Selasa, 12 Januari 2010

HUBUNGAN SAUDARA KRISTIAN-ISLAM TETAP KUKUH



KUALA LUMPUR: Beberapa siri perbuatan membakar dan vandalisme yang dilakukan terhadap gereja membimbangkan masyarakat di sini dan ramai yang merasa terkejut serta sedih sambil mengutuk tindakan pengecut seperti itu.

Bagaimanapun, di seberang Laut China Selatan di negeri Sarawak, meskipun terdapat laporan berlaku perbuatan vandalisme di Gereja Anglican Good Shepherd di Lutong, Miri, namun semangat hidup bersama secara harmoni di sebalik perbezaan agama amat terserlah.
Apa yang nyata, keadaan hanya terbatas di Semenanjung Malaysia, sungguhpun selepas berlaku insiden melempar bata ke arah gereja itu pagi Ahad lepas dan wujud kebimbangan bahawa insiden itu mungkin merebak ke Sarawak.

"Kami hidup dalam suasana harmoni. Sungguh menyedihkan apabila perkara seperti ini berlaku kalau benar pun ia mempunyai kaitan dengan apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia. Pada pengetahuan kami, insiden ini mungkin tiada kena mengena dengan insiden di Lembah Klang," kata paderi Reverend Donald Juti ketika dihubungi dari sini.

Juti, yang mendapati tingkap kaca gereja itu pecah akibat dibaling beberapa biji bata pada pagi Ahad itu berkata, upacara sembahyang pada hari berkenaan berjalan seperti biasa sungguhpun beberapa penganut berasa takut dengan insiden yang berlaku.

"Oleh itu, keseluruhan khutbah pagi itu diisi dengan berdoa untuk keamanan serta melembutkan hati pelaku vandal dan segala-galanya berjalan lancar selepas itu," katanya.
Juti berkata, penduduk di Malaysia Timur sangat berupaya untuk saling memahami dan mengamalkan toleransi di sebalik perbezaan agama dan kaum, sesuatu yang telah lama berakar umbi dalam kalangan penduduk di Sarawak.

"Gereja ini, misalnya, terletak bersebelahan dengan sebuah masjid. Kami berjiran sejak sekian lama tanpa sebarang tanggapan negatif, sebaliknya menghormati dan bersaudara," katanya, sambil menambah Masjid An-Naim terletak disebelah gereja itu.
Malah katanya, imam Masjid An-Naim turut melawat ke gereja itu selepas mendapat tahu mengenai insiden membaling bata kerana sangat memahami bahawa perbuatan vandalisme itu tidak akan menimbulkan sebarang provokasi serangan terhadap mana-mana tempat ibadah seperti yang berlaku di sesetengah tempat.

"Persefahaman dan perasaan bersaudara dalam kalangan penganut Kristian setempat dan rakan mereka yang beragama Islam sangat dipelihara. "Hakikatnya, kami berbangga kerana Masjid An-Naim dan gereja ini terletak sebelah menyebelah satu bukti kepada persefahaman dan muhibbah yang sedia terjalin," katanya.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata, masyarakat di Malaysia Timur secara amnya tidak mudah dipengaruhi oleh provokasi seperti itu memandangkan penduduk di Sarawak terkenal dengan sikap toleransi mereka.
"Kita mungkin mempunyai beberapa perbezaan membabitkan pendapat tertentu namun masyarakat di sini sama sekali tidak akan beralih kepada tindakan seperti itu. Jika mereka cuba menimbulkan provokasi seperti itu, saya pasti masyarakat di sini akan bergabung tenaga dan menangkap mereka," katanya.

Malah Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Jamaluddin Ibrahim dilaporkan berkata, tiada sebarang kemungkinan bahawa perbuatan vandalisme itu ada kena mengena dengan insiden yang berlaku di Semenanjung Malaysia sungguhpun siasatan menyeluruh sedang dijalankan ketika ini."Tolong jangan buat sebarang spekulasi atau mengaitkan insiden ini dengan apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia memandangkan kami masih lagi menyiasat," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan