Selasa, 30 Jun 2009

ARTIKEL PDO SIARKAN DALAM SUARA KEADILAN


KUALA LUMPUR - Susulan laporan eksklusif kami mengenai terdapatnya "Panggilan Terakhir Saiful Ke Mindef" dan "Doktor Forensik HKL Dipindahkan Ke Kuantan Gara-Gara Enggan Mengikut Skrip Liwat" baru-baru ini, maka kami difahamkan akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat iaitu Suara Keadilan telah menyiarkan laporan artikel tersebut dalam keluaran terbarunya bertarikh 23-30 Jun 2009. Laporan tentang Saiful disiarkan di muka belakang manakala laporan tentang Dr.Zahari di mukasurat dua akhbar terbabit. Pihak kami telah dimaklumkan tentang perkara ini. Justeru itu kepada semua pembaca yang tertinggal artikel terbabit, bolehlah mendapatkan akhbar itu di pasaran sekarang. Antara berita utama muka hadapan yang dipaparkan juga ialah kenyataan Majlis Peguam Negara supaya kes Anwar digugurkan kerana tiada bukti dia telah diliwat.


MAHKAMAH TANGGUH RAYUAN KES LIWAT ANWAR

Mahkamah Tangguh Rayuan Kes Liwat Anwar

PUTRAJAYA- Rayuan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya kes liwat yang dihadapinya dibicarakan di Mahkamah Tinggi ditangguhkan esok bagi membolehkan Anwar menghadiri persidangan Parlimen. Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Abdull Hamid Embong, bersama panel Hakim Datuk Abu Samah Nordin dan Datuk Jeffery Tan Kok Wha, menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam utama, Sulaiman Abdullah untuk menangguhkan perbicaraan itu. Sulaiman berkata Anwar perlu menghadiri sidang Dewan Rakyat bagi membolehkan beliau menyertai perbahasan Kod Etika Hakim, yang dijadual dibentangkan hari ini. Pihak pendakwaan, yang diketuai Peguam Cara Negara II Datuk Yusof Zainal Abiden tiada bantahan terhadap penangguhan itu, membolehkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan bertulis dan dokumen-dokumen tertentu kepada mahkamah.

Khamis, 11 Jun 2009

ANWAR MINTA DOKUMEN DARI PENDAKWARAYA

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini memohon Mahkamah Tinggi supaya memerintahkan pihak pendakwa raya untuk membekalkan kepadanya semua dokumen berkaitan kes liwatnya secepat mungkin. Anwar dalam notis usul yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah mahu pendakwa raya membekalkan dokumen tersebut sebelum perbicaraan kes liwatnya yang akan bermula dari 1 Julai hingga 24 Julai depan. Antara dokumen yang diminta Anwar ialah pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang asal yang diambil di beberapa lokasi di tempat kejadian di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara dari tarikh 25 Jun hingga 27 Jun 2008, sampel DNA, kenyataan saksi termasuk pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, kenyataan polis dan beberapa dokumen lain. Anwar, yang turut menyertakan afidavit sokongannya, memfailkan permohonan itu melalui Tetuan S N Nair and Partners,
pada jam 2.15 petang ini. Beliau menamakan pendakwa raya sebagai responden. Dalam permohonan itu, Anwar mahu semua dokumen itu dikemukakan sebelum perbicaraan kerana dokumen itu amat diperlukan, relevan dan mustahak bagi Anwar untuk menyediakan pembelaannya dengan secukupnya dan secara bernas.

ANWAR MOHON AGAR KES LIWATNYA DITANGGUHKAN

KUALA LUMPUR - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (foto), memohon mahkamah supaya sebarang prosiding kes liwatnya ditangguhkan atau digantung sementara menunggu dan sehingga permohonan membekalkan dokumen-dokumen kes liwatnya selesai. Beliau memohon mahkamah supaya melepaskan dan membebaskan beliau serta merta daripada tuduhan liwat atau prosiding kes liwatnya itu digantung selama-lamanya jika pendakwa raya tidak mematuhi perintah mahkamah tersebut. Anwar mendakwa beliau melalui peguam caranya, sudah membuat beberapa permohonan bertulis kepada pendakwa raya untuk dokumen-dokumen tersebut tetapi tiada jawapan atau balasan positif, mencukupi dan memuaskan daripada pendakwa raya. Oleh kerana kes itu membabitkan keterangan DNA dan rakaman CCTV, katanya, beliau perlu mendapatkan pakarnya sendiri untuk memeriksa sampel-sampel DNA serta rakaman CCTV dan melakukan ujian yang sewajarnya. Beliau juga berkata, pembelaan beliau membabitkan pembelaan alibi dan beliau ingin memberikan notis alibi yang sewajarnya dan jika dokumen-dokumen itu tidak dibekalkan, ia akan melengahkan perbicaraan kes tersebut. Anwar, 61, menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun lalu.

Selasa, 2 Jun 2009

KEMATIAN BN/UMNO YANG PASTI



Kemenangan di Penanti. Tahniah kami ucapkan kepada Pakatan Rakyat di sana meski pun sudah beberapa hari berlalu. Kami Angkatan Muda KeADILan Bahagian Parit Sulong untuk sekian kalinya memang berbangga dengan pencapaian Pakatan Rakyat di mana-mana kawasan pilihanraya dun ataupun parlimen walaupun ada tempat-tempat yang dijangkakan dikuasai BN/UMNO. Apa yang penting adalah kita tetap tidak gentar untuk berlawan. Bak kata Dato' Seri Anwar Ibrahim "LAWAN TETAP LAWAN".
Tidaklah seperti BN/UMNO yang takut tak menentu memberi pelbagai alasan untuk menyelamatkan air muka mereka supaya tidak dimalukan oleh rakyat yang semestinya sudah muak dan benci dengan pentadbiran BN/UMNO. Berita yang diuar-uarkan Najib bahawa kemenangan PKR di penanti tidak membanggakan. Memang benar tidak membanggakan kerana dia bukan orang PKR mahupun Pakatan Rakyat dan lebih tidak membanggakan adalah kerana dia takut untuk meletakkan calon BN/UMNO di Penanti. Apa yang dia nak banggakan sebab dia penakut!
Katalah apa jua dan momokkanlah rakyat lagi dengan bermacam ragam berita karut akan kepincangan Pakatan Rakyat. Semakin banyak berita yang dikeluarkan, semakin ramai rakyat yang meluat dan bosan dengan cara BN/UMNO. Suratkhabar dan tv bukan lagi menjadi pilihan kebanyakkan rakyat Malaysia untuk mendapatkan berita yang telus. Kini rakyat telah beralih kepada internet kerana kita boleh memilih ataupun mencari berita yang sebenar-benar berita dan diyakini lebih telus.
Natijahnya akhir ini kita telah menyaksikan kemerosotan sokongan rakyat yang amat teruk terhadap BN/UMNO dan ini menandakan tanda-tanda zaman kejatuhan sebuah regim yang kejam. Berbagai-bagai NGO, kalangan profesional mahupun rakyat marhein telah bertindak menyatakan bantahan terhadap kepincangan pentadbiran BN/UMNO. Maka benarlah seperti yang telah dilakukan oleh penduduk sebuah kampung di Sabah, eloklah BN/UMNO ini kita talkinkan. Innalillahiwainnailaihirojiun.