Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua sahabat-sahabat pejuang keADILan, PAS mahupun DAP. Saya berharap para pejuang semua dalam keadaan semangat perjuangan yang tinggi. Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada para pejuang agar kental dalam menghadapi serangan emosi yang tidak terbatas daripada UMNO/BN di saat jangka hayat mereka yang semakin singkat. Sila ambil perhatian para pejuang semua, di dalam keadaan yang tersepit ini UMNO/BN akan menggunakan segala macam cara untuk melemahkan semangat kita yang berjuang di jalan kebenaran dan lebih-lebih lagi kita menentang mereka di negeri UMNO dilahirkan.
Saya sendiri telah menghadapi pelbagai cemuhan, ugutan dan kritikan oleh juak-juak UMNO yang mana dahulunya adalah kawan-kawan saya sendiri. Namun apabila saya menjemput mereka untuk berdepan secara terhormat ( berdebat berdasarkan fakta tanpa ada unsur-unsur pergaduhan), mereka menolak. Pada mereka dengan cara mencemuh akan memudarkan semangat saya untuk berjuang dalam keADILan namun semakin mereka mencemuh semakin kuat semangat saya untuk menentang mereka. Semangat saya untuk menyedarkan generasi muda pada hari ini daripada terus-terusan diseleweng oleh golongan UMNO semakin menebal. Di mana sahaja saya ada peluang untuk mendapatkan ahli-ahli baru saya akan usahakan dan Alhamdulillah sudah ramai rakan-rakan saya dapat saya sedarkan dari dendangan UMNO selama ini.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada bekas-bekas sahabat di kalangan UMNO kerana tanpa cercaan dan cemuhan mereka mungkin saya tidak akan berusaha bersungguh-sungguh seperti hari ini dan saya yakin bukan saya seorang saja yang mengharungi keadaan seperti ini. Semakin UMNO tidak menghormati hak-hak kebebasan saya sebagai rakyat Malaysia semakin membuatkan saya sedar akan hak saya dan dengannya saya juga menjelaskan kepada rakan-rakan saya yang lain. Setiap hari akan ada saja rakan yang ingin mendaftar sebagai ahli baru keADILan dan meninggalkan UMNO untuk mereput bersama-sama ahli-ahli mereka yang dah separuh abad. Percayalah para pejuang semua, UMNO tidak lagi mendapat sokongan padu dari anak muda sekarang. Kita semua telah berjaya menyedarkan mereka.
Buat bekas sahabat-sahabat saya yang UMNOnya karat terlebih lagi yang berada di Johor Bahru, terima kasih saya ucapkan sekali lagi dan saya masih lagi mengharapkan cemuhan anda semua di masa akan datang supaya semakin mantap saya menjadi seorang ahli Parti keADILan Rakyat yang bergiat cergas dalam menjayakan Gagasan Rakyat untuk menumbangkan rejim UMNO/BN daripada terus berkubu di Parit Sulong, Johor mahupun Malaysia. Ingat kata pepatah melayu "TAK LEKANG DEK PANAS, TAK LAPUK DEK HUJAN".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan