Selasa, 20 Mac 2012



KUALA LUMPUR 19 MAC: Bekas Menteri Penerangan dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini meletakkan jawatan selaku ahli Umno.

Dalam satu kenyataan media, Abdul Kadir memaklumkan, beliau hari ini menghantar surat kepada Setiausaha Agung Umno Malaysia, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkenaan perkara ini.

“Pada hari ini saya telah pun mengirim surat kepada Setiausaha Agong UMNO Malaysia untuk meletakkan jawatan selaku ahli UMNO Malaysia mulai hari ini,” kata Abdul Kadir.

Minggu lalu, Abdul Kadir meletakkan jawatan sebagai Bendahari Umno bahagian Kulim – Bandar Baharu, iaitu jawatan terakhir yang dipegangnya dalam Umno.

Semasa berada di dalam Umno, yang dianggotainya sejak 1956, beliau pernah menjadi Exco Pemuda selama sepuluh tahun dan Ahli Majlis Tertinggi selama dua puluh empat tahun, di samping jawatan lain seperti Ketua Pemuda Umno Kedah.

Beliau dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada 1999 dan Menteri Penerangan pada 2004. Beliau adalah Ahli Parlimen Kulim – Bandar baharu selama lima penggal, sebelum mengundur diri pada Pilihanraya Umum ke-12.

Kini, beliau adalah Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah).

Selasa, 13 Mac 2012

BEZA DATIN SRI WAN AZIZAH, SHAHRIZAT BAGAI LANGIT DENGAN BUMI


KUALA LUMPUR, 13 Mac: Perbezaan antara Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mana keluarganya bertanggungjawab menyalahgunakan sebanyak RM250 juta adalah bagaikan langit dan bumi.

Demikian dinyatakan Naib Presiden PKR, N Surendran yang merujuk kenyataan Timbalan Menteri Ahmad Maslan bahawa Wan Azizah sepatutnya meletak jawatan sebagai Presiden Keadilan kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan pada 1999.

Baginya, kenyataan Ahmad itu mendedahkan hipokrasi Umno.


Jelasnya, umum mengetahui Anwar dipenjarakan berikutan rekayasa Umno yang melibatkan Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir, Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan sistem kehakiman yang sudah rosak.

Tambahnya, tuduhan dan hukuman terhadap Anwar mengejutkan rakyat Malaysia dan mengundang kritikan antarabangsa.

“Namun Ahmad Maslan terus membohongi dirinya sekiranya beliau menyatakan bahawa Anwar dibicarakan secara adil.

“Mengapa perlu Wan Azizah meletak jawatan apabila beliau dan keluarganya menjadi mangsa kezaliman dan politik kotor Umno?” soalnya dalam satu kenyataan.

Sebaliknya, kata beliau Wan Azizah mempunyai tanggungjawab sebagai seorang pemimpin politik untuk terus kekal di jawatannya dan terus memperjuangkan reformasi, keadilan dan kebebasan.

Menurutnya, selama 13 tahun Wan Azizah telah berjaya memimpin perjuangan dengan berani dan bermaruah, menghadapi cabaran besar.

“Perbezaan antara Wan Azizah dengan Shahrizat yang mana keluarganya bertanggungjawab menyalahgunakan sebanyak RM250 juta adalah bagaikan langit dan bumi,” katanya.

Beliau berkata, hanya selepas berhadapan dengan kritikan Pakatan Rakyat dan rakyat, Shahrizat mengumumkan melepaskan jawatan menterinya pada bulan hadapan.

Ini, jelas Surendran bukannya tindakan sukarela.

Menruutnya, Ahmad Maslan, Muhyiddin dan pimpinan Umno lain tidak boleh membohongi rakyat dengan menyatakan bahawa Shahrizat telah 'mengorbankan' dirinya.

Malah, katanya pimpinan Umno dan BN tidak mempunyai budaya mengambil tanggungjawab terhadap penyelewengan mereka dengan melepaskan jawatan mereka.

“Dilindungi oleh polis, media dan sistem kehakiman yang dikuasai mereka, pimpinan BN tidak pernah melihat perlunya untuk patuh pada prinsip kebertanggungjawaban dan tatakelola yang baik,” ujarnya lagi.

Baginya, kenyataan Ahmad Maslan ialah contoh terbaik kecurangan Umno tersebut.

Isnin, 12 Mac 2012

SUAMI SHAHRIZAT DIDAKWA PECAH AMANAH

(Shahrizat tiba di mahkamah sesyen Kuala Lumpur untuk memberikan sokongan moral kepada suaminya selepas mengumumkan perletakan jawatan semalam)

KUALA LUMPUR, 12 Mac: Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFCorp) Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail didakwa di mahkamah sesyen hari ini atas dakwaan pecah amanah dan melanggar Akta Syarikat.

Ia melibatkan wang bernilai RM49 juta namun beliau tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Dakwaan dibacakan ke atas Mohamed Salleh dengan isterinya, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang membuat pengumuman akan meletakkan jawatan kabinetnya semalam, duduk di tempat pemerhati awam dalam mahkamah itu.

Turut serta dalam mahkamah adalah anaknya, Izmir yang turut menjadi pengarah dalam NFCorp tetapi dua lagi anaknya, Izran dan Izzana tidak kelihatan.

Pagi tadi tersebar berita pengarah NFCorp akan didakwa di mahkamah sesyen hari ini.

Semalam Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan akan meletakkan jawatan apabila tamat tempoh perlantikan beliau sebagai senator 8 April nanti.

Namun, ramai yang tidak bersetuju beliau meletakkan jawatan kerana beliau sebenarnya tamat tempoh perkhidmatan pada tarikh tersebut.

Ekoran berita itu, hari ini media menyiarkan pula berita pemimpin kanan NFC akan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini.

Datuk Dr Mohamaed Salleh Ismail adalah Pengerusi Eksekutif NFCorp yang mendapat pinjaman mudah kerajaan bernilai RM250 juta.

Ketika membentang laporannya hujung tahun lalu, Ketua Audit Negara menyatakan, ada masalah yang sedang menyelubungi projek ini.

Ekoran itu, pelbagai pendedahan dibuat termasuk pembelian kondo mewah di Bangsar dan Singapura, kereta mewah serta perlancongan mewah yang melibat wang NFC.

Ia bertentangan sama sekali dengan tujuan pinjaman mudah ini diberikan iaitu projek memajukan penternakan negara melalui pusat fidlot nasional.

Jumaat, 9 Mac 2012

MURNIKAN BUDAYA HORMAT WANITA - YB ZURAIDA

KUALA LUMPUR 8 Mac: Wanita adalah tonggak keluhuran institusi keluarga dan masyarakat, seterusnya menjadi nadi kepada kekuatan negara dan bangsa, kata Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang jatuh pada hari ini, Wanita KEADILAN meraikan seluruh kaum Wanita di Malaysia dengan mengangkat tema “Memurnikan Budaya Hormat Wanita”.

“Budaya hormat wanita ini haruslah diterapkan dalam kehidupan seharian setiap insan dan usaha kita membentuk masyarakat yang sejahtera dan lestari,”

“Budaya ini harus dipupuk agar anak – anak menghormati ibu, agar para suami menghormati para isteri, agar adik – adik menghormati kakak , justeru semaraklah budaya kaum Adam menghormati kaum Hawa,” ujarnya sambil mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wanita kepada seluruh wanita di Malaysia.

Menurut Zuraida, Wanita Keadilan amat prihatin dalam memastikan wanita di Malaysia dapat menjalani kehidupan yang berkualiti, sejahtera dan lestari.

“Menyedari hal itu, program Wanita Keadilan Jelajah Kampung (WAJAH) yang telah dilancarkan sejak tahun lalu adalah usaha ke arah pemberdayaan wanita di luar bandar dan merupakan usaha ke arah meningkatkan kualiti kehidupan kaum wanita di desa.

Katanya, program ini adalah selaras dengan tema Hari Wanita Sedunia oleh Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu (PBB) pada kali ini iaitu “Empower Rural Women – End Hunger and Poverty”.

“Kepada seluruh wanita di Malaysia, ingin saya tegaskan kembali bahawa Pakatan Rakyat serius dalam usaha memastikan peningkatan kualiti kehidupan wanita sekeluarga agar membentuk masyarakat yang sejahtera dan lestari,” ujarnya.

Khamis, 8 Mac 2012




KUALA LUMPUR, 7 Mac: PAS Johor mensasarkan sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Mazlan Aliman (gambar) berkata, sasaran itu ditetapkan berdasarkan perubahan positif rakyat negeri itu yang kini menyambut baik Pakatan Rakyat khususnya PAS yang disifatkan 'tidak pernah berlaku sebelum ini'.


Menurutnya, melihat mood positif rakyat, beliau bukan sahaja yakin PAS boleh menang di kerusi sasaran itu, malah Pakatan Rakyat secara keseluruhan juga tidak mustahil akan menerajui negeri itu.

"Kita (PAS) kini sedang fokus kepada 17 Dun sasar.

"Mungkin orang kata saya bermimpi, atau angan-angan, tapi dengan sambutan kepada kita pada waktu ini, saya yakin kejutan akan berlaku, Johor mungkin jatuh kepada Pakatan Rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

Pada PRU ke-12 lalu, PAS bertanding 39 daripada keseluruhan 56 kerusi, manakala PKR dan DAP masing-masing 9 dan 12 kerusi.

Dari jumlah ditandingi itu itu PAS hanya menang di dua kerusi iaitu di Dun Maharani dan Sungai Abong.

Menurut Mazlan lagi, perbezaan ketara sokongan rakyat Johor terhadap Pakatan rakyat berbanding 2008 boleh dilihat dengan sambutan terhadap program-program mereka di negeri itu sejak kebelakangan ini.
Sambutan luar biasa itu katanya, telah menyebabkan ada pihak 'tak senang duduk' sehingga mengupah kumpulan tertentu mengganggu dan membuat kecoh khususnya di ceramah-ceramah anjuran mereka.

Manifesto 15 perkara dasar

Menurut Mazlan lagi, PAS Johor juga telah selesai berbincang berhubung manifesto pilihan raya peringkat negeri yang akan ditawarkan.

Tanpa menjelaskan secara terperinci, beliau berkata ianya menggariskan 15 perkara dasar antara lain tawaran penyelesaian masalah tanah dan tawaran pengurusan pentadbiran lebih baik.

"Kita telah siap seminar manifesto, dan sedang timbang dengan PKR dan DAP.

"Kita yakin menifesto ini akan menjadi kekuatan utama kita untuk ambil Johor," katanya lagi.

Muhyiddin mula gusar

Mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya Johor masih 'tiang seri' BN pada PRU-13 akan datang, Mazlan berkata, ia sebenarnya menggambarkan kebimbangan timbalan perdana menteri itu.

"Kenyataan Muhyiddin tu menggambarkan kebimbangan beliau.

"Saya nak bagi tahu (kepada Muhyiddin), 'tiang seri' itu sudah dimakan anai-anai. Bila-bila pun boleh patah," katanya yang juga AJK PAS Pusat

Menurut Mazlan lagi, beliau mendapat maklumat Umno sememangnya gusar dengan kedudukan mereka di Johor sekarang ini.

Katanya, tidak pernah selama ini, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman turun berkampung di setiap kawasan parlimen seperti yang terpaksa dilakukan sekarang ini.

Malah katanya, selepas lawatan Muhyiddin semalam, Najib pula dijangka turun ke Johor dalam masa terdekat.

"Orang Johor ni dia pandai, dia senyap-senyap sahaja, dia tak tunjuk sokong kita," jelasnya.