Enjin jet perang kita boleh hilang?
Satu hari, mungkin satu batalion tentera kita juga 'hilang'?
Ia satu jenayah serius yang melibatkan keselamatan negara.
Jika benar enjin yang sudah terpasang di jet perang dan jet itu bersama enjinnya sudah berada dalam negara, tetapi kemudian boleh hilang dan telah dibeli orang, ia bukan sahaja isu tentera. Ia juga isu kastam, polis dan inteligen negara.
Mungkinkah kehilangan enjin yang sudah tentu tidak kecil dan tidak ringan itu, hanya berlaku atas kertas? Maksud saya, enjin itu sebenarnya secara fizikal tidak pernah memasuki negara ini. Ia hanya transaksi atas kertas. Bill penghantaran sampai, dalam inventori ia ada, tetapi fizikalnya ia sudah pun dihantar ke destinasi pembeli sejak hari pertama.
Ini mungkin sekadar fiksi saya. Tapi andainya modus operandi sebegini memang berlaku, bayangkan apa lagi yang telah dibeli tetapi 'hilang' dan ke mana jatuh peralatan itu?
Tugas kerajaan sekarang bukan sahaja menyiasat enjin pesawat F-5E yang telah kini menjadi milik negara lain, tetapi juga siasatan menyeluruh terhadap kemungkinan wujudnya modus operandi sebegini yang tentunya melibatkan lebih banyak 'kehilangan' segala peralatan perang kita, termasuk bekalan makanan dan logistik yang lain.
Kalau enjin jet boleh lesap, apa lah sangat dengan beras, telur dan segala macam yang lebih ringan dan mudah.
Apa lagi, ia melibatkan pihak yang 'lebih tinggi' dalam Kementerian Pertahanan sendiri.
Jangan mudah Menteri Pertahanan menolak isu ini kepada satu dua pegawai tentera semata-mata, tetapi mesti bersedia untuk semakan menyeluruh oleh Suruhanjaya yang lebih telus.
Dalam kesempatan ini juga, saya menarik perhatian terhadap bekalan peralatan bermutu rendah, bahkan dalam setengah keadaan, membahayakan tentera kita.
Seperti yang dibangkitkan oleh YB Saifuddin Nasution dan YB Mahfuz di Parlimen, payung terjun yang dibekalkan oleh syarikat tertentu belum dikaji untuk ditarik balik. Sedangkan ia dikatakan telah melibatkan tujuh kematian tentera kita kerana spesifikasi yang tempang. Pihak tentera sudah tentu menyedari hal ini dan langkah segera perlu diambil dengan melupakan hubungan syarikat kroni, jika ada, dfalam hal ini.
Lebih banyak penelitian dalam isu-isu bekalan peralatan ketenteraan mungkin lebih mengukuhkan pasukan pertahanan negara.
Tindakan menyeluruh yang segera boleh membantu mengutuhkan integriti tentera di mata rakyat. Majoriti tentera kita sanggup berkorban jiwa raga dan mereka pasukan yang berdisipin dan begitu setia kepada negara pada setiap masa. Hargailah keikhlasan majoriti mereka dengan memberikan yang terbaik kepada mereka tanpa sebarang ruang pernyelewengan oleh sebegitu kecil pihak berkepentingan.
Sistem pemantauan lebih telus perlu mengambil termpatnya sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan