Ahad, 12 Disember 2010

SURAT TERBUKA KEDUA KEPADA TAN SRI ISMAIL OMAR

Kepada,

YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar IGP,
Ketua Polis Negara,
Polis Di-Raja Malaysia,
Bukit Aman,
50560 Kuala Lumpur.

10hb.Disember 2010

YDH Tan Sri,

JAWAPAN KDN MENGENAI INSIDEN MATA-LEBAM.

Assalamualaikum wbt.,Semoga YDH Tan Sri dalam sihat walfiat.

2. Izinkan saya dengan segala hurmatnya merujuk kepada jawapan YB Menteri Dalam Negeri bertarikh 2.12.2010 kepada persoalan yang ditimbulkan di-Parlimen oleh YB Lim Kit Siang berkaitan isu diatas.

3. Saya menarik perhatian Tan Sri kepada petikan jawapan tersebut; “Pihak PDRM telah membuat semakan keatas penyiasatan yang melibatkan Dato Seri Anwar Ibrahim dalam kes serangan mata-lebam pada 1998.Tiada apa apa keterangan yang boleh menunjukkan berlakunya keterangan palsu dalam penyiasatan tersebut”.Saya memohon maaf kerana terpaksa menyatakan pendapat saya, bahawa pendirian yang PDRM ambil dalam menyediakan jawapan tersebut adalah jauh berbeza,malahan bertentangan dengan pendirian PDRM, ketika menangani siasatan insiden ini pada 1998.Saya wajar menegaskan bahawa pendirian PDRM ketika itu, adalah untuk menjalankan siasatan “without fear or favour;leaving no stone unturned;and to get it over with as soon as possible” dan tidak ada sebarang “cover-up” untuk sesiapa pun.Namun begitu pendirian kali ini nampaknya cenderong kepada melindungi orang-orang tertentu.

4. Saya berharap pendirian sedemikian yang Tan Sri ambil dalam penyediaan jawapan diatas adalah terbatas yang disebabkan oleh kekurangan bahan rujukan yang sepatutnya berada dalam kertas siasatan kes mata-lebam tersebut. Pada ketika penyiasatan kes ini lagi, beberapa dokumen penting dalam kertas siasatan itu, pernah dihilangkan ketika ditangan Peguam Negara dan kami terpaksa menggantikannya dengan salinan pendua.Malah keseluruhan kertas siasatan berkenaan pernah “dihilangkan” sementara, selama lebih kurang 3 minggu diatara 30.10.1998 hingga 20.11.1998 sepertimana yang saya jelaskan dalam perenggan 16 Surat Terbuka saya kepada Tan Sri pada 22.11.2010. Tidak hairan jika berlaku kekurangan kandungan kertas siasatan itu, kerana ianya tersorok lama di-Jabatan Peguam Negara.

5. Sebelum saya pergi kepada isu pokok surat ini,izinkan saya menegaskan bahawa diari penyiasatan saya dalam kes ini adalah dibuat “as and when the events unfolded”, sama-ada yang saya rakamkan secara detail atau sekadar mencatitkan perkara mustahak setakat membolehkan saya menyegarkan ingatan saya kepada peristiwa berkenaan.Seperti apa yang kita pernah diajar di-Maktab KKB dahulu, “you see..you recognize;you read..you will know;if you write…you will remember for ever.”.Saya juga ada merakamkan perkara-perkara penting dalam perharian rasmi (official diary) khususnya bagi memelihara kerahsiaan identity individu dan maklumat penting yang saya terima berkaitan siasatan kes ini. Selain daripada diari penyiasatan tersebut saya telah menyediakan summary of evidence dalam minit-minit bertarikh 15.10.1998, 29.10.1998 dan 27.1.1999 yang saya jadikan sebahagian daripada diari penyiasatan, kesemuanya diedarkan mengikut prosidur edaran kertas siasatan,kepada Peguam Negara.Jika terdapat rakaman diari atau minit saya yang palsu atau tidak benar,sudah lama saya telah dikenakan tindakan Mahkamah.

6. Apabila PDRM baru-baru ini menyatakan, “Tiada apa apa keterangan yang boleh menunjukkan berlakunya keterangan palsu dalam penyiasatan ini”,persoalan yang muncul secara spontan ialah;bagaimana dan dimanakah hendak disorokkan sebanyak tiga(3) laporan perubatan yang telah dipalsukan dalam siasatan tersebut?.Malah dua(2) daripada tiga laporan berkenaan telah dikemukakan dan dipertimbangkan dalam prosiding Suruhanjaya Di Raja menyiasat insiden mata-lebam ini pada tahun 1999,dan laporan Suruhanjaya diistiharkan dokumen public.Laporan-laporan ini pula bukannya sekadar satu atau dua muka surat yang boleh terlepas pandang. Ketiga-tiga laporan ini berjumlah enam puloh lima(65) muka surat kesemuanya.Selain itu ketiga-tiga laporan berkenaan telah saya edarkan kepada;

YAB Perdana Menteri sendiri pada 19.2.2009.
YA Bhg.Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM pada 15.4.2009 dan 7.5.2009
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Pengarah Hospital Kuala Lumpur dan Presiden Malaysian Medical Association pada 7.5.2009.
Peguam Cara Negara menerusi salinan laporan 15.4.2009 dan 7.5.2009.

6.1. Saya percaya Tan Sri masih ingat,bilamana satu helai surat sahaja,bertarikh 21.9.1953 yang ditanda tangani oleh seorang Pemangku Setia Usaha Kerajaan Negeri, menjadi antara sebab utama,maruah dan kedaulatan Negara tercemar apabila kita terpaksa menyerahkan Pulau Batu Putih (Pedra Branca) kepada Singapura.Bayangkanlah apa yang boleh enam puloh lima (65) muka surat dokumen yang dipalsukan atas arahan Peguam Negara-Peguam Negara, boleh lakukan terhadap Sistem Keadilan Jenayah kita.

7. Saya turut yakin Tan Sri mahir dengan case laws berkaitan pemalsuan.Setiap pemalsuan itu adalah dilakukan secara “deliberate”.Tidak ada pemalsuan yang sebegini banyak dilakukan secara tidak sengaja.Saya ingin menegaskan bahawa ketiga-tiga laporan perubatan yang dipalsukan itu dilakukan dengan perancangan, persediaan dan perlaksanaannya dilakukan secara deliberate bagi memenuhi motif-motif yang jelas.Diary penyiasatan saya dan minit-minit berkaitan boleh membantu mengenalpasti sequent of events pemalsuan-pemalsuan ini.

8. Jika saya yang menjelaskan motif-motif pemalsuan itu dilakukan,mungkin ada pihak yang akan mempertikaikannya atau mungkin ada yang akan mengatakan saya melampau atau bias.Untuk menjauhi tanggapan khilaf sedemikian,apa kata saya jemput Tan Sri menilai sendiri dengan merujuk kepada penemuan Ahli Suruhanjaya Di-Raja Tersebut yang bijaksana, dirakamkan dalam Laporan Volume 1,PART TWO,Item 2 “OVERVIEW” perenggan 2.1.Komen Suruhanjaya ini dibuat berkaitan Press Statement Peguam Negara bertarikh 5.1.1999 yang ditanda tangan sendiri oleh Tan Sri Mohtar Abdullah (Allahyarham TSMA) khususnya muka surat 5 Press Statement tersebut:-

:Quote:( 6 baris terakhir muka surat 5 “Overview”)

“Quite simply,this passage meant that Dato Seri Anwar Ibrahim(DSA)had made untrue allegations about several injuries sustained by him but more to the point that it had been proved,to the satisfaction of the Honourable the Attorney General,that more than one Police Officer was involved in causing other injuries on certain parts of DSA’s body” ( penekanan saya kepada perkataan dalam “bold & italic”).Unquote.

8.1. Perkara dalam 2nd limb,quotation diatas yang menyebabkan pertembungan “head-on” antara Tan Sri Abdul Gani Patail(TSGP) dengan saya.Jika saya sebutkan nama-nama pegawai tinggi Polis dan berapa jumlahnya yang TSGP katakan beliau ada kuasa untuk menuduh dan atas kesalahan apa berkaitan insiden mata-lebam ini,mungkin saya akan dianggap sebagai seorang penghasut atau batu api. Tiada faedah untuk saya memainkan script usang ini.Bagaimanapun untuk makluman Tan Sri ,pada ketika saya dipanggil memberi keterangan oleh pihak SPRM bulan July 2008 itu,saya disoal juga mengenai “sikap tidak sopan” saya ini.Mungkin ianya tidak penting tetapi sekadar untuk Tan Sri membuat verifikasi jika relevan.

9. Dalam prosiding Suruhanjaya DiRaja tersebut yang diadakan diantara 22.2.1999 dan 4.3.1999,dua laporan pakar dalam persoalan ini,yang disediakan oleh Dr.Rahman Yusof masing-masing yang diarahkan oleh TSGP pada 26.10.1998 dan satu lagi yang diarahkan oleh Allahyarham TSMA,yang dipercayai disediakan diantara 14.12.1998 dan 21.12.1998 (Ekshibit A9) telah dikemukakan dan diteliti oleh Suruhanjaya. Perkara ini dirakamkan dalam Volume 1,PART FOUR,Item 4(B) The Medical Evidence,perenggan 4.11 dan 4.12.

9.1. Saya mendapat faham pendedahan dalam prosiding ini telah membuat Allahyarham TSMA merasa cemas.Diberitakan beliau tidak tahu TSGP telah lebih awal melantik Dr.Rahman menyediakan laporan pada 26.10.1998. Allahyarham juga dikatakan tidak diberitahu mengenai latar belakang Dr.Rahman sepertimana yang saya telah jelaskan kepada TSGP.Saya turut percaya sekiranya Allahyarham TSMA diberitahu mengenai kedua perkara ini,tidak mungkin beliau akan melantik Dr.Rahman buat kali kedua oleh kerana sebarang pemalsuan yang dilakukan akan mudah dikesan kerana semua aktibiti siasatan ini dirakamkan secara ketat oleh Pasukan Penyiasat.

9.2. Saya kemudiannya diberitahu ,TSGP telah memainkan peranannya dibelakang tabir untuk cuba “membetulkan” keadaan.Apa yang boleh saya sahkan ialah Dr.Rahman sendiri memohon, malah merayu kepada pembantu-pembantu saya untuk mendapat kerjasama saya memasukkan laporan ketiga pula untuk “neutralize” laporan pertama bertarikh 26.10.1998 dan laporan kedua sepertimana Ekshibit 9,yang saya tolak.

10. Perkara yang sangat penting yang saya harapkan Tan Sri mengambil perhatian ialah;

10.1. Dalam prosiding Suruhanjaya DiRaja tersebut,dua laporan Dr.Rahman yang diarahkan oleh Allahyarham TSMA dan TSGP telah dikemukakan; sepertimana disebut dalam perenggan 9 diatas.

10.2. Apabila laporan Suruhanjaya tersebut lengkap dicetak dan dipersembahkan kepada SPB Yang Di Pertuan Agong,dan kemudiannya diistiharkan sebagai dokumen public,didapati laporan Dr.Rahman yang diarahkan oleh TSGP tidak ada dalam laporan tersebut.Bagaimanapun laporan yang diarahkan oleh Allahyarham TSMA ada sepertimana Ekshibit A9.

10.3. Untuk berlaku adil kepada TSGP,saya tiada maklumat mengatakan yang beliau ada peranan sehingga menyebabkan laporan yang beliau arahkan itu digugurkan daripada laporan Suruhanjaya tersebut.Bagaimanapun saya tidak akan terkejut jika beliau terlibat,oleh kerana orang lain tiada mempunyai kepentingan berkaitan laporan ini.Pun begitu saya tidak bimbang dengan ketiadaan dokumen tersebut dalam laporan Suruhanjaya, oleh kerana salinan-salinanya adalah dalam kawalan dan rakaman mengenai pembikinan laporan ini, dalam diari penyiasatan saya adalah lengkap dan jelas.

10.4. Apa yang patut dibimbangkan ialah;jika laporan penting sepertimana rekod prosiding Suruhanjaya Di-Raja ini,yang akan dipersembahkan kepada SPB Yang Di Pertuan Agong, pun boleh dimanipulasikan,maka bayangkan apa yang boleh dilakukan terhadap rekod siasatan melibatkan rakyat biasa.

11. Saya berharap Tan Sri akan menimbangkan semula pendirian yang PDRM ambil dalam isu ini.Perkara mantan IGP,TSRN mengaku bersalah dan mengambil tanggung-jawab dan melalui hukuman yang dikenakan keatasnya, TIDAK sepatutnya diungkit lagi.Perkara yang patut dititikberatkan ialah mengenai pemalsuan-pemalsuan yang dilakukan dalam penyiasatan mata-lebam ini,dan pemalsuan-pemalsuan serta penipuan-penipuan yang dilakukan susulan dari itu dan/atau yang berkaitan dengannya dan mengenalpasti siapa pemain-pemain utamanya.Keterangan mengenainya baik keterangan direct mahupun circumstancial adalah jelas.Saya percaya Tan Sri turut sedar bahawa tidak ada pihak yang mempunyai kuasa untuk indemnify mana-mana individu daripada criminal liability.

11.1. Tidak salah untuk saya membawa ingatan Tan Sri kepada Januari 1999, dimana kesan daripada pemalsuan dan penipuan yang terkandung dalam Press Statement Peguam Negara bertarikh 5.1.1999 telah membawa PDRM to the brink of collapse. Betapa masyarakat memandang rendah dan hinanya kita ketika itu,sehinggakan timbul cakap-cakap yang orang luar dari kalangan PTD pula akan mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara,seolah-olah dalam PDRM tidak ada orang yang layak atau mampu memimpin pasukan.Saya percaya Tan Sri juga ingat situasi ini dan tentunya tahu orang-orang yang terlibat dan bersubahat membawa kita kepada situasi itu.Saya berharap sejarah ini tidak berulang.

12. Apa pun,saya serahkan kepada kebijaksanaan Tan Sri untuk membuat keputusan yang terbaik untuk PDRM dan adil untuk semua pihak.Bagaimanpun saya memelihara hak saya, untuk menyambung atau menghentikan setakat ini sahaja, persuratan berkaitan perkara dalam persoalan ini atau perkara yang berkaitan dengannya.

Salam sejahtera dan selamat maju jaya.Wassalam.

Yang benar,

(Mat Zain bin Ibrahim)

10hb.Disember 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan