Rabu, 28 April 2010

UNDI PKR MENINGKAT DI FELDA

maszlan aliman













Persatuan anak peneroka Felda (Anak) menolak dakwaan persatuan itu gagal menarik sokongan pengundi kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim. Presidennya, Mazlan Aliman ketika dihubungi berkata, berlaku peningkatan undi kepada pembangkang berbanding dalam pilihanraya umum lalu.

"Kecuali Felda Sungai Buaya, di kawasan-kawasan lain menampakkan usaha Anak menarik sokongan kepada Datuk Zaid telah berjaya.

Jumlah pengundi peneroka Felda di Hulu Selangor ialah 6,900 orang. Bagaimanapun, Mazlan tidak mempunyai data jumlah undi yang diperolehi Zaid dari peneroka Felda.

"Anda tahu bagaimana kerajaan menabur wang kepada peneroka Felda Sungai Buaya. Kita kalah kerana faktor wang ringgit.

"Pada malam terakhir mereka memberikan apa sahaja yang peneroka mahu bukan sahaja di Sungai Buaya tetapi kawasan Felda lain," katanya. Bagaimanapun, Mazlan menegaskan dalam pilihanraya umum akan datang, lebih ramai peneroka Felda akan mengundi calon Pakatan Rakyat.

Katanya, ini berdasarkan sambutan yang diberikan peneroka terhadap program Anak di Felda Sungai Tengi selama dua hari iaitu 23 dan 24 April lalu. "Felda terpaksa membuat program serupa di Felda berkenaan kerana mereka bimbang sambutan terhadap program Anak.

"Usaha awal Anak untuk mendapatkan sokongan peneroka Felda khususnya kepada pembangkang telah berjaya," katanya lagi. Dalam pilihanraya kecil tersebut calon Barisan Nasional (BN) P Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 undi. Zaid mendapat 23,272 undi manakala Kamalanathan mendapat 24,997.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan