Jumaat, 5 Februari 2010

PERAK: NIZAR KALAHKAN ZAMBRY



Terbukti Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin terus mendapat sokongan dari rakyat negeri Perak 'mengalahkan' perampas kuasa, Zambry Abdul Kadir. Tinjauan terbaru Merdeka Centre ke atas 805 rakyat Perak yang terdiri dari 382 Melayu, 330 Cina dan 93 India menunjukkan 46 % menyokong Nizar, hanya 44 % menyatakan sokongan kepada Zambry.


Bagi kaum Cina pula 59% menyokong Nizar, hanya 16 % mengampu Zambry. Sementara di kalangan Melayu, 67 % mengampu Zambry dan 37 % menyokong Nizar. Keputusan kajian ini benar-benar memberikan tamparan hebat kepada Zambry yang sentiasa bangga diri menyatakan rakyat Perak sudah kembali menyokong BN kerana kebijaksanaan BN memerintah negeri Perak.


Kalau anak jantan sila bubar DUN Perak sekarang.

Selasa, 2 Februari 2010

KALAU UMNO NAK MARAH, MARAHLAH- KU LI




KUALA LUMPUR, Mantan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah tidak bermasalah biarpun Umno mahu mengambil tindakan terhadapnya ekoran sokongannya kepada kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak.

Beliau berkata, sokongan terhadap kerajaan Kelantan dibuat berdasarkan undang-undang bahawa Kelantan berhak mendapat royalti seperti perjanjian yang dibuat dengan Petronas.
"Saya tidak kisah, saya buat keputusan ikut apa yang benar berdasarkan undang-undang bukan nafsu, kalau Umno nak marah, marah lah.

"Dengan Mahathir pun saya berani lawan, saya tidak takut siapa,” katanya berseloroh.

Isu hak Kelantan mendapat royalti juga, jelasnya tidak perlu dipolemikkan dan tidak perlu dijadikan isu kerana ianya telah diselesaikan pada tahun 1974 lagi sewaktu beliau menjadi Pengerusi Petronas. Asas penubuhan Petronas, jelasnya adalah untuk menyatupadukan rakyat di Malaysia bagi mengekalkan satu Persekutuan.

"Apabila saya dipilih menjadi Pengerusi Petronas, berundinglah dengan semua kerajaan negeri dan ketua-ketua kerajaan negeri. "Kita buat perjanjian, kerajaan negeri perlu serah hak minyak kepada Petronas selama-lamanya, dan kalau Petronas dapat sahaja minyak, Petronas kena bayar lima peratus walaupun dua sen sekalipun, wajib dibayar," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam pertemuan sewaktu kunjungan hormat Dewan Pemuda PAS Pusat ke kediamannya, di sini. Tengku Razaleigh adalah satu-satunya pemimpin Umno yang menyokong usaha kerajaan Kelantan mendapatkan hak royalti.

Beliau pada 28 Januari lalu juga telah memenuhi jemputan kerajaan negeri bagi menjelaskan kedudukan tuntutan tersebut kepada rakyat negeri itu. Ekoran sokongan kepada kerajaan PAS Kelantan itu, Umno berkemungkinan akan mengambil tindakan terhadap Razaleigh yang Ketua Umno Bahagian Gua Musang.

Ditanya, sama ada beliau sedang diperalat parti pembangkang, beliau menolak dakwaan tersebut. "Saya bukan alat mana-mana pihak sama ada pembangkang ataupun kerajaan, saya hanya alat rakyat," katanya.

DSAI MOHON SEMAKAN SEMULA, TANGGUH PROSIDING



Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memfailkan permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuannya bagi mendapatkan lebih dokumen dan bukti-bukti untuk membuat persiapan menghadapi perbicaraan kes liwat terhadapnya.

Beliau juga turut memfailkan permohonan di mahkamah yang sama untuk menangguh, dan untuk menemui Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, bagi mendapatkan tarikh awal pendengaran semakan semula itu.Peguam Sankara Nair berkata, permohonan tersebut telah difailkan di Mahkamah Persekutuan pada kira-kira jam 8.40 pagi tadi.“Kami perlu memfailkan permohonan semakan semula kerana tanpa dokumen-dokumen tersebut, tangan kami terikat dalam membuat persiapan menghadapi kes ini,” katanya.

Peguam Karpal Singh yang turut mewakili Anwar kemudiannya memberitahu Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah bahawa pihak pembela telah membuat permohonan tersebut dan mahu menemui ketua hakim negara berhubung semakan semula keputusan Jumaat lalu dan juga menangguhkan prosiding kes liwat Anwar."Kami mahu mendapatkan tarikh awal pendengaran semakan semula tersebut. Jika ketua hakim negara tidak membenarkan semakan semula dan penangguhan tersebut, maka kami akan teruskan dengan permohonan penangguhan lain, yang difailkan di mahkamah ini dan perbicaraan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Peguamcara Negara 11, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden tidak membantah permohonan tersebut.Hakim Datuk Mohd Zabidin kemudiannya membenarkan prosiding ditangguh sehingga jam 2.30 petang ini, untuk mendengar hujah-hujah berhubung perkara tersebut.Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan juga turut menolak rayuan Anwar untuk mendapatkan lebih banyak bukti dari pihak pendakwaraya seperti rakaman CCTV, nota doktor, senarai saksi dan kenyataan hemat saksi.Dalam afidavit sokongannya, Anwar berkata Mahkamah Persekutuan - sebagai mahkamah tertinggi di negara ini - mempunyai kuasa untuk mendengar dan menyemak keputusan awalnya.Menurut Anwar, beliau tidak diberi keadilan oleh Mahkamah Persekutuan yang didakwanya tidak memberi pertimbangan secukupnya terhadap rayuannya itu, kerana dokumen dan bahan-bahan tersebut, amat penting dalam menyedia pembelaannya.

LAUNGAN "REFORMASI" BERGEMA LAGI DI MAHKAMAH


KUALA LUMPUR, 2 Feb: Laungan reformasi kedua bergema di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini apabila perbicaraan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula.
Anwar yang diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan anak-anak tiba di perkarangan mahkamah dengan disambut ratusan orang termasuk para pemimpin PKR, PAS dan DAP.Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut tiba kira-kira jam 9.15 pagi sejurus selepas Anwar masuk ke dalam mahkamah.


Sejak jam 9 pagi tadi lagi, lebih dua ribu rakyat bersama-sama pemimpin Pakatan Rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat berhimpun di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk memberi sokongan moral kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka yang hadir kelihatan mengangkat beberapa sepanduk bertulis Perhimpunan Bantah Fitnah ke-2, Bebas Anwar dan Rakyat Bersatu Tolak Fitnah Terhadap Anwar, sambil melaungkan reformasi’ iaitu suatu slogan keramat seperti era Reformasi 1998 lalu.


Mengisi pentas bantah, Bendahari PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli menyeru rakyat yang hadir supaya bersedia menempuhi gelombang reformasi kedua. Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai mengulangi ucapan yang pernah ditegaskan oleh bekas Presiden PAS, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor, "bukan kerana dia Anwar, sesiapa pun yang difitnah, Islam menyeru kita menentang kezaliman".


Sebelum itu, Ketua Strategik PKR, Tian Chua menganggap tuduhan liwat Mohd Saiful Bukhari Azlan yang dialami Anwar mengulangi drama fitnah pada tahun 1997 lalu. "Kita harap rakyat sekali kagi akan bangkit sama seperti 'drama 1997' lalu," jelasnya.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu tidak menolak kemungkinan bahawa perbicaraan kes Anwar yang bermula pada hari ini akan mencetuskan kesedaran rakyat dan reformasi kali yang kedua. "Kita telah menyaksikan suatu kes dakwaan fitnah ke atas Anwar yang sudah tentu akan membangkitkan gelombang kesedaran rakyat kedua," jelasnya di lobi mahkamah.


Sejam kemudian, kelihatan Anwar keluar dari kandang perbicaraan lalu menuju ke anjung bantahan. "Saya masih mempertikai motif polis memanggil isteri saya untuk memberi keterangan beberapa hari lalu, sedangkan dakwaan sudah berlangsung hari ini," kata Anwar.


Anwar turut merakamkan penghargaan kepada rakyat kerana sudi menyertai 'Gelombang Reformasi ke-2' bersama-samanya, sebagaimana waktu beliau disingkirkan sebagai Timbalan Perdana Menteri atas dakwaan liwat yang berunsur fitnah.


Jelasnya lagi, perbicaraan kesnya akan bersambung pada jam 2.30 petang ini. Mendengar gelombang 'reformasi' tali menali oleh satu kelompok kepada satu kelompok yang lain, mengingatkan Harakahdaily pada peristiwa reformasi sedekad yang lalu.

KENYATAAN MEDIA : CABARAN ZAMBRY TIDAK MASUK AKAL


18 Safar 1431HTarikh 9 Februari makin dekat dan menyebabkan debaran semakin terasa khusnya kepada mereka yang cintakan keadilan dan kemakmuran bagi negeri Perak tercinta.Selain itu tidak kurang dengan yang menggelabah dan "hilang kewarasan" bila tarikh itu kian menghampiri. Khususnya kepada pemimpin UMNO di Perak semacam ada satu gelombang ketakutan menunggu tarikh tersebut dan keluarlah kenyataan yang macam-macam dan tidak masuk akal.Termasuklah Menteri Besar Kudeta Perak , Dr Zambry Abdul Kadir apabila kelmarin beliau tapa berfikir panjang telah mencabar Menteri Besar Rakyat Perak ,Hj. Mohammad Nizar Jamaluddin dan 27 lagi ADUN Pakatan Rakyat supaya mengosongkan kerusi mereka bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan di 28 kerusi DUN tersebut di Perak.

Tanpa berfikir panjang beliau mengatakan kami tidak perlu teragak-agak untuk mengosongkan kerusi DUN masing-masing sekiranya mereka benar-benar yakin bahawa sebahagian besar rakyat Perak teguh menyokong Pakatan Rakyat.Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas diwawancara dalam program Setahun Melayari Arus di studio Perak FM di sini Isnin.Zambry juga menegaskan bahawa kerajaan kudeta Barisan Nasional (BN) tidak akan membubarkan DUN bagi membolehkan satu pilihan raya negeri semula diadakan seperti yang dikehendaki oleh pembangkang.Sehubungan dengan itu kami suka untuk menyatakan pendirian kami dalam kenyataan media ini :

1. Kenyataan MB Kudeta tersebut adalah tidak masuk akal, kebudak-budakan dan mempamirkan kebodohan dan sikap tidak menghormati undang-undang yang sedia ada. Tidakkah Zambry faham bahawa persoalan bubar DUN yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat adalah secara keseluruhan dan melibatkan semua ADUN. mencabar kami ADUN PR untuk meletakkan jawatan hanyalah kenyataan orang yang ketakutan dan sayangkan kerusi sendiri.

2. Sebenarnya sekiranya BN berani mencabar Pakatan Rakyat sebenarnya Zambry juga mestilah berani untuk tampil sebagai jaguh untuk sedia menerima saranan banyak pihak termsuklah dari pimpinan BN sendiri supaya membubarkan DUN Perak. Sekiranya DUN Perak dibubarkan barulah jantan namanya dan semua pihak akan diuji adakah diterima atau ditolak oleh rakyat.

3. Selain itu kami juga ingin mempersoalkan siapakah yang telah mempengaruhi SPR sehingga melakukan keputusan dengan menolak permohonan Speaker V. Sivakumar bagi mengosongkan DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang. Malah seperti kenyataan kami sebelum ini, inilah "ibu segala maksiat" yang mnyebabkan krisis di Perak jadi "haru bitu". SPR telah bertindak diluat bidang tugasnya dengan mempertikaikan surat perletakan jawatan 3 katak dan jelas semacam dia telah dipengaruhi oleh pihak lain.

4. Kerana itu kalaulah isu mengosongkan DUN itu dianggap penting BN mestilah berani untuk bertanding di 3 DUN tersebut. Tambahan pula ianya akan menjimatkan perbelanjaan seperti yang digembar-gemburkan oleh BN.

5. Kenyataan Zambry juga menampakkan BN yang terus berdegil untuk mempertahankan kuasa haram yang dirampas sejak 6 Februari 2009. Kami rasa ianya tidak mengejutkan kerana itulah yang rakyat sedia maklum.

6. Apapun alasan dan kenyataan adalah berpunca dari kerakusan dan jenayah BN yang merampas kuasa di Perak. Maka bersempena dengan setahun tragedi rampasan kuasa itu pada 6 Februari ini , kami dengan ini menyeru kepada seluruh rakyat Perak untuk terus bertenang dan mendoakan sesuatu kebaikan dan rahmat yang Allah akan anugerahkan kepada Negeri Perak yang kita cintai.KENYATAAN MEDIA/ 2 Februari 2010.

ANWAR AKAN SAPENA NAJIB, ROSMAH JADI SAKSI


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah meminta peguamnya, Karpal Singh supaya mensapena Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Rosmah Mansor untuk menjadi saksi dalam kes liwat terhadapnya. Anwar yang juga ketua umum PKR berkata, beliau mempunyai bukti untuk menunjukkan bahawa Mohd Saiful Bukhari Azlan, telah menemui Rosmah dan kemudian Najib, dua hari sebelum membuat laporan polis."Kita mahu tahu pembabitan Rosmah dan Najib dalam hal ini."Mereka tidak menafikan pertemuan tersebut dan kita mahu tahu," katanya. Kemudiannya, ketika berucap kepada penyokongnya, Anwar berkata: "Biar mereka datang buat penjelasan apa yang sebenarnya berlaku."Mereka mesti hadir jelaskan keadaan," katanya.


Anwar mengakhiri ucapannya dengan laungan bersama penyokongnya "lawan tetap lawan". Pada Julai 2008, Najib yang ketika itu merupakan timbalan perdana menteri, mengakui bahawa Saiful adalah menemuinya di kediamannya beberapa hari sebelum membuat laporan polis.Najib mendakwa beliau telah menasihatkan Saiful supaya membuat laporan polis tetapi menafikan beliau terbabit dalam konspirasi terhadap Anwar.Sebelum itu, Najib telah mengakui bahawa beliau juga telah bertemu dengan Saiful di pejabatnya di Putrajaya.Saiful, bekas pelajar Universiti Tenaga (UNITEN), ketika itu mahu mendapatkan bantuan Najib untuk memperolehi biasiswa kerajaan.

Ahad, 31 Januari 2010

PENJARA DSAI, RUNTUH PAKATAN?


Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan fitnah dari media arus perdana secara konsisten terhadap dirinya adalah antara usaha untuk meruntuh Pakatan Rakyat (Pakatan) yang baru-baru ini mengeluarkan “Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

“Fitnah yang dipintal membuktikan pimpinan umno-barisan nasional bersungguh-sungguh mahukan saya dihumban ke dalam penjara. Siang malam media yang dikongkong mengolah propaganda bertujuan merasuk minda dan nurani rakyat. Saya digambarkan kononnya takut berhadapan dengan mahkamah dan sengaja melengah-lengahkan perbicaraan,“ tulisnya.

Lagi, janganlah kerana nak mengampu, integriti dan maruah diri digadaikan. Apa yang saya dan barisan peguam pembela lakukan adalah untuk menuntut keadilan dilaksanakan sepenuhnya. Kami menuntut satu proses perbicaraan yang adil serta bebas.

“Kelihatannya serangan bertali arus dan usaha memenjarakan saya bertujuan memporak perandakan Pakatan Rakyat. Namun mereka lupa, ikatan yang mengikat perjuangan Pakatan Rakyat berasaskan kemahuan dan cita-cita membawa Perubahan kepada negara ini.”Anwar berkata demikian di dalam blognya, Anwar Ibrahim Blog.

Dalam entry yang bertajuk “Tekad Mengharungi Gelombang Fitnah” itu juga Anwar turut mempersoalkan tindakan pihak pendakwa yang tidak menyerahkan bukti pendakwaan.Tulisnya mempertikaikan pihak pendakwaan, keengganan pihak pendakwa menyerahkan dokumen serta bukti sesuai dengan peruntukan seksyen 51A Kanun Acara Jenayah menzahirkan hasrat mereka untuk menjadikan perbicaraan ini umpama satu serangan hendap, sedangkan ini bersalahan dengan prinsip kedaulatan undang-undang yang menuntut agar kes ini dibicarakan secara adil.”

KU LI CABAR RAIS BAWA KE MAHKAMAH



KOTA BHARU 30 Jan. – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mempersoalkan kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang meminta kerajaan Pas Kelantan membawa isu tuntutan royalti minyak ke mahkamah.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Petronas berkata, apa yang dinyatakan pada ceramah di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV malam kelmarin adalah berdasarkan Akta Petroleum 1974 yang jelas memberikan hak tersebut kepada kerajaan Kelantan.

“Kalau dia (Rais) fikir begitu elok dia bawa ke mahkamah, saya tidak ada kuasa juga. Dia (Rais) tahu sejarah, saya tak tahu sejarah

“Saya bercakap apa yang diperuntukkan akta dan oleh perjanjian yang dibuat oleh Petronas dan kerajaan negeri dengan restu kerajaan Pusat diketika itu, ini yang dipakai sampai sekarang.

“Jadi kalau hendak selesai segala-gala di mahkamah maka tidak usah pakai apa-apa (undang-undang atau perjanjian), bawa ke mahkamah sajalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Rais bahawa isu tuntutan petroleum oleh kerajaan akan hanya dapat diselesaikan di mahkamah dan bukannya melalui ceramah di stadium.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai persetujuan untuk mengetuai kaukus petroleum yang dicadangkan pakatan pembangkang, Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana jawatankuasa tersebut akan turut disertai oleh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak menetapkan sebarang syarat. Saya cadang hendak terima jawatan itu tetapi belum buat keputusan lagi kerana saya kena bercakap dengan ahli-ahli Parlimen terutama dari negeri-negeri yang mengeluarkan minyak supaya ada perwakilan dari mereka, barang kali dua orang dari satu negeri.

“Kebanyakan negeri ini diwakili oleh ahli Parlimen BN tetapi kita tidak kira sangat kecuali Kelantan yang tidak dalam kalangan BN.

“Kalau dikira bilangan majoritinya adalah dari BN jadi tidak ada apa nak ditakut bukan hendak buat keputusan, ini bukan kerajaan tetapi kita nak bincang saja,” katanya.

Menurut beliau, kaukus tersebut tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tidak mendapat persetujuan daripada ahli-ahli Parlimen dari BN dan pembangkang.

Jelasnya, ia bukan sahaja membincangkan mengenai royalti tetapi juga kedudukan ekonomi negeri-negeri di seluruh negara.

Khamis, 28 Januari 2010

PERMOHONAN KJ SAMAN FITNAH ANWAR PADA 19 MAC




Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 19 Mac untuk mendengar permohonan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk mengenepikan penghakiman ingkar yang diperoleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman fitnah.
Penolong Pendaftar Kanan A Kaveetha menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas berjumpa dengan peguam yang mewakili Anwar, Wan Anuar Shadat dan peguam yang mewakili Khairy, K Vasanthi.

Pada 4 Dis, 2008, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Anwar bagi mengemukakan penghakiman ingkar terhadap Khairy apabila beliau gagal memasukkan kehadiran di mahkamah selepas writ saman diserahkan kepadanya. Khairy memfailkan permohonan pada 20 Feb, 2009 untuk mengenepikan perintah itu.

Anwar, 63, memfailkan saman itu pada 7 Sept, 2007 mendakwa Khairy, yang ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno telah memfitnahnya pada Ogos 2007 pada satu majlis politik di Kuala Kangsar, Perak.Anwar, yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), menyatakan kenyataan memfitnah yang dibuat oleh Khairy telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik di negara ini pada 3 Ogos, 2007.

Beliau mendakwa kenyataan Khairy itu menggambarkan yang beliau seorang ahli politik yang tidak boleh dipercayai oleh orang Melayu, yang tidak mementingkan perjuangan orang Melayu dan hak mereka, dan bahawa beliau sanggup mengkhianati perjuangan dan hak orang Melayu semata-mata untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu di negara ini.
Beliau juga berkata Khairy telah membuat kenyataan itu untuk memberi gambaran yang beliau (Anwar) merupakan ejen politik kepada Amerika Syarikat dan Yahudi, dan juga bertujuan memusnahkan kerjaya politiknya.

Beliau mendakwa Khairy mempunyai niat jahat apabila mengeluarkan kenyataan itu yang semuanya adalah bohong, tidak berasas dan tidak benar. Selain memohon ganti rugi am, teruk dan teladan serta faedah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah, Anwar juga memohon injunksi untuk menghalang Khairy, atau ejennya