Khamis, 10 September 2009

KERAJAAN BN BOHONG LAGI


Rakyat didahulukan, harga minyak dinaikkan.

Sistem percukaian penjajah yang menekan petani, pekebun dan nelayan kini disambut oleh kerajaan UMNO dan BN sempena Ulangtahun ke 52 kemerdekaan negara. Hari ini Kerajaan Pusat mengumumkan kenaikkan harga minyak secara mengejut tanpa mengambil kira keperluan rakyat Malaysia khususnya umat islam yang bakal menyambut ketibaan bulan Syawal dalam beberapa hari lagi. Dimanakah dasar Satu Malaysia-Rakyat Didahulukan?

Nyata ianya adalah retorik politik. Sikap buas dan nafsu amarah penjajah sehingga mencetuskan kemarahan rakyat lalu bergabung tenaga dan bersatu untuk bangun menentang kezaliman penjajah lantaran memerdekakan bumi Malaysia ini akan berulang lagi dengan penentangan kuat terhadapa dasar Umno dan BN yang tidak peduli keperitan hidup rakyat malaysia. Kenaikkan mengejut ini pastinya membawa impak besar ke atas harga barangan keperluan harian. Permintaan di pasaran yang meningkat pada musim perayaan akan mendesak pengusaha untuk mengambil kesempatan dan menaikkan harga barangan keperluan lantaran menambahkan lagi beban rakyat yang sudah sememangnya berat ekoran kelembapan ekonomi negara masa kini. Rakyat disajikan dengan petrol RON 95 yang kononnya lebih murah dan sebagai bahan bakar alternatif kepada RON 97. Hakikatnya rakyat dipaksa berpuas hati dengan petrol yang kurang berkualiti dan boleh mencemarkan alam sekitar. Rakyat yang ingin menggunakan petrol RON 97 pula terpaksa membayar 25 sen lebih daripada harga sebelum ini bagi mendapatkan kualiti pembakaran petrol perkilometer yang serupa sebelum ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KEADILAN Badrul Hisham Shaharin berkata, kenaikan itu merupakan satu pembohongan Umno dan BN kepada rakyat yang seperti lazim setiap kali kenaikan dibuat, alasan yang diberikan adalah mengikut harga pasaran global. Beliau berkata, "kerajaan menggunakan penipuan secara teknikal dengan mengaitkan teknologi untuk menghalalkan pembohongan itu bagi mendapat keuntungan yang lebih besar untuk kepentingan masing-masing termasuk menjaga kroni sehingga sanggup memanipulasi dan membebankan hidup rakyat. "Tidak kiralah nak tukar RON 95 jadi RON 97 atau berapa sekalipun, itu bukan persoalannya, yang paling teruk rakyat ditipu dengan menyatakan kenaikan tersebut adalah mengikut harga kenaikan minyak global sedangkan pada hari minyak dinaikkan itu, harga minyak dunia mencapai pada harga paling rendah iaitu US$71 setong, ini adalah pembohongan yang tidak masuk akal," katanya.

Beliau yang juga Ketua KEADILAN Cabang Rembau berkata, pembohongan tersebut juga adalah operasi balas dendan Umno/BN setelah kalah berturut-turut kepada kerajaan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil sebelum ini. Malah katanya, impak kenaikan harga minyak itu bakal mendorong kebencian dan penolakan rakyat secara menyeluruh ke atas pentadbiran Umno/BN. "Kerajaan langsung tidak mempelajari isyarat rakyat terus-terusan menolak segala pembohongan yang dilakukan termasuk pembohongan mereka dengan menaikkan harga minyak sebagai balasan ke atas kekalahan dan keaiban yang terpaksa ditanggung selepas kalah dalam tujuh kali pilihanraya kecil sebelum ini," katanya.

Menurut Badrul lagi, kenaikan ini tidak menepati status negara sebagai negara pengeluar minyak yang menjadi penyumbang utama kepada hasil pendapatan negara. Dalam hal ini perbandingan tidak boleh dilakukan terhadap harga minyak yang ditawarkan oleh beberapa negara lain seperti Singapura, yang terpaksa mengimport minyak untuk menampung kegunaan domestiknya. "Tidak timbul juga isu subsidi di sini kerana negara kita adalah pengeluar minyak terbesar di dunia. Bila harga minyak naik, sepatutnya rakyat Malaysialah yang paling gembira. Mana tidaknya, minyak keluaran Malaysia sudahlah jenis premium, malahan boleh dijual dengan harga yang sungguh tinggi. Tentulah pendapatan negara berlipat ganda sebab eksport minyak adalah sumber pendapatan utama negara ini. "Ini tidak, bila harga minyak meningkat dipasaran global, rakyat disuruh percaya yang kerajaan tidak tertanggung lagi dengan azab subsidi untuk mengekang kenaikan harga pada pasaran tempatan. Yang digembar-gembur saban hari ialah kerajaan rugi, kerajaan rugi. Tak pernah pula kita dengar cerita kerajaan untung atau negara untung. "Sepatutnya kita perlu bersyukur dengan menggunakan nikmat dan kekayaan (minyak) yang dikurniakan pada Malaysia dengan mengagihkan perolehan supaya dapat dinikmati bersama secara adil sebab Malaysia berhak memperoleh minyak terbaik di dunia selaras dengan kurniaan Tuhan kepada kita," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan