Jumaat, 18 Disember 2009

KONVENSYEN PR: Satu pengukuhan perjuangan



Angin Pendamai atau Winds of Peace, yang dicipta oleh penyanyi Blues Gang, Ito, akan bergema pada konvensyen pertama Pakatan Rakyat (PR) esok. Mampukah Angin Pendamai yang menjadi tema lagu konvensyen esok menjadi titik permulaan kepada penyatuan perjuangan dan matlamat berdasarkan polisi bersama sebagai langkah pertama ke arah menerajui kerajaan pusat selepas PRU13?

Resolusi yang bakal diumumkan pada konvensyen esok hasil perbincangan pelbagai peringkat beberapa bulan lalu untuk menghasilkan satu rangka persefahaman bersama, sudah boleh dianggap satu pencapaian. Dan esok, 1,500 perwakilan dari ketiga-tiga parti yang berbeza ideologi – PAS, PKR dan DAP – yang menjadi pendokong PR akan menentukan hala tuju gagasan itu dalam memperlengkapkan diri sebagai ’bakal’ peneraju kerajaan persekutuan. Jika dikaji keputusan PRU12 secara halus, kejayaan PR yang menghilangkan majoriti 2/3 BN di parlimen dan memenangi 5 negeri, tidak termasuk Wilayah Kuala Lumpur yang hampir disapu bersih oleh PR, dicapai bukan berteraskan satu landasan perjuangan yang sekata.

Mereka bergerak atas sentimen me’nyah’kan 2/3 majoriti parlimen BN kerana bimbang dengan pelbagai penyelewengan yang diamalkan oleh Umno-BN hingga sudah membarah, bimbang-bimbang negara akan muflis. Usaha ke arah menyelaraskan perjuangan diteruskan. Sedikit demi sedikit, tapi dengan penuh keyakinan, mereka merapatkan jurang perbezaan yang ada bersandarkan kesedaran membina sebuah negara yang komited untuk rakyat. Laporan Ketua Audit Negara yang memuji kecekapan pentadbiran PR di empat negeri yang di perintahnya, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, membuktikan ketelusan, kecekapan dan integriti PR sebagai kerajaan yang sudah bersedia untuk mengambil alih kepimpinan negara.
.
Kesan daripada PRU12, memperlihatkan kemunculan pakatan pembangkang mampu memainkan peranan “mengawasi dan menegur” terhadap pentadbiran Umno-BNl dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat. Di sebalik kejayaan tersebut, PAS, PKR dan DAP dan terus mencari formula terbaik ke arah mewujudkan persefahaman jitu sesama mereka.
Tanpa bergerak pada satu landasan perjuangan bersama, PR sudah mampu membuktikan kewibawaan, sekalipun tidak dinafikan ada kelemahan-kelemahan yang sering digunakan oleh media arus perdana untuk melaga-lagakan gagasan itu.

Namun tempoh setahun setengah pemerintahan sejak PRU12 Mac tahun lalu, ia boleh dianggap pencapaian yang jauh lebih baik berbanding Umno-BN yang sudah menerajui negara ini selama 52 tahun. Maka konvensyen sulung PR esok pastinya dinanti dengan penuh debaran, tapi lebih kepada satu harapan di kalangan rakyat yang mahukan perubahan untuk melihat ‘negara yang komited’ untuk rakyat. Ramai tidak mengharapkan semua perjuangan dan ideologi akan dapat di ’selaraskan’ mengikut satu landasan bersama. Tapi sedikit kemajuan hasil konvensyen itu sudah cukup untuk menjadi titik permulaan meletakkan PR di landasan yang betul untuk terus bergerak atas polisi bersama dengan konsep ketuanan rakyat.

Adalah diharapkan selepas konvensyen sulung ini, PR yang kini memiliki 82 kerusi Parlimen berbanding 137 BN, mampu menghayun langkah pertama menggantikan BN. Bukankah destinasi PR ke Parlimen sebagai kerajaan persekutuan bermula dengan langkah yang pertama?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan