Rabu, 8 Jun 2011

APA KATA BEKAS KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF TENAGA NASIONAL BERHAD, TAN SRI ANI AROPE TERHADAP KEPUTUSAN KENAIKAN TARIF ELEKTRIK



Tarif Elektrik: Ani Arope selar EPU, Gelar ‘Unit Penyamun Ekonomi’

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, Tan Sri Ani Arope menyalahkan Unit Perancang Ekonomi kerana menaikkan tarif elektrik.

Laman web The Malaysian Insider memetik Ani sebagai berkata, TNB dipaksa menandatangani perjanjian berat sebelah, sejak hampir 20 tahun lalu.

Ani, yang menyifatkan EPU sebagai ‘Economic Plundering Unit’, memaksa TNB membeli tenaga elektrik daripada Pengeluar Tenaga bebas (IPP), Genting Sanyen sebanyak 14 sen kilowatt sejam (Kwj) walaupun wujud tawaran 12 sen n kemudiannya. IPP lain kemudian mengenakan caj 16 sen/ kwj.

“Kamu tidak perlu pergi sekolah perniagaan untuk memahami mengapa perlu kenaikan tarif elektrik- hanya melihat semula syarat diberikan kepada beberapa IPP,” kata Ani yang menerajui syarikat utiliti itu antara 1990 hingga 1996 dalam status di laman sosial, Facebook.

“Dengan fasal ambil-dan bayar, dan dengan 40 peratus rizab berlebihan yang kita ada hari ini, satu pihak hanya perlu menghasilkan setengah keupayaan pihak lain dan dibayar 80 sen dengan kapasiti dipersetujui.

“Bagus EPU — Unit Plundering Ekonomi,” katanya mengejek unit ekonomi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu.

Justeru, Ani meminta satu kajian semula syarat-syarat asal dengan IPP kerana perjanjian tenaga itu terus dilakukan.

Ani menimbulkan kegemparan pada 15 tahun lalu apabila meletakkan jawatan daripada jawatan pengerusi eksekutifnya kerana enggan menandatangani persetujuan tak seimbang dalam Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA)

Ia menyebabkan kewujudan generasi pertama IPP seperti YTL Power Services, Powertek dan Malakoff, semasa negara di bawah pentadbiran Dr Mahathir.

“TNB ialah budak belasahan. TNB tidak mempunyai kawalan harga yang ia perlu bayar kepada IPP. Pergi kepada punca masalahnya,” katanya.

Sabtu, 4 Jun 2011

GAGAL TANGANI VIDEO SEKS : KPN DIGESA BERUNDUR



KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar digesa melepaskan jawatannya kerana tidak mampu menangani penyebaran video seks fitnah, tegas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf.

Terbaru, versi hampir lengkap klip video seks tersebut sekali lagi diedar di internet. Tiga video berkenaan dimuat-naik di sebuah blog bernama anwarcctv.

“Ia menggambarkan kelemahan pihak polis yang menunjukkan penekanan tidak diberikan kepada pihak polis untuk menangkap penjenayah yang menyebarkan video ini. Ini menunjukkan bukti bahawa ia merupakan satu jenayah terancang.

“Justeru, Tan Sri Ismail Omar wajar meletakkan jawatannya sebagai Ketua Polis Negara kerana gagal menangani penyebaran video seks ini dan menangkap dalang di sebaliknya,” ujarnya.

Menurutnya, video itu bukan sahaja memalukan Malaysia di mata umum, malah memberi kesan negatif kepada masyarakat, terutama kanak-kanak.

Namun sehingga hari ini, katanya, tidak ada seorang pun yang ditangkap kerana mengedar dan menayangkannya kepada umum, meskipun ia terang-terang melanggar undang-undang di bawah Seksyen 5 Akta Penapisan Filem dan Seksyen 292 kanun keseksaan.

“Sepatutnya tindakan tegas perlu diambil, tetapi sehingga hari ini, pihak polis termasuk juga Suruhanjaya Komunikasi Media (SKMM) gagal mengambil sebarang tindakan kepada penjenayah terbabit,” ujar Yusmadi.

Katanya lagi, tindakan polis yang berdiam diri dengan penyebaran klip itu di internet dan sebaran video yang meluas termasuk di kampung-kampung, seolah-olah merestui perbuatan itu.

“Ini juga menunjukkan kecuaian pihak polis yang gagal untuk meyakinkan rakyat dalam membanteras jenayah,” ujarnya.

Video tersebut sebelum ini ditayang kepada sekumpulan wartawan oleh Trio Datuk T yang terdiri daripada ahli Perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan bekas bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim, Mac lalu.

Bagaimanapun, Pakatan Rakyat menafikan sekeras-kerasnya individu dalam rakaman itu adalah Anwar. Salah seorang Ahli parlimen Pakatan yang dibawa menonton rakaman itu, Datuk Johari Abdul menafikan perkara itu berdasarkan bentuk tubuh dan lenggok lelaki terbabit.

KEADILAN juga mengeluarkan bukti seperti potongan rambut lelaki berkenaan, bahagian dada dan perut lelaki itu yang jauh berbeza dengan Anwar.

Sebelum ini, trio berkenaan dan pihak polis juga membuat kenyataan bercanggah antara satu sama lain.

Shazryl Eskay menyatakan pelaku wanita dalam video itu adalah seorang pelacur China manakala polis pula mendakwa wanita itu adalah seorang penuntut salah sebuah kolej swasta. Eskay juga menyatakan video itu dirakam di sebuah hotel manakala polis pula menyatakan ia dirakam di sebuah kondominium di ibu negara.

R.O.S TIDAK JADI BATALKAN KEADILAN



KALA LUMPUR: KEADILAN menyambut baik keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk tidak membatalkan parti itu, kata Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution.

“KEADILAN menyambut baik keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang berpuas hati penjelasan yang dikemukakan di dalam surat tunjuk sebab berkaitan dengan ancaman pembatalan pendaftaran KEADILAN yang diterima oleh parti minggu lalu.

“KEADILAN turut dimaklumkan bahawa pihak ROS juga tidak akan meneruskan tindakan membatalkan pendaftaran KEADILAN,” ujar Saifuddin dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Dengan demikian katanya, KEADILAN juga membatalkan hasrat untuk menyaman ROS kerana isu itu dianggap selesai.

“Justeru pihak parti dengan ini memutuskan untuk membatalkan hasrat menyaman ROS memandangkan perkara ini telah dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Pada 19 Mei lalu, KEADILAN mendedahkan usaha ROS untuk cuba membatalkan parti itu, melalui satu surat tunjuk sebab.

Ia kononnya kerana KEADILAN telah melanggar salah satu fasal dalam perlembagaannya apabila bertindak memecat seorang ahli partinya.

Bagaimanapun, Saifuddin ketika mengadakan sidang medianya menegaskan tidak wujud fasal seumpama itu dalam perlembagaan KEADILAN, malah alasan pemecatan juga tidak boleh dijadikan sebab pengharaman parti.

Malah KEADILAN juga mendakwa surat yang dikirim ROS juga mempunyai banyak kesalahan fakta tentang pemecatan itu seperti tarikh dan nama ahli yang disebut.

Pada selasa lalu, KEADILAN yang diwakili Naibnya, N Surendran memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi menghalang ROS meneruskan pembatalan terhadap parti itu.

Khamis, 2 Jun 2011

MELAYU TETAP BERKUASA




UMNO sering memperkatakan akan MELAYU AKAN KEHILANGAN KUASA JIKA PAKATAN RAKYAT MEMERINTAH. Kuasa apa yang dimaksudkan? Jangan jd pencacai yang tak tahu berfikir, hanya angguk angguk apa yang dikata orang lain! Guna akal yang dianugerahkan Allah pada kita. Di Pulau Pinang Lim Guan Eng jadi Ketua Menteri dari DAP (Pakatan), Sebelumnya adalah Koh Tsu Koon dari Gerakan (BN). Dari segi tampuk kepimpinan negeri mereka masih gagal untuk mainkan isu lemahnya kuasa Melayu.

Tapi Umno nak main juga dengan alasan bahawa Adun-adun Melayu dalam Kerajaan Pakatan di Pulau Pinang amat sedikit. Di Perak pula, ketika Pakatan jadi Kerajaan dengan 31 Kerusi dimana hanya ada 8 kerusi Melayu. BN yang menguasai 28 kerusi pula, dikuasai oleh 27 kerusi Melayu. Atas perbezaan komposisi yang begitu ketara, Umno memainkan isu perkauman. Walaupun Menteri Besar Pakatan adalah Melayu, Ir. Nizar Jamaluddin tetapi jelas Umno begitu tertekan dan cuba mengheret orang Melayu untuk merasai tekanan itu.

Di Selangor, kuasa Majoriti dikuasai orang Melayu. Tetapi kekhuatiran kehilangan kuasa Melayu terus ditimbulkan kerana dalam BN sekarang kuasa bukan Melayu semakin hilang dan Umno jadi parti tunggal yang menguruskan BN dan kuasa Melayu nampak terlalu besar dalam BN. Perkiraan mudah jika dianalisa memungkinkan Pakatan menguasai undi bukan Melayu sepenuhnya dan undi Melayu akan terbahagi dua kerana masih ada yang sayang pada Umno atas sentimen perkauman. Orang Melayu seharusnya berfikiran bijak. Jika semua bukan Melayu sudah sokong Pakatan untuk bentuk Kerajaan kenapa mereka masih mahu pertahankan Umno yang jelas tidak mampu bentuk kerajaan dengan BN.

Umno tidak akan mampu bentuk Kerajaan bersendirian jika semua komponen utama BN tewas kepada Pakatan. Sebab itu jika Umno menang tapi Pakatan jadi Kerajaan, orang Melayu tetap rugi. Oleh itu, satu-satunya cara untuk kekalkan kuasa orang Melayu adalah dengan mengundi Pakatan, khususnya yang majoriti kerusinya adalah milik Melayu. Orang Melayu kena undi PR. Jika orang bukan Melayu mampu terima PR terutama PAS, kenapa yang Melayu Islam tidak boleh.

Dari segi perkongsian kuasa PKR, DAP dan PAS, Pakatan Rakyat mampu mengangkat imej Islam dan setrusnya imej rakyat. Jika orang Melayu undi Pakatan secara automatiknya kuasa majoriti Melayu dalam BN akan berpindah kepada Pakatan. Ini akhirnya akan mengekalkan kuasa orang Melayu dimana Pakatan Rakyat adalah alternatif terbaik buat orang Melayu. Malah dengan itu mereka bukan sahaja mengekalkan kekuatan dan kuasa tetapi dapat membina kekuatan umat Islam itu sendiri sesuai dengan apa yang diperjuangankan iaitu Islam agama yang menyelamatkan Ummah. jika hal ini berlaku dalam Pilihanraya Umum akan datang, Umno-BN akhirnya akan mati hujah kerana kuasa orang Melayu kekal tetapi hanya bertukar kepada Pakatan Rakyat.

Undi bukan Melayu dari MCA, MIC, Gerakan dan PPP pula bertukar penuh kepada DAP dan PKR serta komponen lainnya. Sekaligus Umno dan BN boleh disemadikan dengan aman kerana mereka sudah tidak lagi diperlukan oleh rakyat kerana setiap kaum mempunyai parti dominannya sendiri dalam Pakatan sebagai mengantikan parti lama mereka yang sudah karam. Jadi untuk kekalkan kuasa Melayu, tiada cara lain. Undilah Pakatan Rakyat. Satu undi kepada Umno-BN akan membuatkan diri anda duduk dalam kumpulan minoriti dinegara ini! Diharap orang Melayu faham apa itu politik yang sebenarnya. Orang Melayu kena faham bahawa mereka tidak perlu bergantung dengan Umno dan mereka tidak boleh terus diperhambakan oleh Umno. Pemimpin Umno sering mainkan isu bahawa orang Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat jadi kerajaan.

BUKU JINGGA SELESAI MASALAH EKONOMI RAKYAT- NIK NAZMI


KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Buku Jingga yang diperkenal Pakatan Rakyat (PR) mampu dijadikan panduan bagi pengurusan ekonomi yang lebih baik.

Menurutnya, Buku Jingga juga berupaya menyelesaikan beban yang dihadapi rakyat rentetan kenaikan harga barang keperluan seperti minyak, gula dan terbaru peningkatan tarif elektrik yang diumum kerajaan.

“Semua yang terkandung dalam Buku Jingga kita sudah jelaskan secara terperinci bagaimana mahu mengagihkan sumber ekonomi supaya tidak berlaku bebanan kepada rakyat dengan menaikkan harga barang keperluan.

“Langkah yang kita drafkan meliputi kesan jangka pendek dan jangka panjang untuk memberikan kesempurnaan kepada rakyat. Dalam buku itu kita boleh lihat ada dinyatakan bagaimana kemakmuran melalui pengagihan ekonomi yang adil akan dilakukan sekiranya PR memerintah,” kata Nik Nazmi kepada Keadilandaily.com.

Buku Jingga merupakan satu dokumen bersama Pakatan Rakyat yang diperkenalkan pada Konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Pulau Pinang tahun lalu.

Ia bagi menangani krisis ekonomi, kerosakan institusi negara, ketegangan masyarakat berbilang kaum, bebanan rakyat, hak rakyat yang dinodai dan gejala rasuah yang berleluasa.

Buku Jingga turut menggariskan agenda 100 hari pertama pentadbiran Pakatan Rakyat sekiranya diberi peluang menerajui negara.

Antaranya merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada swasta seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion setahun.

Nik Nazmi berkata, agenda Buku Jingga itu sendiri akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan dalam dasar bersama PR.

“Bagi mengurangkan bebanan rakyat daripada dihimpit pembayaran tol, Buku Jingga telah menyatakan langkahnya di mana akan menyelaraskan badan-badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk ambil alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol.

“Kita juga akan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap guru. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta seperti subsidi gas sebanyak RM 19 bilion kepada penjana bebas,” katanya yang juga Adun Seri Setia.

Dalam pada itu beliau memberitahu Buku Jingga yang disifatkan sangat digeruni Barisan Nasional (BN) berjaya menarik perhatian rakyat kerana menawarkan program yang mengutama dan membela mereka.

“Kita berjaya kerana Buku Jingga diterima rakyat dengan diberi penerangan dan pengedarannya sehingga ke pelosok kampung.

“Setiap kali ceramah, kita juga memberi taklimat dan penerangan kepada penyokong mengenai agenda yang tertulis di dalam Buku Jingga. Jentera parti di peringkat Cabang dan Ranting turut bekerja keras memperkenalkan Buku Jingga kepada rakyat,” ujarnya.

Jumaat, 27 Mei 2011

NAIK TARIF ELEKTRIK BUKTI KERAJAAN BELA KRONI IPP


KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak memiliki kesungguhan untuk membela nasib rakyat apabila membuat keputusan menaikkan tarif elektrik yang akan diumum Isnin ini, kata Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

Ini kerana katanya, kerajaan lebih berminat menanggung subsidi kepada sektor korporat seperti Syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP), bernilai RM19 bilion hingga RM22 bilion setiap tahun, berbanding menjaga kebajikan rakyat.

“BN tidak prihatin kepada rakyat walaupun menggunakan slogan rakyat didahulukan. Buktinya subsidi kepada IPP tidak ditarikbalik sedangkan mereka menikmati subsidi yang tinggi.

“Tetapi rakyat terpaksa bayar harga elektrik dengan kadar yang mahal,” katanya.

Menurutnya, ketika banyak banyak negara mengeluarkan subsidi untuk menampung keperluan rakyatnya, Malaysia pula mengambil langkah mundur untuk membantu syarikat kroni besar.

“Ketika harga makanan dan barangan semakin naik, negara seperti Taiwan dan Korea memberikan subsidi yang besar kepada rakyatnya supaya tidak merasa terbeban dengan kenaikan tersebut.

“Negara kita pula, yang mengeluarkan minyak dan mampu menjana tenaga elektrik, menaikkan tarif eletrik,” katanya yang juga Bendahari Agung KEADILAN.

Katanya, keputusan itu lebih menguntungkan syarikat konsesi IPP yang besar sedangkan fungsi itu sepatutnya diambil alih TNB sendiri.

Kuasa yang dijana IPP katanya, memenuhi 60 peratus daripada keperluan tenaga negara berbanding TNB membekalkan 40 peratus.

“Kita tanya kepada syarikat IPP utama ini, YTL Corporation Berhad yang dipunyai Yeoh Teong Lay, Tanjung PLC (Ananda Krishnan), Malakoff Corporation (Syed Mokhtar Bukhari) dan Genting Sanyen – ini adalah mereka yang menikmati keuntungan yang besar.

“Apa sebabnya mereka menikmati keuntungan ini dan kemudian menjual lebih mahal kepada TNB sedangkan TNB sendiri boleh menjanakan tenaga elektrik,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya langkah yang akan diambil Pakatan sekiranya memenangi pilihan raya umum, adalah menyemak kembali perjanjian dengan syarikat berkenaan seperti terkandung dalam Buku Jingga.

“Elektrik seperti air, ia adalah keperluan dan hak asasai rakyat dan tidak boleh digunakan untuk mendapat keuntungan,” katanya.

Pakatan Rakyat sebelum ini berulangkali menegaskan bahawa kerajaan berupaya untuk mengelakkan kenaikan tarif elektrik.

Jika dibandingkan negara jiran seperti Thailand, tarif elektrik di negara itu jauh lebih rendah iaitu perbezaan antara 22 peratus hingga 48 peratus.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan itu sebenarnya disebabkan perjanjian berat sebelah yang dipaksakan ke atas TNB.

Harga yang dibeli dari IPP itu jauh lebih tinggi dari harga tenaga yang dihasilkan TNB sendiri, sekaligus menyebabkan IPP mengaut keuntungan besar.


Rabu, 18 Mei 2011

MALAYSIA BERADA DALAM KEBERHUTANGAN YANG AGAK SERIUS



Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang hari ini mendedahkan bahawa hutang negara pada tahun lalu berjumlah RM362.39 bilion, iaitu paras yang paling tinggi dalam tempoh lima tahun.
Hutang itu mencakupi 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK), kali pertama keadaan itu berlaku dalam sejarah negara, kata beliau dalam laporan tahunan terbaru yang di bentangkan di Parlimen hari ini.

Hutang RM362.39 bilion ringgit yang disebut dalam laporan audit itu juga jauh lebih tinggi daripada RM233.92 billion yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Jun lalu.

Ketika itu Najib juga mendakwa hutang itu hanya mencakupi 34.3 peratus KDNK. Dalam laporannya hari ini, Ketua Audit Negara menjelaskan hutang kerajaan meningkat dengan mendadak kerana hutang dalam negara yang semakin membesar. Hutang kerajaan di dalam negara (domestic debt) pada tahun lalu adalah RM348.60 bilion atau 96.2 peratus keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan Dari sini, dapat dilihat Perdana Menteri kita tidak bersifat jujur dalam menutur apa yang sebenarnya berlaku. Rakyat berhak tahu dalam perkara ini. Hutang sebenar Malaysia iaitu RM 362.39 bilion itu adalah mencakupi lebih dari 50% KDNK, iaitu pada 53.7 peratus. Bermakna Malaysia telah berada dalam keberhutangan yang agak serius buat pertama kali dalam sejarahnya sendiri.

Soalnya di sini, mengapa perlu berdolak-dalih untuk mengatakan perkara yang benar? Kalau hutang negara RM 362.39, cakap betul-betul. Tak perlulah nak menipu dalam ucapan Bajet 2011 tempohari dengan mengatakan hutang Malaysia berjumlah RM 233.92 Bilion.

Sangat besar perbezaan nilai di situ iaitu lebih RM 130 bilion! Bukan RM 130. Seperti artikel yang di paparkan pada tempohari berkenaan hutang negara yang perlu dilunaskan dalam tempoh tiga tahun, dengan kenyataan dan angka terbaru yang diberikan oleh Ketua Audit Negara ini, sah Malaysia telah berhutang melebihi KDNK yang sepatutnya berada pada paras maksimum 40%.

Dengan jumlah hutang sebenar yang banyak ini, ditambah pula dengan pelbagai lagi Projek Mega yang bakal dibina seperti Menara Warisan dan yang lain-lainnya, di mana sebenarnya terletak slogan ” Rakyat Di Dahulukan, Pencapaian Di Utamakan”?

Sudah pasti dengan jumlah hutang yang besar ini, kerajaan juga terpaksa memikirkan cara untuk mengaut kembali wang-wang yang telah dibazirkan. Dan di antara langkah-langkah yang pasti, adalah menaikkan cukai, dimana kerajaan dapat memungut hasil secara langsung dan tidak langsung.

Akhirnya, ianya kembali membebankan rakyat. Mungkin golongan rakyat yang mewah, tidak merasakan apa-apa, namun kita perlu ingat bahawa, golongan rakyat di Malaysia ini juga dah jadi macam Piramid. Di mana, golongan pertengahan dan golongan miskin yang menjadi mangsa di atas kecuaian dan pembaziran kerajaan.

Isnin, 9 Mei 2011

JOHOR BAKAL MUFLIS 2012



Mengejutkan! Sebagai salah sebuah negeri yang dianggap maju di Malaysia dengan jumlah pelaburan berbilion setahun, kenyataan di atas mungkin disangka keterlaluan. Tetapi inilah realiti yang harus diterima oleh rakyat johor.

Bagaimana Johor boleh muflis? Antara penyebabnya ialah hutang Johor Corporation (JCorp) yang berjumlah RM 4.032 billion. Apa kaitan JCorp dengan kerajaan Negeri Johor? JCorp merupakan salah sebuah GLC dalam kerajaan negeri.

Bagaimana hutang JCorp boleh menyebabkan Johor muflis? Pada 2002, JCorp telah menerbitkan Bon (surat hutang) berjumlah RM4.032 billion dengan Kerajaan Negeri Johor sebagai penjaminnya. Tempoh matang bon-bon tersebut adalah pada 2007, 2009 dan 2012. Dalam sidang DUN Johor 8 September 2009, JCorp telah menebus bayar sebanyak RM393.76 juta (bon yang matang 2007) dan RM694.98 juta (bon yang matang 2009). Jumlah baki bon yang perlu ditebus pada 31 Julai 2012 adalah RM3.58billion!

Bolehkah JCorp membayar hutangnya menjelang 2012? Keuntungan sebelum cukai JCorp adalah lebih kurang RM600 juta setahun. Diulang "sebelum cukai". Ini bermakna menjelang 2012 , dijangkakan JCorp hanya akan mampu menyediakan RM1.5 billion bagi menebus bayar bon.

Apa implikasi kepada kerajaan negeri? Sebagai penjamin, kerajaan negeri harus menanggung beban hutang JCorp yang tidak mampu dibayar sebanyak RM2 billion. Kegagalan untuk berbuat demikian, kerajaan negeri boleh diheret ke mahkamah dan diisytiharkan MUFLIS!

Bolehkah kerajaan negeri menampung hutang JCorp sebanyak RM2 billion? Dengan keadaan belanjawan defisit (perbelanjaan melebihi pendapatan) yang dialami oleh kerajaan negeri dan nisbah kecairan tunai yang kecil sekitar RM201.53 juta (tunai RM36.37 juta & pelaburan RM165.16 juta), untuk menampung kos pentadbiran sahaja kerajaan negeri dijangkakan mampu bertahan selama 3 bulan.

Apakah cara atau jalan yang digunakan oleh kerajaan BN Johor bagi menyelamatkan keadaan? Menjual aset-aset ataupun hartanah strategik milik rakyat Johor. Antara hartanah yang dipercayai telah dijual ialah:

1. Menara Pejabat Plaza Kotaraya dijual kepada Iskandar Investment Berhad (IIB)

2. Tapak CIQ Stulang juga dijual kepada IIB

Malah jika anda sering melalui jalan Kota Tinggi - Bandar Tenggara, anda mungkin perasan papan tanda Johor Tenggara Oil Palm (JTOP) telah digantikan dengan papan tanda Tradewind. Apakah ini juga bermakna JTOP juga telah dijual?

Selepas ini apa pula yang akan dijual? Aset atau hartanah milik kerajaan negeri dan JCorp adalah sebenarnya milik khazanah dan pusaka rakyat Johor dan bukannya milik UMNO/BN!

Sabtu, 5 Mac 2011

TAK TAKUT AZAB NERAKA? TANYA AZWAN KEPADA UMMI HAFILDA

KUALA LUMPUR: Ummi Hafilda Ali diingatkan supaya berhenti memfitnah orang lain sebaliknya berusaha membersihkan dosa yang dilakukan terutama terhadap keluarga sendiri. Peringatan tersebut dibuat oleh adiknya sendiri, Azwan Ali.

Sejak akhir-akhir ini Ummi yang merupakan salah seorang watak utama dalam konspirasi pertama tahun 1998 muncul dan menjaja cerita kononnya beliau tahu keburukan abangnya Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden KEADILAN.

Beliau juga sering mencaci peribadi Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sikap Ummi semakin menjadi-jadi apabila ada pilihan raya kecil. Terbaru, ketika berucap di pentas BN dalam pilihan raya Merlimau, beliau memberi amaran kepada pengundi-pengundi kononnya Anwar merupakan seorang individu yang sangat merbahaya kepada agama dan juga negara.

Dalam SMSya kepada KeadilanDaily.com, Azwan mengingatkan kakaknya bahawa seksaan dari Allah menanti kepada mereka yang melakukan fitnah. “Tak takut azab neraka ker?” kata Azwan.

Sehubungan itu, Azwan yang juga personaliti TV terkenal menasihati Ummi supaya membersihkan diri sendiri sebelum bercakap mengenai orang lain.

“Bersihkan dosa pada adik beradik sebelum nak menyalak berpolitik sambil busukkan darah daging (sendiri). (Ia juga termasuk) dosa kepada saya,” tambah Azwan.

Pada September 1998, ayahnya Haji Ali Omar (Allahyarham) melalui sebuah surat wasiat memutuskan pertalian zuriat dengan Ummi kerana sikapnya yang suka melakukan fitnah.