Khamis, 23 Februari 2012

PIMPINAN NAJIB CUBA ALIH ISU NFC











KUALA LUMPUR 23 Feb: Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Najib Razak cuba mengalihkan isu National Feedlot Corporation (NFC), dengan membuat serangan berterusan terhadap Pakatan Rakyat, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution berkata, sebaik sahaja Anwar dibebaskan oleh mahkamah atas pertuduhan fitnah II pada 9 Januari lalu, pemimpin Umno-BN meneruskan serangan terhadap ketua pembangkang itu.

“Terbaru, Anwar dikaitkan pula dengan isu Israel yang antara tujuannya mengalihkan isu rakyat dari bercakap mengenai skandal penyelewengan NFC melibatkan Umno termasuk Najib sendiri,” katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Bagaimanapun kata Ahli Parlimen Machang itu, beliau percaya semua tohmahan yang dilemparkan Umno-BN akan gagal mempengaruhi sokongan rakyat.

“Skandal NFC ini penting dan cukup dekat di hati rakyat kerana projek RM250 juta dianugerah kepada keluarga menteri Umno.

“Berbanding rakyat, mereka hanya diberi RM500 iaitu apa yang dinamakan Najib sebagai Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M),” ujar beliau.

Saifuddin dalam pada itu kesal dengan dengan dolak-dalik kerajaan berhubung skandal NFC, meskipun KEADILAN sudahpun melaporkannya kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Justeru, beliau menyeru rakyat agar terus mendengar penerangan dari Pakatan Rakyat dari semasa ke semasa dan menilai serangan Umno dengan fakta yang dikemukakan.
“Hakikatnya, fakta kita bukan sahaja kukuh, namun sangat mustahil untuk disiar di media kerajaan. Kerana apa?

“Mereka (Umno-BN) takut jika rakyat tahu penyelewengan mereka, peluang untuk Umno ditumbangkan pada PRU sangat cerah,” tegasnya.

Sebelum ini, KEADILAN mendedahkan dana RM250 juta untuk penternakan Lembu itu disalah guna keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Ia termasuk membeli lima kondominium di Singapura dan Bangsar, dua lot tanah di Putrajaya, kereta mewah dan pelbagai transaksi meragukan.

Difahamkan akan ada lagi pendedahan berhubung salah guna dana itu dari semasa ke semasa oleh KEADILAN.

Sabtu, 18 Februari 2012

KENYATAAN PENUH ANWAR ISU ISRAEL- PALESTIN




KUALA LUMPUR 16 Feb: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenyataan beliau yang disiarkan Asian Wall Street journal secara jelas menyatakan sokongan terhadap perjuangan dan aspirasi rakyat Palestin yang mahukan keadilan dan keamanan, serta maruahnya dihormati.

Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar menegaskan pendirian itu selari dengan pandangan pimpinan dunia Islam seperti kerajaan Arab Saudi yang diungkapkan menteri luarnya, Putera Saud al Faisal dan pemimpin Jordan, Raja Abdullah.

Makanya, katanya, persoalan tuntutan jaminan keselamatan Israel yang bersyaratkan kepada keadilan dan keamanan diberikan kepada rakyat Palestin bukanlah perkara baru.

Menurutnya, beliau juga menghargai pandangan dari Pas, seluruh gerakan dakwah dan pertubuhan Islam yang berterusan membela nasib rakyat Palestin.

Anwar berkata, beliau juga memahami pendirian Pas mengenai isu itu namun menegaskan KEADILAN turut berkongsi hasrat yang sama untuk melihat tertegaknya sebuah negara Palestin yang merdeka, bebas dan makmur.

Berikut kenyataan penuh Anwar:

Telah dihebahkan kenyataan saya dalam Asian Wall Street Journal, “I support all efforts to protect the security of the state of Israel,” (Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel).

Sedangkan kenyataan penuh selepas itu, “a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians.” (pendirian tersebut tertakluk kepada syarat bahawa Israel mesti menghormati aspirasi rakyat Palestin) tidak pula disiarkan sepenuhnya.

Media, pimpinan Umno dan Datuk Seri Najib Razak berterusan menabur fitnah kononnya saya mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.

Kenyataan saya kepada ASWJ secara jelas meletakkan aspirasi rakyat Palestin yang mahukan keadilan, keamanan dan maruahnya dihormati sebagai syarat kepada tuntutan Israel agar keselamatannya dijamin.

Pendirian saya ternyata diterima pimpinan dunia Islam seumpama kerajaan Arab Saudi seperti yang diungkapkan menteri luarnya, Putera Saud al Faisal bahawa:

“This [2002 Arab Peace Initiatve] is the way toward security.. Israel can’t keep the land and want security at the same time. It has to withdraw and give the Palestinians their rights. If Israel does that, the Arab states will put an end to the state of war. That will give Israel its security”.

Baru-baru ini Raja Abdullah dari Jordan juga mengulangi pendirian yang sama:

“The Palestinian right to statehood and their cry for justice and a homeland free of occupation remain the Arab people’s foremost cause. In Jordan, the “final-status” issues-including borders, refugees, security and Jerusalem-are at the heart of our priorities. This means making real the promise of a viable, independent, sovereign Palestinian state, as part of a two-state agreement that resolves all final-status issues and guarantees security for Israel.”

Makanya, persoalan tuntutan jaminan keselamatan Israel yang bersyaratkan kepada keadilan dan keamanan diberikan kepada rakyat Palestin bukanlah perkara baru.

Sedangkan saya tuntas mendokong aspirasi rakyat Palestin sekian lama, bermula dari memimpin demonstrasi membantah keganasan Israel yang mendapat dokongan Amerika pada tahun 1973 di hadapan Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur dan mewakili Malaysia pada tahun 1983 ke Persidangan PLO di Algiers setelah menerima undangan dari Yasser Arafat.

Pendirian saya tuntas menjunjung aspirasi rakyat Palestin yang mahukan keamanan, keadilan dan kehidupan yang bermaruah bertepatan dengan semangat yang disuarakan oleh Ismail Haniyeh, perdana menteri palestin:

“If Israel withdraws to the ’67 borders, then we will establish a peace in stages.. Number one, we will establish a situation of stability and calm which will bring safety for our people – what (Hamas founder) Sheikh (Ahmed) Yassin called a long-term hudna (truce). If Israel declares that it will give the Palestinian people a state and give them back all their rights, then we are ready to recognise them”.

Saya hargai pandangan dan semangat sahabat-sahabat dari PAS, Majlis Syura PAS dan seluruh gerakan dakwah dan pertubuhan Islam yang berterusan membela nasib rakyat Palestin.

Ketetapan PAS yang menentang keras pencerobohan dan kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin turut dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia. Saya memahami perbezaan pendirian PAS dengan KEADILAN. PAS berpendirian kewujudan negara Israel adalah haram dan mereka tidak berhasrat untuk mengadakan sebarang rundingan serta kerjasama dengan Israel.

Walaupun begitu KEADILAN berkongsi hasrat dengan PAS untuk melihat tertegaknya sebuah negara Palestin yang merdeka, bebas dan makmur, yang juga merupakan hasrat seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan.

Ini berbeza dengan adu domba Umno yang bermuka-muka dan mengambil kesempatan di atas sentimen kuat pro-Palestin di negara ini bagi matlamat politik sempit mereka. Tatkala media Umno menyerang saya sebagai ejen Israel, menteri luar dari Umno secara terbuka mengesahkan kewujudan Israel berdasarkan penyelesaian dua negara (two-state solution) di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Manakala saya dituding mengkhianati aspirasi rakyat Palestin, menteri pertahanan dari Umno jugalah yang duduk berbincang dengan menteri pertahanan Israel pada tahun 2009, walaupun perkara ini cuba dipadamkan. Namun rakyat tidak lupa bahawa pentadbiran Perdana Menteri bergegas melantik APCO yang turut diterajui Doron Bergerbest-Eilon, bekas ketua perlindungan dan keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat mejar jeneral.

Malah, mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus menerus memfitnah saya pernah bertemu perdana menteri israel dan menteri luarnya, Shimon Peres di Paris pada tahun 1994. Pada masa yang sama sesuatu yang tidak dapat dinafikan pimpinan Umno bahawa Malaysia merupakan rakan dagang Israel ke015 terbesar. Jumlah dagangan antara Malaysia dan Israel mencecah 667.6 juta Euro.

Sikap bermuka Umno dalam isu Palestin bukanlah perkara baru, sebab itu saya jelas menyeru sahabat-sahabat dan rakyat Malaysia supaya menumpukan tenaga membantu meringankan penderitaan saudara-saudara di Palestin.

Derita ini ditanggung setiap hari tatkala rakyat Palestin menyabung nyawa menyelamatkan diri dari serangan dan pendudukan tentera Israel. Ini kenyataan kehidupan seharian seorang rakyat Palestin yang harus kita insafi.

Saban hari, keperluan asas seperti air minuman, makanan, ubat-ubatan, simen untuk pembinaan dan pelbagai keperluan lain tidak dibenarkan masuk ke Gaza akibat sekatan Israel. Sengsaranya rakyat Palestin bila mana 80 peratus dari mereka memerlukan bantuan makanan, 90 peratus hidup dalam kemiskinan, lebih separuh daripada isirumah hanya makan sekali sehari dan lebih 60 peratus kanak-kanak menghidap anemia dan kekurangan zat makanan.

Sebab itu saya yakin bahawa aspirasi rakyat Palestin yang mengambil kira kepayahan seharian mereka seperti yang disuarakan oleh pimpinan-pimpinan mereka wajib dijunjung dan dihargai. Semangat setiakawan rakyat Malaysia yang selari dengan aspirasi itu bukanlah satu pengkhianatan kepada perjuangan mereka, sebaliknya menjadi dokongan utama kepada usaha mewujudkan keamanan dan memberikan keadilan kepada rakyat Palestin.

Oleh kerana itu wajar buat kita memahami, menghargai dan menjunjung aspirasi rakyat Palestin yang disuarakan melalui dua pertubuhan utama tersebut. Sepertimana pertemuan saya baru-baru ini di Doha dengan Khalid Mashaal, sebelum termeterainya persetujuan bersama tersebut, saya ulangi dokongan saya buat perjuangan rakyat Palestin, Hamas dan Fatah. Manakala pengiktirafan negara Israel tertakluk selagi mana Israel menghormati kedaulatan wilayah dan keselamatan rakyat Palestin.

Justeru adalah mustahak untuk kita sedari suara rakyat Palestin mutakhir ini adalah melalui Hamas dan Fatah sebagaimana yang tertera dalam persetujuan bersama Hamas dan Fatah di Doha hari ini. Persetujuan tersebut antaranya mengungkapkan dokongan terhadap aspirasi rakyat Palestin, pengunduran tentera Israel dari tanah Arab, menghentikan keganasan dan memperakui kewujudan Palestin. Seandainya ini dihormati maka kewujudan Israel akan diiktiraf.

Inilah juga semangat yang terkandung dalam kenyataan saya, “a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians.”
(Pendirian tersebut tertakluk kepada syarat bahawa Israel mesti menghormati aspirasi rakyat Palestin).


Selasa, 7 Februari 2012

AIR SELANGOR : KHIR TOYO KHIANATI AMANAH














Sungguh memeranjatkan apabila seorang pemimpin yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat tiba-tiba menuding jari ke arah orang lain bagi melepaskan dirinya.

PETALING JAYA: Kenyataan mantan Menteri Besar, Dr Khir Koyo bahawa beliau tidak terlibat dalam penyerahan konsesi air kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) membuktikan beliau sebenarnya tidak layak dan gagal selaku Menteri Besar Selangor.

“Sesungguhnya (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad yang memilih Khir turut bertanggungjawab di atas kegagalan ini,” kata Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Faekah Husin dalam satu kenyataan media.

Faekah berkata, sungguh memeranjatkan apabila seorang pemimpin yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat tiba-tiba menuding jari ke arah orang lain bagi melepaskan dirinya yang kini dianggap sebagai kera sumbang oleh partinya sendiri.

“Kenyataan dan penafian Khir seolah-olah mahu membalas dendam kepada Umno yang tidak mahu melindungi kesalahan beliau hingga tertuduh di mahkamah, sedangkan Umno sentiasa melindungi pemimpin mereka yang melakukan kesalahan pecah amanah dan rasuah.

“Khir kecewa perkara yang sama tidak dilakukan ke atasnya sebagaimana keistimewaan yang diperolehi (Menteri Pembangunan Wanita Kebajikan dan Masyarakat dan juga Ketua Wanita Umno) Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam skandal lembu NFC,” jelas beliau.

Katanya, sebagai bekas pemimpin nombor satu di negeri Selangor, Khir sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan Syabas menguruskan perkhidmatan pembekalan air dengan baik seperti yang dipersetujui dalam perjanjian bersama.

“Khir terlupa perjanjian yang ditandatangani pada 2004 adalah perjanjian tiga pihak dan Kerajaan Negeri turut terlibat dalam perjanjian tersebut bersama Kerajaan Pusat dan Puncak Niaga selaku syarikat induk kepada Syabas.

“Khir tidak boleh menafikan hakikat bahawa Puncak Niaga mempunyai kaitan rapat dengan Umno kerana (Pengerusi Syabas) Tan Sri Rozali Ismail merupakan Bendahari Umno Selangor ketika itu,” terang beliau.

Faekah menerangkan bahawa Syabas gagal mematuhi terma-terma perjanjian khususnya dalam meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air bersih kepada pengguna di Lembah Klang termasuk gagal mengurangkan peratusan air tidak berhasil (NRW) tetapi kerajaan negeri ketika itu di bawah pimpinan Khir gagal bertindak sewajarnya.

“Adakah Khir mahu mengatakan bahawa beliau tidakpun membaca isi kandungan perjanjian tersebut? Adakah Khir mahu mengakui bahawa beliau tidak ada pengetahuan bahawa di dalam perjanjian tersebut bahawa Syabas boleh menaikkan tarif air sehingga 71% pada tahun 2020?

Syabas syarikat kroni Umno

“Selaku MB tidakkah Khir tahu bahawa selama ini Syabas menggunakan aset air rakyat Selangor bernilai RM12 bilion secara percuma?,” soal beliau.

Di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN), masalah-masalah perkhidmatan air yang gagal ditangani Syabas amat jarang sekali diberi tumpuan biarpun rungutan serta aduan pengguna diterima setiap hari tetapi tidak endahkan hanya kerana Syabas adalah syarikat kroni Umno.
Ujar beliau, “hal ini membuktikan kegagalan penswastaan. Meskipun penswastaan asalnya untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dengan sedikit tanggungan kepada kerajaan negeri namun apabila penswastaan dikhianati dengan memberi kontrak kepada kroni dan syarikat yang tiada kepakaran maka inilah akibatnya. Rakyat terpaksa menanggung beban yang tinggi.”

Katanya, Khir tidak perlu berlagak naïf kerana di bawah pentadbirannya, memberi kontrak kepada syarikat-syarikat kroni telah menjadi budaya dan kemestian; matlamatnya satu – untuk mengkayakan kaum kerabat dan sahabat handai bagi kesinambungan parti kononnya.

“Khir tidak boleh menafikan, ketika zaman kegemilangannya sebagai Menteri Besar beliau telah memberikan kontrak-kontrak kepada syarikat yang berkait rapat dengan dirinya antaranya syarikat Lebar Daun Sdn Bhd (Lebar Daun).

“Lebar Daun ialah sebuah syarikat pembangunan hartanah yang kaya raya hasil pemberian kontrak secara terus, perjanjian usahasama dengan syarikat kerajaan negeri yang berat sebelah serta penganugerahan tanah berlokasi strategik.”

Hutang Unisel ratusan juta

Menurutnya, kontrak pembinaan asrama Universiti Selangor (Unisel) di Bestari Jaya adalah contoh nyata hinggakan Unisel berhutang ratusan juta yang terpaksa ditanggung kerajaan hari ini.

“Lebih malang lagi, sehingga hari ini asrama tersebut masih mempunyai kecacatan akibat dari mutu binaan yang jelek dan tidak mengikut spesifikasi selamat,” jelas beliau.
Katanya lagi, di bawah pentadbiran Khir yang merupakan Menteri Besar hasil produk Tun Dr Mahathir, banyak projek perumahan kos rendah terbengkalai kerana syarikat yang mendapat kontrak ini gagal menyiapkan projek dan telah menghilangkan diri.

“Atas nama pembangunan banyak tanah peneroka diserahkan kepada syarikat yang kebanyakannya adalah milik kroni Umno-BN sedangkan hakikatnya tiada pengalaman dalam projek pembinaan.

“Akibatnya tanah-tanah tersebut tergadai kepada bank. Bukan sahaja peneroka kehilangan tanah, malah pembeli juga terpaksa menanggung hutang dan ramai di antara mereka telah diisytiharkan muflis,” terangnya.

Namun begitu katanya, beberapa projek sekadar contoh termasuklah projek Alam Perdana di Kuala Selangor, projek Bukit Botak di Selayang, Kampung Berembang di Ampang dan projek perumahan di PJS1 yang kesemuanya berjaya diselesaikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

“Khir telah mengangkat tangan kononnya serik menjadi MB Selangor dan tidak mahu bertanding di dalam PRU yang akan datang. “Namun rakyat Selangor khususnya dan Malaysia amnya masih menunggu apakah kesudahan kes Khir Toyo menggunakan dana Kerajaan Negeri untuk bercuti bersama keluarga termasuk orang gaji ke Disneyland yang masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mungkin menjadi amalan di dalam UMNO, tindakan hanya dikenakan ke atas seteru politik dan tindakan Khir menganggkat tangan adalah sebagai tanda tidak akan melawan lagi. “Namun bagi pembayar cukai dan seluruh rakyat Selangor, Khir harus bertanggungjawab ke atas dosanya yang mengkhianati amanah yang diberikan,” ujar Faekah.

FMT pada 5 Februari lalu, melaporkan kenyataan Khir yang menafikan bahawa beliau menyerahkan pengurusan air Selangor kepada Syabas tetapi sebaliknya beliau menyerahkannya kepada kerajaan pusat. “Kerajaan Pusat yang memberikan kontrak 30 tahun kepada Puncak Niaga Sdn Bhd yang kemudiannya melantik Syabas untuk menguruskannya. Saya tidak terbabit kerana Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang memberikan kepada Puncak Niaga,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Glenmarie.

Ahad, 5 Februari 2012

NFC:SHARIZAT SOAL WIBAWA PENGKRITIK " KITA SERUPA "

Post Pic

BERUAS 4 FEB - Ketua Wanita Umno Datuk Seri Sharizat Jalil mengajak rakyat menilai latar belakang mereka yang mendesak beliau meletak jawatan dalam parti dan kerajaan demi “membuat keputusan betul” mengenainya bersabit isu Pusat Fedlot Kebangsaan (NFC).

Dalam komen yang dilihat sebagai tujukan kepada bekas mentornya Tan Sri Rafidah Aziz, Sharizat berkata : "Anda perlu melihat kepada latar belakang politik mereka yang mendesak saya letak jawatan.”

"Kalau anda buat kajian sedikit pun tentang mereka yang mendesak saya itu, anda akan tahu untuk membuat keputusan yang benar terhadap saya," tegas beliau.
Dua hari lalu, Rafidah mendesak Sharizat meletak jawatan dan tidak mengheret Perdana Menteri Najib Razak untuk membuat keputusan bersabit jawatanny sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Desakan itu dikecam oleh kalangan pemimpin Wanita Umno yang mengingatkan Rafidah bahawa beliau sendiri terpalit dengan skandal pmberian Permit Import (AP) pada tahun 2005, namun pergerakan itu tetap menyokongnya.

Bercakap kepada pemberita di Bruas, Sharizat yan baru pulang dari mengerjakan umrah berkata sokongan Wanita Umno terhadapnya semakin kukuh dalam menghadapi pilihanraya umum, meskipun ada pihak yang cuba menangguk di air keruh menggunakan isu NFC.

"Saya mengetuai lebih daripa 1.3 juta wanita UMNO dan saya yakin mereka akan terus memberi sokongan kepada saya," katanya.

"Dalam tempoh 3 bulan ini, cubalah anda lihat ke masa sahaja program yang saya pergi ke seluruh negara, sekarang lebih ramai yang memberi sokongan kepada saya,” tambah beliau.
"Jadi jangan cuba merendahkan keyakinan wanita di peringkat akar umbi terhadap kepimpinan wanita BN yang ada hari ini," tegas beliau.

Sharizat berkata wanita Umno dan Barisan Nasional harus menjadi barisan pertama dalam menghadapi PRU ke 13. "Wanita mesti bertenaga, komited dan fokus pada pemantapan jelajah jentera pilihanraya," katanya.

Semalam, Sharizat menegaskan beliau “tidak akan lari” daripada isu NFC namun tidak akan tunduk kepada desakan untuk meletak jawatan sebagai Menteri dan Ketua Wanita Umno. Projek NFC yang dimiliki suami Sharizat di belit kontrovesi setelah Ketua Audit Negara menegur syarikat itu kerana tidak menepati sasaran bersabit kontrak ternakan lembu daging.
Pembangkang mendakwa syarikat itu yang dikuasai oleh suami Sharizat menggunakan pinjaman kerajaan RM250 juta untuk membeli tanah, kondominium dan kereta mewah dan bukan untuk tujuan dana itu disediakan.

Khamis, 2 Februari 2012

BUBAR PARTI KITA



SHAH ALAM, 2 Febuari : Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim menjadi pemimpin pertama parti itu membantah secara terbuka hasrat Datuk Zaid Ibrahim membubarkan parti itu, kurang setahun selepas ditubuhkan.

Dalam blognya hari ini, Zaid berkata langkah itu perlu untuk meleraikan sebarang keraguan bahawa parti itu tidak menyokong Pakatan Rakyat susulan kritikan pemimpin-pemimpin KITA di Pulau Pinang dan Kedah terhadap gagasan pembangkang itu.

Zamil, berkata tindakan Zaid selaku presiden KITA adalah tidak rasional dan tidak bertanggungjawab.

"Kita bukan sebuah perniagaan yang boleh di buka dan ditutup begitu sahaja," kata Zamil yang menjadi penyokong awal Zaid namun kemudian mengkritik bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat itu.

"Seorang presiden seharusnya memanggil mesyuarat tergempar untuk berunding dengan kami dan bukannya membuat kenyataan kepada media mengenai langkah drastik seperti ini," tambah beliau.

Zamil berkata Zaid tidak berpegang kepada janji untuk menjadikan KITA bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik lain.

Beliau berkata bekas Ahli Parlimen Kota Bahru itu sepatutnya meletak jawatan sebagai Persiden KITA dan bukannya membubarkan parti itu.

Zaid berkata, beliau sedar sekarang bahawa penubuhan KITA adalah satu kesilapan.

"Saya berhasrat untuk memberi idea-idea alternatif dalam politik dan membawa kepelbagaian bakat yang lebih luas kepada kepimpinan pembangkang. Ini belum pernah berlaku sebelum ini.

"Saya telah membuat banyak kesilapan dalam hidup saya tetapi saya tidak tawar hati. Saya tetap yakin bahawa perubahan akan datang untuk kebaikan negara ini dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab saya di dalam mencapai tujuan itu," katanya lagi.