Selasa, 20 Mac 2012



KUALA LUMPUR 19 MAC: Bekas Menteri Penerangan dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini meletakkan jawatan selaku ahli Umno.

Dalam satu kenyataan media, Abdul Kadir memaklumkan, beliau hari ini menghantar surat kepada Setiausaha Agung Umno Malaysia, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkenaan perkara ini.

“Pada hari ini saya telah pun mengirim surat kepada Setiausaha Agong UMNO Malaysia untuk meletakkan jawatan selaku ahli UMNO Malaysia mulai hari ini,” kata Abdul Kadir.

Minggu lalu, Abdul Kadir meletakkan jawatan sebagai Bendahari Umno bahagian Kulim – Bandar Baharu, iaitu jawatan terakhir yang dipegangnya dalam Umno.

Semasa berada di dalam Umno, yang dianggotainya sejak 1956, beliau pernah menjadi Exco Pemuda selama sepuluh tahun dan Ahli Majlis Tertinggi selama dua puluh empat tahun, di samping jawatan lain seperti Ketua Pemuda Umno Kedah.

Beliau dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada 1999 dan Menteri Penerangan pada 2004. Beliau adalah Ahli Parlimen Kulim – Bandar baharu selama lima penggal, sebelum mengundur diri pada Pilihanraya Umum ke-12.

Kini, beliau adalah Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan