek calon mungkin 13 Februari. Insya Allah kita akan mesyuarat 13 Februari, tapi calon perlu disahkan Pakatan Rakyat dahulu” kata Mustafa.

Pilihan raya Dewan Undangan Negeri Merlimau bakal diadakan selepas Adunnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan meninggal dunia di Hospital Pakar Putra, Melaka, akibat serangan jantung Januari lalu.

Mohammad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang pada pilihan raya umum 2008.

Kekosongan kerusi berkenaan menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil bakal diadakan iaitu yang ke-15 selepas PRK Tenang, Johor 30 Januari lalu.

PAS sebelum ini sememangnya dijangka bertanding kerusi Merlimau kerana secara tradisinya kerusi tersebut ditandingi parti itu. Daripada 14 pilihan raya kecil sebelum ini, PAS bertanding di tujuh tempat dan menang empat daripadanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan