Khamis, 2 April 2009

ISU PERALIHAN KUASA PERDANA MENTERI MERUPAKAN HARI MALANG BUAT RAKYAT BILA BAKAL PM DIPERTIKAI IMEJ, MARUAH DAN KREADIBILITINYA




KUALA LUMPUR [10.26 am] - Seperti yang dijanjikan, maka tepat jam 9.56 pagi tadi khabarnya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi dan timbalannya Dato' Seri Najib Razak telah tiba di Istana Negara untuk mengadap Yang Di Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi menyerahkan surat melepaskan jawatan Perdana Menteri dan memohon perkenan melantik Najib sebagai Perdana Menteri yang baru. Menurut maklumat, Yang Di Pertuan Agong juga sudah berkenan supaya istiadat mengangkat sumpah jawatan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri diadakan pada 10 pagi esok. Soalnya apakah benar Pak Lah akhirnya menyerahkan jawatan PM kepada Najib dan bukan sebaliknya. Apakah rakyat Malaysia boleh menerima seorang Perdana Menteri yang dipertikaikan kreadibilitinya?. Justeru itu kami melihat apa yang bakal berlaku ini sebagai satu "episod malang" buat rakyat Malaysia. Ini kerana, belum pernah berlaku sebelum ini seorang pemimpin yang "imejnya tercalar" sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri. Najib sebenarnya masih belum menjawab segala pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya tentang isu rasuah dan penyelewengan yang berlaku dalam isu kapal selam Scorpene, helikopter Eurocopter, jet pejuang Sukhoi dan banyak lagi kes termasuk isu pembunuhan Altantunya. Biarpun Najib menafikan beliau terlibat dalam kes-kes tersebut, namun rakyat melihat selagi beliau tidak hadir sebagai saksi di mahkamah ini bermakna kreadibiliti beliau masih diragui. Ia berbeza dengan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang terpaksa berhadapan dengan kes mahkamah dan akhirnya dipenjara dan kemudianya dibebaskan. Ini bermakna segala pertuduhan yang dibuat terhadap dirinya telah dijawab dan dibersihkan di mahkamah. Ia berbeza dengan Najib, beliau langsung tidak hadir ke mahkamah malah mencari jalan untuk mengelak dari dipanggil sebagai saksi terutamanya dalam kes pembunuhan wanita Monggolia Altantunya Shariibuu itu.Maka disini, bagaimana kita harus menerima yang Najib seorang pemimpin yang bersih dan suci dan rakyat boleh menerima beliau sebagai Perdana Menteri?. Najib sepatutnya sedar akan perkara ini. Jika beliau menganggap bahawa segala pertuduhan yang dibuat terhadap dirinya itu adalah fitnah semata-mata, maka beliau boleh menyaman media antarabangsa yang telah menyiarkan berita tentang penglibatan beliau dalam kes Altantunya. Baru-baru ini sebuah akhbar Perancis, Liberation telah menyiarkan berita dan artikel tentang kes tersebut. Malah berita itu juga turut disiarkan di banyak media asing di seluruh dunia. Masyarakat dunia mempertikaikan kewibaan serta imej Najib. Laporan tersebut turut disiarkan dalam kebanyakan laman web popular di seluruh duni. Ini bermakna, masyarakat dunia melihat apakah kewajaran Malaysia melantik seseorang yang terlibat dalam skandal besar seperti itu sebagai Perdana Menteri?. Najib tidak menafikan segala laporan berkenaan, malah tidak pula bertindak menyaman akhbar dan laman web negara terbabit. Beliau harus membersihkan namanya terlebih dahulu sebelum bersedia untuk memimpin negara. Pak Lah harus lebih bertanggungjawab demi rakyat Malaysia sebenarnya. Memberi kuasa dengan mudah kepada "orang yang dipertikaikan kreadilitinya" jelas sekali menghancurkan harapan majoriti rakyat Malaysia. Najib hanya disokong oleh pemimpin dan ahli UMNO yang memang sudah tidak nampak "mana intan mana kaca". Ini kerana mereka telah dikaburi dengan limpahan kemewahan dan politik wang yang bermaharajalela dalam UMNO selama ini. Maka itulah mereka menyokong Najib membabi buta tanpa boleh memikirkan langsung impak dan akibatnya kepada ekonomi negara pada masa akan datang.
Dengan bukti-bukti ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa masyarakat dunia memandang "hina kepada Malaysia jika melantik Najib sebagai Perdana Menteri yang baru". Apakah semua ini tidak disedari oleh Pak Lah? Atau mungkin juga beliau takut sekali lagi dituduh tidak berpegang kepada janji. Pak Lah agak selesa selepas berjaya menaikkan Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda UMNO dan meminggirkan anak Mahathir, Mukhriz dalam pemilihan pergerakan itu baru-baru ini. Lantaran itulah agaknya beliau akhirnya bersedia meneruskan agenda peralihan kuasa. Bayangkan jika Khairy tewas, apakah beliau akan meneruskan hasrat tersebut. Jika ini yang bermain dikepala Pak Lah, maka ternyata Pak Lah tidak berjiwa rakyat sebaliknya lebih kepada "survival politik" beliau sendiri. Jika beliau memikirkan nasib rakyat, beliah harus membatalkan perjanjian pelan peralihan kuasa yang dirancang itu. Jika tidak kita takut Malaysia akan terus dipandang hina di mata dunia, bahkan pelabur asing takut untuk menanam modal lagi di negara ini. Itu belum termasuknya dengan kegawatan ekonomi yang menyebabkan banyak pelaburan asing ditarik balik sekarang ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan