Khamis, 2 Jun 2011

BUKU JINGGA SELESAI MASALAH EKONOMI RAKYAT- NIK NAZMI


KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Buku Jingga yang diperkenal Pakatan Rakyat (PR) mampu dijadikan panduan bagi pengurusan ekonomi yang lebih baik.

Menurutnya, Buku Jingga juga berupaya menyelesaikan beban yang dihadapi rakyat rentetan kenaikan harga barang keperluan seperti minyak, gula dan terbaru peningkatan tarif elektrik yang diumum kerajaan.

“Semua yang terkandung dalam Buku Jingga kita sudah jelaskan secara terperinci bagaimana mahu mengagihkan sumber ekonomi supaya tidak berlaku bebanan kepada rakyat dengan menaikkan harga barang keperluan.

“Langkah yang kita drafkan meliputi kesan jangka pendek dan jangka panjang untuk memberikan kesempurnaan kepada rakyat. Dalam buku itu kita boleh lihat ada dinyatakan bagaimana kemakmuran melalui pengagihan ekonomi yang adil akan dilakukan sekiranya PR memerintah,” kata Nik Nazmi kepada Keadilandaily.com.

Buku Jingga merupakan satu dokumen bersama Pakatan Rakyat yang diperkenalkan pada Konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Pulau Pinang tahun lalu.

Ia bagi menangani krisis ekonomi, kerosakan institusi negara, ketegangan masyarakat berbilang kaum, bebanan rakyat, hak rakyat yang dinodai dan gejala rasuah yang berleluasa.

Buku Jingga turut menggariskan agenda 100 hari pertama pentadbiran Pakatan Rakyat sekiranya diberi peluang menerajui negara.

Antaranya merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada swasta seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion setahun.

Nik Nazmi berkata, agenda Buku Jingga itu sendiri akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan dalam dasar bersama PR.

“Bagi mengurangkan bebanan rakyat daripada dihimpit pembayaran tol, Buku Jingga telah menyatakan langkahnya di mana akan menyelaraskan badan-badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk ambil alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol.

“Kita juga akan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap guru. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta seperti subsidi gas sebanyak RM 19 bilion kepada penjana bebas,” katanya yang juga Adun Seri Setia.

Dalam pada itu beliau memberitahu Buku Jingga yang disifatkan sangat digeruni Barisan Nasional (BN) berjaya menarik perhatian rakyat kerana menawarkan program yang mengutama dan membela mereka.

“Kita berjaya kerana Buku Jingga diterima rakyat dengan diberi penerangan dan pengedarannya sehingga ke pelosok kampung.

“Setiap kali ceramah, kita juga memberi taklimat dan penerangan kepada penyokong mengenai agenda yang tertulis di dalam Buku Jingga. Jentera parti di peringkat Cabang dan Ranting turut bekerja keras memperkenalkan Buku Jingga kepada rakyat,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Komen