Rabu, 1 April 2009

AKHBAR SUARA KEAMANAN GANTI SUARA KEADILAN



PETALING JAYA [11.00 am] - Bermula hari ini akhbar Suara Keamanan diterbitkan bagi menggantikan akhbar Suara Keadilan yang digantung oleh Kementerian Dalam Negeri dua minggu lalu. Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua (foto), semalam. Bagaimanapun Chua menegaskan penerbitan akhbar tersebut bersifat sementara sahaja. "Bermula hari ini akhbar Suara Keamanan akan menjadi akhbar rasmi kita secara tidak langsung. Penyokong PKR dan orang ramai boleh mendapatkannya dikedai-kedai kerana ia telah mula dijual sejak pagi semalam," katanya. Menjelaskan lebih lanjut mengenai isu tersebut Chua berkata parti tidak terlibat secara langsung dalam penerbitan akhbart tersebut kerana usaha penerbitan akhbar tersebut diusahakan oleh seorang individu yang merupakan penyokong setia kepada parti itu. Difahamkan edisi pertama Suara Keamanan yang sudah berada dipasaran bermula hari ini masih mengekalkan konsep dan pendekatan politik yang sama seperti akhbar Suara Keadilan dan ia akan diterbitkan secara mingguan. Chua yang juga ahli Parlimen Batu menjelaskan, PKR menyokong penuh usaha yang dilakukan oleh individu yang disifatkan sangat setia kepada perjuangan PKR. "Akhbar ini menjadi salah satu alat untuk kita salurkan maklumat terkini kepada ahli-ahli parti, lebih-lebih lagi menjelang tiga pilihan raya yang bakal menjelang 7 April ini. "Kita lihat inilah langkah terbaik untuk mengatasi masalah penggantungan akhbar rasmi kita. Kita mahu ahli parti dapat maklumat terkini dan kita tidak mahu mereka terpengaruh dengan dakyah Barisan Nasional," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan