Beliau yang juga bekas Pengerusi Petronas berkata, apa yang dinyatakan pada ceramah di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV malam kelmarin adalah berdasarkan Akta Petroleum 1974 yang jelas memberikan hak tersebut kepada kerajaan Kelantan.
“Kalau dia (Rais) fikir begitu elok dia bawa ke mahkamah, saya tidak ada kuasa juga. Dia (Rais) tahu sejarah, saya tak tahu sejarah
“Saya bercakap apa yang diperuntukkan akta dan oleh perjanjian yang dibuat oleh Petronas dan kerajaan negeri dengan restu kerajaan Pusat diketika itu, ini yang dipakai sampai sekarang.
“Jadi kalau hendak selesai segala-gala di mahkamah maka tidak usah pakai apa-apa (undang-undang atau perjanjian), bawa ke mahkamah sajalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Rais bahawa isu tuntutan petroleum oleh kerajaan akan hanya dapat diselesaikan di mahkamah dan bukannya melalui ceramah di stadium.
Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai persetujuan untuk mengetuai kaukus petroleum yang dicadangkan pakatan pembangkang, Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana jawatankuasa tersebut akan turut disertai oleh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
“Saya tidak menetapkan sebarang syarat. Saya cadang hendak terima jawatan itu tetapi belum buat keputusan lagi kerana saya kena bercakap dengan ahli-ahli Parlimen terutama dari negeri-negeri yang mengeluarkan minyak supaya ada perwakilan dari mereka, barang kali dua orang dari satu negeri.
“Kebanyakan negeri ini diwakili oleh ahli Parlimen BN tetapi kita tidak kira sangat kecuali Kelantan yang tidak dalam kalangan BN.
“Kalau dikira bilangan majoritinya adalah dari BN jadi tidak ada apa nak ditakut bukan hendak buat keputusan, ini bukan kerajaan tetapi kita nak bincang saja,” katanya.
Menurut beliau, kaukus tersebut tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tidak mendapat persetujuan daripada ahli-ahli Parlimen dari BN dan pembangkang.
Jelasnya, ia bukan sahaja membincangkan mengenai royalti tetapi juga kedudukan ekonomi negeri-negeri di seluruh negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan