Akal membezakan antara manusia
dan haiwan, berfungsi untuk berfikir dan menilai sesuatu secara logik. Hati
pula tempat letaknya perasaan dan penilaian menggunakan emosi hati nurani. Pun
begitu, jika akal tidak digunakan secara optimum dan berkesan, kita boleh saja dipermainkan oleh perasaan, jatuh ke dalam kancah
emosi tidak terkawal. Sering kita berdepan hujah-hujah intelektual untuk
menjustifikasikan sesuatu yang batil seperti fahaman-fahaman palsu. Ini berlaku
pada zaman feudal, Nazi, komunis, Aparteid dan nasionalisme jingoistik apabila
hujah-hujah logikal dihasilkan bertujuan mengagung, mempertahan mahupun
mempromosikan fahaman-fahaman palsu ini. Ramai juga termakan dan telah membuka
pintu hati menerima hujah-hujah fahaman palsu ini sebagai akidah mereka. Lihat
sahaja di Bukit Jalil minggu lepas, liputan merah amarah dengan pemimpin
berhujah lesu menghasut emosi sehingga kebolehan mengira pun tak masuk akal di
mana 40,000 dikatakan 100,000 pula. Justeru, sudah tiba masanya untuk kita
menilai empat hujah pokok politik yang mencorak masa depan bangsa dengan akal
cerdas dan hati terbuka. Elok benar kita gunakan akal untuk patahkan hujah
palsu agar kita tidak ‘patah hati’ nanti selepas PRU13. Pertama, hujah hak
Melayu terancam jika BN kalah pilihan raya bukan sahaja tidak masuk akal tapi
dijadikan bahan api membakar emosi. Mana logiknya apabila kedudukan istimewa
Melayu sudah terpahat di dalam Perlembagaan Persekutuan yang hanya boleh diubah
dengan undi dua pertiga Parlimen dan restu Majlis Raja-Raja. Mana masuk akal
apabila jumlah pengundi Melayu melebihi 60 peratus dan masih kekal sebagai
majoriti di bumi sendiri. Penjawat awam pula hampir 80 peratus juga berbangsa
Melayu. Bermaksud hak Melayu terpelihara tidak kira pihak mana membentuk
kerajaan. Kedua, hujah negara akan bankrap jika pembangkang memerintah juga
tidak masuk akal dan menutup hati daripada hakikat bahawa majoriti rakyat masih
miskin manakala majoriti menteri Kabinet, keluarga dan kroni adalah jutawan
belaka. Ketika ini iklim ekonomi dengan hutang negara 53 peratus KDNK apabila
ditambah dengan hutang isi rumah 70 peratus KDNK menjadikan jumlah RM1.1
trilion - ketirisan ekonomi yang dianggarkan juga melebihi RM1 trilion dan
keperluan pelaburan RM1.4 trilion untuk menjayakan program-program ETP kerajaan
- memperlihatkan kita sudah melangkau ‘krisis ekonomi bertrilion’ - di mana kos
sara hidup meningkat tetapi tangga gaji hanya meningkat 2.6 peratus secara
purata setahun dengan jurang kemiskinan tertinggi di Asia Tenggara pada 0.46
mengikut indeks GINI - membuktikan BN dan bukan Pakatan Rakyat yang akan
membankrapkan negara. Ketiga, hujah hanya BN membawa pembangunan dengan membina
sekolah, perumahan kos rendah, jalan raya dan memberikan perkhidmatan
pendidikan, perubatan dan sebagainya memang langsung tidak masuk akal. Bukankah
British membina prasarana dan memberikan perkhidmatan asas hasil daripada
sumber asli negara ini sendiri? Dan bukankah BN juga menggunakan sumber cukai
dan pendapatan hasil bumi dan keringat rakyat juga? Ini yang dikatakan lembu
punya susu, sapi dapat nama. Keempat, hujah bahawa pilihan raya kita adalah
bebas dan adil atau ‘bersih’ lagi tidak masuk akal. Perkara paling utama
menentukan negara terus maju dan makmur adalah jaminan pilihan raya bebas dan
adil. Hanya dengan ini kita dapat memilih kerajaan yang ‘sah’ untuk mewakili
suara, kuasa dan kepentingan rakyat. Adakah pilihan raya kita bebas dan adil
jika: daftar pemilih masih pincang; warga asing diberikan kewarganegaraan untuk
mengundi; undi pos digandakan kategori dan bilangannya; beratus orang pengundi
tinggal di satu alamat sahaja; tv, radio dan surat khabar hanya untuk sebelah
pihak sahaja; waktu berkempen terlalu pendek; kerusi-kerusi Parlimen ditetapkan
melalui persempadanan tidak adil di mana hanya 20 peratus pengundi menentukan
majoriti mudah 112 kerusi; dan jentera kerajaan digunakan habis-habisan? Akhir
kata, demi masa depan anak-anak kita jangan pula kita menjadi buta hati dan
buta perut serta terus hilang akal daripada mematahkan hujah-hujah palsu dan
membersihkan apa yang sudah kotor.
Y.B. Nurul Izzah Anwar.