Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memfailkan permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuannya bagi mendapatkan lebih dokumen dan bukti-bukti untuk membuat persiapan menghadapi perbicaraan kes liwat terhadapnya.
Beliau juga turut memfailkan permohonan di mahkamah yang sama untuk menangguh, dan untuk menemui Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, bagi mendapatkan tarikh awal pendengaran semakan semula itu.Peguam Sankara Nair berkata, permohonan tersebut telah difailkan di Mahkamah Persekutuan pada kira-kira jam 8.40 pagi tadi.“Kami perlu memfailkan permohonan semakan semula kerana tanpa dokumen-dokumen tersebut, tangan kami terikat dalam membuat persiapan menghadapi kes ini,” katanya.
Peguam Karpal Singh yang turut mewakili Anwar kemudiannya memberitahu Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah bahawa pihak pembela telah membuat permohonan tersebut dan mahu menemui ketua hakim negara berhubung semakan semula keputusan Jumaat lalu dan juga menangguhkan prosiding kes liwat Anwar."Kami mahu mendapatkan tarikh awal pendengaran semakan semula tersebut. Jika ketua hakim negara tidak membenarkan semakan semula dan penangguhan tersebut, maka kami akan teruskan dengan permohonan penangguhan lain, yang difailkan di mahkamah ini dan perbicaraan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Peguamcara Negara 11, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden tidak membantah permohonan tersebut.Hakim Datuk Mohd Zabidin kemudiannya membenarkan prosiding ditangguh sehingga jam 2.30 petang ini, untuk mendengar hujah-hujah berhubung perkara tersebut.Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan juga turut menolak rayuan Anwar untuk mendapatkan lebih banyak bukti dari pihak pendakwaraya seperti rakaman CCTV, nota doktor, senarai saksi dan kenyataan hemat saksi.Dalam afidavit sokongannya, Anwar berkata Mahkamah Persekutuan - sebagai mahkamah tertinggi di negara ini - mempunyai kuasa untuk mendengar dan menyemak keputusan awalnya.Menurut Anwar, beliau tidak diberi keadilan oleh Mahkamah Persekutuan yang didakwanya tidak memberi pertimbangan secukupnya terhadap rayuannya itu, kerana dokumen dan bahan-bahan tersebut, amat penting dalam menyedia pembelaannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan