Khamis, 2 Februari 2012

BUBAR PARTI KITA



SHAH ALAM, 2 Febuari : Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim menjadi pemimpin pertama parti itu membantah secara terbuka hasrat Datuk Zaid Ibrahim membubarkan parti itu, kurang setahun selepas ditubuhkan.

Dalam blognya hari ini, Zaid berkata langkah itu perlu untuk meleraikan sebarang keraguan bahawa parti itu tidak menyokong Pakatan Rakyat susulan kritikan pemimpin-pemimpin KITA di Pulau Pinang dan Kedah terhadap gagasan pembangkang itu.

Zamil, berkata tindakan Zaid selaku presiden KITA adalah tidak rasional dan tidak bertanggungjawab.

"Kita bukan sebuah perniagaan yang boleh di buka dan ditutup begitu sahaja," kata Zamil yang menjadi penyokong awal Zaid namun kemudian mengkritik bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat itu.

"Seorang presiden seharusnya memanggil mesyuarat tergempar untuk berunding dengan kami dan bukannya membuat kenyataan kepada media mengenai langkah drastik seperti ini," tambah beliau.

Zamil berkata Zaid tidak berpegang kepada janji untuk menjadikan KITA bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik lain.

Beliau berkata bekas Ahli Parlimen Kota Bahru itu sepatutnya meletak jawatan sebagai Persiden KITA dan bukannya membubarkan parti itu.

Zaid berkata, beliau sedar sekarang bahawa penubuhan KITA adalah satu kesilapan.

"Saya berhasrat untuk memberi idea-idea alternatif dalam politik dan membawa kepelbagaian bakat yang lebih luas kepada kepimpinan pembangkang. Ini belum pernah berlaku sebelum ini.

"Saya telah membuat banyak kesilapan dalam hidup saya tetapi saya tidak tawar hati. Saya tetap yakin bahawa perubahan akan datang untuk kebaikan negara ini dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab saya di dalam mencapai tujuan itu," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan