Khamis, 2 April 2009

PILIHANRAYA KECIL BUKTI SELAMBAU, TUAN RUMAH BUAT LAPURAN POLIS DAKWAAN 40 PENGUNDI HANTU GUNA ALAMAT RUMAH TANPA KEBENARAN



Bukti laporan polis perihal pengundi hantu yg
di buat malam tadi.

BUKIT SELAMBAU [11.43 am] - Satu laporan polis telah dibuat terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dengan isu pengundi hantu malam tadi. Laporan dibuat oleh Tuan Hj. Abdul Lariff B Nat Noor yang mana alamat rumahnya dipercayai telah digunakan oleh 40 orang yang tidak dikenali sebagai pengundi pilihanraya kecil Bukit Selambau tanpa kebenarannya. Beliau amat kecewa dengan tindakan tersebut dan menyangkal dakwaan Pengerusi SPR Kedah dan Naib Presiden UMNO, Hishamuddin Hussein yang mengatakan bahawa tiada pengundi hantu seperti yang diwar-warkan itu. Beliau juga terkejut bagaimana alamat rumahnya boleh digunakan sedangkan hanya beliau dan isterinya sahaja yang menetap di situ. Ini adalah satu penyelewengan yang telah dirancang dengan rapi oleh pihak-pihak tertentu. Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Ketua AMK Pusat, Fariz Musa. Sementara itu Fariz menegaskan bahawa Angkatan Muda Keadlian (AMK) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai hak untuk membuat analisis dan sistem bagi mengesan pengundi hantu. Kini terbukti jelas bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dipergunakan oleh pihak tertentu bagi mendaoatkan kuasa dan menang dalam pilihanraya kecil itu nanti. Justeru itu Fariz menyeru agar SPR bersikap lebih telus dan membersihkan senarai daftar pemilih sebelum tarikh pilihanraya 7 April ini. Manakala itu pada hari ini juga satu memorandum akan diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Pejabat Daerah Kuala Muda berhubung dengan perkara ini.

Rabu, 1 April 2009

WUJUD PENGUNDI HANTU PENGARAH SPR KEDAH SANGKAL DAKWAAN MANAKALA HISHAMUDDIN KATA PEMBANGKANG DOUBLE STANDARD KEPADA BN !!






BUKIT SELAMBAU [12.35 pm] - Pengarah SPR Negeri Kedah, Zainal Abidin Zakaria (foto) dan Naib Presiden UMNO, Hishamuddin Hussin hari ini menyangkal dakwaan yang dibuat oleh Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa semalam. Fariz mendakwa, dari keseluruhan 3,544 pengundi di sebuah Taman di Taman Bandar Baru, Sungai Petani, seramai 2,215 atau 63 peratus dari jumlah penduduk di kawasan itu dikesan sebagai pengundi hantu dan pengundi ragu. “Sebagai contoh, di sebuah rumah bernombor 3 di Taman Bandar Baru, terdapat sehingga 60 orang menetap dalam rumah tersebut. Yang menimbulkan persoalan ialah bukan hanya jumlah yang ramai tinggal dalam sebuah rumah tetapi ada kaum dari melayu, cina dan India menghuni rumah yang sama,” katanya. Menurut beliau lagi pengundi hantu tersebut berjaya dikesan menerusi Sistem Pilihanraya (Sismep) yang dikendalikan oleh KeADILan dan sehingga kini sebanyak 67 buah rumah di kawasan taman perumahan tersebut dikenalpasti terdapat pengundi hantu. “Berdasarkan kad Pengenalan mereka, terdapat kod-kod yang bukan dari negeri Kedah seperti 04, 06, 07, 08 dan sebagainya,” katanya.Kata Fariz, AMK kini sedang mengenal pasti beberapa lagi Taman perumahan yang dipercayai wujud pengundi hantu dan akan mengambil tindakan untuk pergi ke rumah-rumah tersebut bagi membuat pengesahan. “Ini baru satu lokaliti yang berjaya dikesan, bermakna terdapat banyak lagi kawasan perumahan yang masih dalam kajian. Kita akan kenalpasti dan berikan perhatian serius kepada isu ini supaya pada 7 April nanti, pengundi yang keluar mengundi ialah mereka yang betul-betul ‘genuine’,” katanya. Jesteru itu beliau mendesak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) supaya mengambil tindaan segera dan membersihkan senarai pengundi hantu yang terdapat di kawasan tersebut supaya proses demokrasi dalam pilihanraya kecil ini berjalan dengan lancar. “Kita minta SPR ambil tindakan yang drastik untuk membersihkan daftar pengundi dan yang paling penting ialah kita mahukan ketelusan dan biarkan pengundi Bukit Selambau untuk membuat keputusan siapakah calon yang layak untuk mewakili mereka,” ujarnya.

Kenyataan dangkal Hishamuddin (foto) yang menyelar pembangkang kerana mempersoalkan terdapatnya pengundi hantu di kawasan tersebut. "Saya rasa pembangkang sudah ketandusan isu, setiap kali pilihanraya mereka mengatakan ada pengundi hantu. Tetapi bila mereka menang, perkara itu tidak didedahkan. Mereka menang lima negeri dulu, tidak bunyi pun pengundi hantu. Bukit Selambau adalah terletak dalam negeri Kedah yang dikuasai oleh pembangkang. Maka kenapa mereka tuduh ada pengundi hantu?. Sedangkan ketika mereka menang dulu perkara ini tidak dibangkitkan langsung" kata Hishamuddin. Sementara itu Ketua Pengarah SPR Kedah pula menyebut beliau kecewa dengan tindakan AMK Keadilan membuat sidang media tanpa merujuk kepada SPR. "Tidak ada pengundi hantu seperti yang diwar-warkan sebenarnya. Mungkin ada sesetengah rumah yang didiami oleh ramai penghuni. Mungkin juga ada penghuni yang sudah berpindah dan rumah itu didiami penghuni baru. Maka itu tidak wujud pengundi hantu. Jika ada, sila kemukakan bukti untuk disiasat oleh pihak SPR sebelum apa-apa tindakan diputuskan" katanya.


AKHBAR SUARA KEAMANAN GANTI SUARA KEADILAN



PETALING JAYA [11.00 am] - Bermula hari ini akhbar Suara Keamanan diterbitkan bagi menggantikan akhbar Suara Keadilan yang digantung oleh Kementerian Dalam Negeri dua minggu lalu. Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua (foto), semalam. Bagaimanapun Chua menegaskan penerbitan akhbar tersebut bersifat sementara sahaja. "Bermula hari ini akhbar Suara Keamanan akan menjadi akhbar rasmi kita secara tidak langsung. Penyokong PKR dan orang ramai boleh mendapatkannya dikedai-kedai kerana ia telah mula dijual sejak pagi semalam," katanya. Menjelaskan lebih lanjut mengenai isu tersebut Chua berkata parti tidak terlibat secara langsung dalam penerbitan akhbart tersebut kerana usaha penerbitan akhbar tersebut diusahakan oleh seorang individu yang merupakan penyokong setia kepada parti itu. Difahamkan edisi pertama Suara Keamanan yang sudah berada dipasaran bermula hari ini masih mengekalkan konsep dan pendekatan politik yang sama seperti akhbar Suara Keadilan dan ia akan diterbitkan secara mingguan. Chua yang juga ahli Parlimen Batu menjelaskan, PKR menyokong penuh usaha yang dilakukan oleh individu yang disifatkan sangat setia kepada perjuangan PKR. "Akhbar ini menjadi salah satu alat untuk kita salurkan maklumat terkini kepada ahli-ahli parti, lebih-lebih lagi menjelang tiga pilihan raya yang bakal menjelang 7 April ini. "Kita lihat inilah langkah terbaik untuk mengatasi masalah penggantungan akhbar rasmi kita. Kita mahu ahli parti dapat maklumat terkini dan kita tidak mahu mereka terpengaruh dengan dakyah Barisan Nasional," katanya.

Isnin, 30 Mac 2009

MAJORITI CALON BEBAS ADALAH TAJAAN BN UNTUK MEMECAHKAN UNDI BAGI MENANGKAN CALON MEREKA DI PILIHANRAYA KECIL DUN BUKIT SELAMBAU



BUKIT SELAMBAU - Apakah motif sebenarnya yang menyebabkan sejarah tercipta di Bukit Selambau, bila 13 calon bebas beranding. Apakah ini sejarah yang sengaja dicipta oleh puak-puak UMNO dan Barisan Nasionl dalam usaha untuk memecahkan undi pembangkang?. Memang benar kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Pak Lah Badawi (foto) semalam bahawa beliau bimbang sekiranya yang menang akan mendapat undi yang tidak begitu menyakinkan sokongan kepadanya kerana dibahagi kepada 15 orang calon. Alasan ini jelas menggambarkan kedangkalan itu sebenarnya. Menang dalam pilihanraya, walau berapa undi sekali pun ia akan dikira menang. Malah di Pahang sendiri, pernah berlaku seorang calun UMNO tewas dengan hanya lima undi kepada calon PKR di DUN Chini dulu. Maka, apakah rasionalnya Pak Lah mengatakan mengatakan kononnya orang yang menang tidak mendapat undi yang meyakinkan?. Sedangkan beliau tahu bahawa dalam setiap pilihanraya, walau banyak mana pun menang ia tetap dikira menang. Lebih mengekutkan lagi bila Pak Lah dengan jelas menuduh kehadiran ramai calon Bebas yang dipercayai terdiri daripada anggota pembangkang jelas menunjukkan wujud masalah dalam pakatan pembangkang. "Dalam Umno tidak boleh ada dua calon bertanding...ini menunjukkan disiplin kita (Umno) lebih baik," katanya dalam satu sidang media semalam. Penamaan calon bagi DUN Bitu semalam menyaksikan seramai 15 calon bertanding di mana 13 daripadanya bertanding atas tiket Bebas manakala Barisan Nasional (BN) diwakili S. Ganeson dan PKR diwakili S. Manikumar. Apa yang jelas dapat dilihat tuduhan Pak Lah itu menunjukkan semakin kuat ramalan kita bahawa majoriti calon bebas terbabit adalah "tajaan UMNO dan BN" sebenarnya. Ini diperkuatkan lagi dengan kelibat calon terbabit yang dilihat lebih mirip kepada muka orang-orang UMNO dan BN.Justeru itu, Pak Lah tidak boleh dengan begitu mudah menuduh calon bebas itu adalah dari pembangkang semata-mata. Soalnya, kenapa mereka menghantar begitu ramai calon bebas? Dan kenapakah pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak menghalang calon berkenaan bertanding biar pun terdapat bantahan yang dibuat terhadap sesetengah dari Mereka. Dengan lambang yang mengarut-ngarut bukankah mereka ditugaskan untuk "mengacau undi" bagi memenangkan calon BN itu. Lantaran itulah ada pihak yang mahu SPR membenarkan kesemua mereka bertanding, padahal apa yang kita saksikan ini amatlah "melucukan" serta "memalukan". Jika calon bebas yang mahu bertanding itu sengaja mahu "membuang duit" atau "syok sendiri" itu tidak menjadi masalah. Namun, kami yakin kesemua mereka mendapat "tajaan sepenuhnya oleh BN" untuk bertanding. Ia juga bagi memecahkan undi, kerana BN tahu V.Arumugam iaitu calon Bebas yang kemudiannya bersama PKR telah menang di kawasan itu dengan mendapat majoriti 2,362 undi. Maka mungkin juga mereka mencongak jika seorang calon bebas berjaya menarik 200 undi maka harapan BN untuk menang akan cerah. Untuk itulah mereka terpaksa menaja sebegitu ramai calon bebas untuk menyertai pilihanraya kecil kali ini. Selain dari untuk memenangkan calon BN, ia juga bertujuan untuk menjaga imej dan kredibiliti BN yang telah tercalar dalam dua pilihanraya kecil sebelum ini. Atas dasar itulah, apa sahaja perlu dilakukan bagi tujuan tersebut. Kita jangan hairan bila melihat calon bebas kali ini mempunyai kelengkapan yang cukup untuk berkempen. Kerana kami amat yakin bahawa segala sumber kewangan adalah diberikan oleh pemimpin BN kepada mereka, andai kalah sekalipun mereka sudah mempunyai modal yang cukup untuk meneruskan kehidupan lebih selesa selepas ini.

Jumaat, 27 Mac 2009

ISU PENGGANTUNGAN LIDAH RASMI SUARA KEADILAN DAN HARAKAH, TERBUKTI KERAJAAN SEMAKIN TERTEKAN DENGAN PAKATAN RAKYAT




KUALA LUMPUR - Penggantungan permit akhbar Harakah dan Suara Keadilan oleh Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini jelas sekali mencabuli amalan demokrasi dan hak-hak kebebasan bersuara di negara ini. Biarpun Timbalan Menteri berkaitan menyatakan bahawa arahan itu tiada kaitan dengan BN, namun hakikatnya itulah "kenyataan" sebenar dalam kes ini. Tindakan menggantung akhbar yang menjadi lidah pengarang parti PAS dan PKR itu bukan sahaja dilihat "zalim" dan "tidak beretika" malah ia jelas menunjukkan ketakutan yang teramat sangat puak-puak UMNO dan Barisan Nasional terhadap kebangkitan suara rakyat sebenarnya. Biarpun tempoh penggantungan hanya sekitar tiga bulan, namun kami tidak nampak ia akan menjurus ke arah itu. Adalah lebih elok tindakan amaran tiga bulan dikeluarkan daripda terus menggantung sebenarnya. Ini semua adalah bukti-bukti kukuh yang bakal Perdana Menteri, Najib Razak telah mula menunjukkan cengakaman "kuku besinya". Sebelum ini memang kami mendapat maklumat bahawa ramai penjual akhbar terbabit diberi amaran alah akhbar berkenaan telah dirampas oleh pihak berkuasa. Namun, kini alasan yang sama diberikan kononnya dua akhbar itu menyiarkan berita yang menyalahi fakta dan berunusr fitnah, serta dijual bukan kepada ahli parti. Alasan ini menampakkan "kedangkalan" mentaliti pemimpin kerajaan sudah ditahap "gaban" sebenarnya. Memang benar kerajaan, terutamanya menteri berkenaan iaitu Syed Hamid Albar (foto) tidak faham erti demokrasi, lantaran melakukan tindakan drastik itu.Jika namanya sudah akhbar lidah rasmi pembangkang, maka laporannya sudah pasti akan bertentangan dengan apa yang disiarkan oleh media arus perdana. Jika mahu melaporkan apa yang dilaporkan oleh media arus perdana iaitu menjilat, membodek dan mencacai maka apalah gunanya dinamakan "lidah rasmi pembangkang". Takkan itu pun menteri berkenaan tidak faham. Masih kita ingat ketika di sekolah dan di IPT dulu, dinama sering diadakan pertandingan perbahasan. Dimana sebelah pihak akan menjadi "pencadang" dan sebelah pihak lagi akan menjadi "pembangkang". Maka, peencadang kerjanya mencadang dan mempertahankan tajuk yang diberikan dan pembangkang pula akan mencari jalan untuk mempertikai dan membangkang tajuk berkenaan. Manakala, juri atau hakim akan membenarkan mereka mengeluarkan idea dan buah fikiran masing-masing tanpa memberi sebarang amaran kepada kedua-dua belah pihak terutamanya pembangkang. Bila keputusan dibuat, maka tidak semestinya pencadang akan menang. Mungkin juga pembangkang akan menang kerana berjaya mengeluarkan idea yang bernas serta menarik perhatian hakim yang aris lagi profesional.Maka itu dalam kes ini, Berita Harian dan Utusan Malaysia adalah pencadang manakala Harakah dan Suara Keadilan adalah pembangkang. Sementara itu rakyat adalah hakim yang akan menilai berita yang dipaparkan. Justeru itu kenapa pula kerajaan takut dengan "perbahasan" ini jika mereka menganggap negara kita adalah negara demokrasi. Oleh itu, kami amatlah berharap supaya rakyat bersabar dengan dugaan ini, anggaplah ianya adalah petanda jelas yang kerajaan Barisan Nasional sudah menghampiri penghujung hayatnya. Sementara itu parti PKR dijangka akan terus menerbitkan akhbar itu walau pun tanpa permit. "Kita akan teruskan walaupun tanpa permit," "Kita tidak nampak tindakan (KDN) yang lebih keras daripada menggantung (permit akhbar) kita." kata ketua penerangannya PKR Tian Chua . Dalam perkembangan berkaitan, kedua-dua parti Pakatan Rakyat itu akan menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) jam 2 petang ini. Selain Tian, ketua penerangan PAS Mahfuz Omar akan menyertai perhimpunan di kaki bangunan pejabat suruhanjaya itu di Menara Tun Razak, Kuala Lumpur. Orang ramai adalah dijemput hadir memberi sokongan.

BIADAP WAKIL PEMUDA PULAU PINANG BAHAWA UMNO LAKUKAN KESILAPAN KERANA BEBASKAN ANWAR JELAS SEKALI BERBAUAR HASUTAN!!!



KUALA LUMPUR - Kami sungguh terkejut dengan kenyataan jahat dan berbaur hasutan oleh seorang pembahas dari Pulau Pinang, Mohd Zaidi Mohd Said yang mengatakan UMNO buat kesilapan kerana membebaskan Anwar dari penjara semasa persidangan pergerakan Pemuda parti itu semalam. Bagi kami kenyataan beliau itu melambangkan betapa "rosaknya" mentaliti generasi muda UMNO yang masih lagi tidak mahu melihat kebenaran dengan mata hati mereka sendiri. "Kesilapan kita kerana membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim (foto), inilah akibat yang kita tanggung hari ini," katanya ketika membahaskan usul, menyentuh isu-isu ketuanan Melayu dan Pakatan Rakyat. Kenyataan yang beliau ucapkan itu jelas sekali menggambarkan betapa Anwar amat ditakuti oleh UMNO dan sekutunya. Malah mereka menganggap bahawa UMNO yang membebaskan Anwar, walhal mahkamah yang menentukan keputusan terbabit. Kenyataan beliau itu juga bagai mengesahkan lagi yang selama ini Anwar telah menjadi mangsa dan dianiaya oleh puak-puak UMNO sebenarnya. Maka itulah, bagi Mohd Zaidi UMNO membuat kesilapan kerana membebaskan Anwar. Sepatutnya Anwar terus ditahan di penjara Sg.Buloh sama ada beliau bersalah atau pun tidak agaknya. Bukankah zalim namanya segala kerja jahat UMNO ini. Bahkan wakil pemuda Pulau Pinang itu sepatutnya boleh dikenakan tindakan kerana cuba "menghasut". Justeru itu kita khuatir, atas saranan pemuda ini nanti maka Anwar akan dipenjarakan sekali lagi dan tidak akan dibebaskan biarpun beliau didapati tidak bersalah dalam kes liwat Saiful Bukhari Azlan yang akan dibicarakan pada bulan Julai ini. Kenyataan beliau itu memberi petanda awal, akibat ketakutan yang amat sangat terhadap mantan TPM itu maka akhirnya Anwar akan dijadikan mangsa oleh mereka yang tidak berhati perut dan berperikemanusiaan.

Rabu, 25 Mac 2009

KERAJAAN BN SEMAKIN TAKUT PADA BAYANG-BAYANG MEREKA SENDIRI APABILA GANTUNG PERMIT AKHBAR SUARA KEADILAN DAN HARAKAH !!



PETALING JAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permit dua akhbar parti pembangkang iaitu Harakah dan Suara Keadilan masing-masing selama tiga bulan berkuat kuasa hari ini. Ketika mengesahkan perkara tersebut, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, pengurusan kedua-dua organ PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu boleh mengemukakan rayuan. "Memang benar kami (KDN) telah menggantung lesen kedua-dua akhbar itu (Harakah dan Suara Keadilan) berkuat kuasa hari ini. "Kami bukan ingin menyekat kebebasan akhbar di negara ini tapi mereka (Harakah dan Suara Keadilan) masih lagi menerbitkan berita-berita yang tidak benar dan berunsur hasutan," kata beliau. Suara Keadilan menerima surat daripada KDN tengah hari tadi manakala Harakah pukul 4.55 petang menerusi faks. Harakah yang menerima surat tunjuk sebab 26 Februari lalu dikatakan melanggar tiga perkara iaitu menyiarkan berita dan rencana isu-isu semasa, menjual secara umum kepada bukan ahli dan tidak menyerahkan salinan setiap edisi tepat pada masa yang ditetapkan. Harakah diterbitkan dua kali seminggu manakala Suara Keadilan pula setiap minggu. Jelas Syed Hamid, Harakah dan Suara Keadilan telah pun diberikan amaran sebelum ini, namun mereka masih gagal mengikut spesifikasi berita yang sepatutnya. "Ada berita yang mempertikaikan kedudukan Raja-raja, dan isu-isu disiarkan juga berupa laporan yang tidak tepat dari segi maklumat dan sumbernya... ini yang kita kesal," ujarnya. Syed Hamid berkata, kedua-dua organ parti itu boleh mengemukakan rayuan. Kedua-dua akhbar berkenaan dikenakan tindakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua berkata surat penggantungan telah diterima di ibu pejabat parti tersebut tengah hari tadi. "Namun tiada sebarang sebab dikemukakan," katanya. Tegasnya, tindakan tersebut jelas bermotifkan politik. "Ini satu serangan kepada kami (PKR), nampak sangat mereka (Barisan Nasional) menggunakan kuasa yang mereka ada untuk menyekat kebebasan akhbar di negara ini. "Mengapa tindakan menggantung Suara Keadilan dilakukan menjelang pemilihan Umno dan tiga pilihan raya kecil yang akan berlangsung 7 April ini? "Kenapa tidak dari tahun lalu lagi?" katanya ketika dihubungi. Beliau yang juga ADUN kawasan Batu berkata, BN takut maklumat tentang kelemahan serta kerapuhan dalam parti itu dipaparkan oleh media alternatif seperti Suara Keadilan dan Harakah. "Mereka takut mengenai kelemahan pemimpin dipaparkan akan menunjukkan kerapuhan BN. "Jadi mereka ambil jalan mudah dengan menyekat pengedaran akhbar parti pembangkang supaya makluma ini tidak sampai kepada orang ramai," katanya. Chua turut mengesahkan parti itu akan membuat rayuan kepada KDN untuk menarik balik larangan yang dikeluarkan ke atas akhbar rasmi parti itu. "Kita akan buat rayuan dalam masa terdekat, tapi saya tidak dapat putuskan bila. Yang pasti kami akan merayu minta KDN tarik semula larangan ke atas Suara Keadilan," katanya.

RAKYAT YANG HADIR KE CERAMAH ANUAR SEPENA PILIHANRAYA KECIL DUN BUKIT SELAMBAU DISERANG MALAM TADI




SG.PETANI - Nampaknya ternyata kerajaan BN semakin "kecut dan takut" dengan suara rakyat yang bakal menenggelamkan keegoaan mereka dalam pilihanraya kecil yang bakal diadakan 7 April nanti. Terkini, pihak polis terutamanya FRU dipercayai telah mengganas dan menyerang orang ramai yang hadir untuk mendengar ceramah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dekat Padang Awam Cinta Sayang dekat sini malam tadi. Polis dipercayai telah melepaskan gas pemedih mata untuk menghalang orang ramai hadir dan mendengar amanat Anwar itu. Selain gas pemedih mata, pihak polis juga dipercayai telah menggunakan meriam air "water canon" bagi tujuan tersebut. Ini menyebabkan orang ramai bertempiaran lari dalam keadaan ketakutan dan kecoh sekali. Kejadian itu berlaku selepas kira-kira lima mini Anwar memperkenalkan calon PKR bagi Kerusi DUN Bukit Selambau dalam pilihanraya kecil kawasan itu nanti. Lebih memilukan ialah pihak polis mengambil masa yang lama iaitu kira-kira dua jam sehingga 11.30 malam untuk menyerang orang ramai yang tidak berdosa itu. Kami juga difahamkan seramai lebih kurang 50 orang telah ditangkap oleh pihak polis termasuk pemimpin tertinggi PKR negeri, para peniaga gerai dan penduduk setempat. Manakala itu antara mereka yang ditahan termasuklah Senator Zamri Yusof, Setiausaha Negeri Hafiz Ali dan Ketua Staf Pejabat Anwar, Ibrahim Yaakob. Malah ada sumber yang menyatakan turut ditahan ialah Dato johari Abdul.Semasa ceramah turut berada ialah calon Bkt Selambau Manikumar,YB Dato Johari Abdul. Selain kehadiran pihak FRU untuk menyerang orang ramai, pihak polis juga dipercayai telah mengadakan beberapa sekatan jalanraya untuk menghalang orang ramai hadir ke ceramah Anwar malam tadi. Difahamkan lebih 10 ribu rakyat setempat dan luar telah hadir beramai-ramai ke ceramah berkenaan

Khamis, 19 Mac 2009

LEMBAGA DISPLIN UMNO TERSALAH ATAU TERSILAP PANDANG AGAKNYA BILA AGEN PERASUAH DIGANTUNG TIGA TAHUN TAPI PERASUAH DILEPASKAN



KUALA LUMPUR - Ramai pemerhati politik yang terkejut dan tertanya-tanya apakah motif sebenar calon Timbalan Presiden UMNO iaitu Ali Rustam (foto) dihukum hilang kelayakan untuk bertanding, sedangkan beliau didapati bersalah kerana terbabit dengan politik wang?. Maka itu, ramai yang berpendapat, sepatutnya Ali Rustam diberi hukuman yang lebih berat dan bukan setakat dilarang bertanding semata-mata. Ini kerana segala rasuah itu berlaku kerana "usaha" beliau untuk memancing undi supaya dicalonkan oleh bahagian-bahagian tahun lalu. Sedangkan agen-agen beliau hanyalah menjadi "broker" untuk melaksanakan urusan terbabit. Tetapi anehnya, Ali Rustam masih dipertahankan supaya kekal sebagai Ketua Menteri Melaka dan tidak dikenakan tindakan displin yang lebih "afdal" sebenarnya. Manakala itu dalam masa yang sama sungguh aneh apabila Pengerusi Lembaga Displin UMNO, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata keahlian Ali Rustam bagaimanapun tidak digantung dan beliau masih menjadi anggota perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO, yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 28 Mac ini. Kenyataan beliau bahawa keputusan itu dibuat oleh Lembaga Disiplin UMNO yang mendapati Mohd Ali, yang juga Naib Presiden UMNO, bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO kerana kesalahan rasuah dan politik wang yang dilakukan oleh ejennya.Masalahnya disini, mengapakah pula Lembaga itu bagaimanapun mendapati Setiausaha Politik beliau Saadun Basirun, bersalah melakukan rasuah atau sogokan politik. Kerana kesalahan itu, Saadun yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil turut dikenakan tindakan. Sementara itu Naib Ketua Puteri UMNO bahagian Bukit Katil Zalina Ismail dan Rosli Hassan Ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil telah digantung keahlian selama tiga tahun atau satu penggal pemilihan berkuatkuasa 12 Mac lepas kerana dipercayai menjadi agen Ali Rustam. Keputusan yang dibuat ini adalah jelas tidak adil sebenarnya. Ini kerana "agen" beliau menyogok perwakilan UMNO bahagian dengan wang yang diberikan oleh Ali Rustam. Maka itu, sepatutnya Ali Rustam perlu diberi hukuman yang lebih berat daripada agen terbabit. Jika tiada wang untuk rasuah maka bagaimana agen terbabit mahu melaksanakan tugasnya. Rasuah melibatkan semua pihak dan bukannya hanya "ikan bilis" yang didakwa sebaliknya "ikan paus" dilepaskan malah boleh pula kekal sebagai Ketua Menteri Melaka. Sepatutnya, demi maruah orang Melaka Ali Rustam perlua meletakkan jawatannya dan bukan terus mahu berkuasa. Sudah terbukti beliau bersalah dan dihukum oleh Lembaga Displin UMNO makanya beliau harus berundur dan melepaskan semua jawatan tingginya dalam UMNO termasuk Ketua Menteri Melaka. Jika tidak ini menunjukkan bahawa Lembaga Displin UMNO tidak telus dalam melaksanakan tanggungjawabnya untuk membenteras rasuah politik wang dalam parti itu.