Ahad, 25 April 2010

PRK HULU SELANGOR : HARI INI TENTUKAN CORAK NEGARA SELEPAS PRU 13










Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghentikan mesyuarat kabinetnya lebih awal dari biasa. Beliau memberikan alasan mahu berehat sebelum terus ke kawasan Hulu Selangor untuk berkempen. Dalam mesyuarat itu, beliau memberitahu kabinetnya, BN akan menang dalam pilihan raya kecil ini.

Hari ini, Najib turun ke beberapa kampung baru yang dikuasai MCA untuk bertemu dengan masyarakat Cina di sana. Ini ekoran kebimbangan beliau dengan patern pengundian di kalangan orang Cina. Beliau juga turut turun ke kampung tradisional Melayu yang dianggap kubu Umno.
Zentrum Future Studies Malaysia memberikan 78 peratus undi Cina memihak kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ini. Kajian Zentrum menunjukkan 61 peratus masyarakat Melayu memilih BN manakala sokongan kaum India adalah sebanyak 54 peratus.

Hasilnya, badan yang dipimpin oleh Dr Abu Hassan Hasbullah ini menjangkakan PKR akan menang dalam pilihan raya ini dengan mendapat 51.7 peratus dan BN 48.3 peratus. Ini keputusan pada dua hari sebelum mengundi iaitu pada 23 April.

Sebelum itu, Zentrun memberikan kemenangan kepada BN antara 63 hingga 54 peratus sehingga pada 23 April kajian Zentrun menunjukkan PKR akan menang.

Dengan data-data itu, tidak terkejut kalau Najib terpaksa turun ke kawasan-kawasan pengundi Cina untuk cuba mendapatkan balik hati mereka yang telah lari meninggalkan BN. Dalam salah satu ucapannya, beliau berkata, kerajaan mengiktiraf sumbangan orang Cina dalam bangunkan negara ini. Ia tidak pernah dibuat Najib sebelum ini.

Di pihak PKR pula, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘senyum hingga ke telinga’ malam tadi selepas sehari suntuk berkempen. Beliau mengakhirkan kempennya di Felda Sungai Tengi, kawasan pengundi Melayu yang akan menentukan samada mereka akan mendapat sokongan pengundi Melayu atau tidak. 100 meter dari dataran tempat Anwar berkempen, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkempen.

Ketika minum teh tarik bersama Mazlan Aliman dan Suhaimi Said, kedua-duanya pakar tentang Felda, gelak ketawa sentiasa mengiringi perbualan mereka lambang kegembiraan hati Anwar dan lain-lain dengan perkembangan baik yang memihak kepada mereka.
Malam tadi, dataran Felda itu penuh sesak dengan manusia. Yang menariknya, lebih 70 peratus dijangka penduduk Felda sendiri dan kebanyakan mereka adalah golongan muda atau apa yang dinamakan sebagai generasi kedua Felda.

Anwar berceramah di pentas Himpunan Peneroka Felda Kebangsaan ke 2 anjuran Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang dipimpin Mazlan. Pagi ini, Mursyidul Am PAS juga turun ke situ. Beliau merasmikan himpunan itu pagi ini. Petangnya pula, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid pula memberikan ucapan penutup.

Semua usaha ini dibuat untuk mendapatkan undi Melayu. Pengarah Operasi pilihan raya PAS kali ini, Jamulidin Elias berkata, mereka berjaya meningkatkan undi Melayu kali ini.
Dari hanya 37 peratus, Jamal menjangkakan calon Pakatan Datuk Zaid Ibrahim akan mendapat sekurang-kurangnya 40 peratus dalam pilihan raya ini. Namun ia masih rendah dari sasaran 43 peratus sebelum ini.

Bilik Gerakan PAS yang dikendalikan beliau mencatatkan sokongan 65 peratus pengundi Cina dan 55 peratus pengundi India untuk Pakatan. Bagi Jamal, beliau memberikan beberapa isu yang memihak kepada Pakatan. “Di kawasan Melayu, BN tidak naikkan poster calon mereka, yang banyak poster Najib 1 Malaysia. Isu hubungan Tok Guru dengan Zaid dan kini Tok Guru datang untuk kempen juga memberikan impak yang besar kepada Pakatan, kata Jamal.
Dengan perkembangan terbaru ini, Jamal menjangkakan calon Pakatan akan menang sekitar 550 undi jika peratus keluar mengundi adalah 75 peratus esok. Namun beliau bimbang kalau-kalau peratusan keluar mengundi lebih tinggi.

Bacaan PKR berbeza dengan bacaan Jamal. Bagi Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail, lebih banyak peratus keluar mengundi, lebih baik untuk Pakatan.
“Kalau peratus keluar mengundi lebih 80 peratus, ia lebih baik untuk kita kerana ramai yang belum membuat keputusan sekarang dan keputusan baru nampaknya condong kepada kita,” kata beliau.

Menurut Saifudin, “BN kata mereka yang menang, kajian sampling dan servey kita pula menunjukkan kita yang menang selepas kita berjaya mendapat 43 peratus sokongan pengundi Melayu.”

Bagi Saifudin, kajian yang mereka buat mendapati, patern Hulu Selangor jauh berbeza dengan Bagan Pinang kerana di sana dari awal lagi pengundi membayangkan mereka bersama Isa Samad. Namun di sini, sokongan nampaknya seimbang.
“Ketika mereka menerima 1 Malaysia, mereka juga menerima program MES yang dianjurkan kerajaan negeri Selangor. 30 peratus rating untuk Najib, dalam masa yang sama Tan Sri Khalid juga mendapat rating yang hampir sama,” beritahu Saifudin.
Dengan masing-masing pihak berkata mereka menang, pilihan raya esok sangat menarik. Lapan jam terakhir menjelang tengah malam ini sangat bermakna sebelum tempoh kempen tamat jam 12 malam.

Pakatan memberikan fokus kepada majlis Nik Aziz yang akan sekali lagi ke Sungai Tengi malam ini, manakala BN akan datang dengan pelbagai jenis bantuan dan sokongan untuk pengundi. Tekanan BN terhadap media melambangkan kebimbangan mereka. Sekatan terhadap NTV7 hingga salah seorang penerbitnya meletakkan jawataan dan tindakan ‘gam’ terhadap Dr Abu Hassan Hasbulah dari keluar mana-mana stesen tv melambangkan kegusaran ini.
Yang pasti, pilihan raya ini akan memberikan kesan besar kepada rupa bentuk politik negara khasnya pilihan raya umum ke 13. Pemimpin Pakatan Rakyat pimpinan Anwar menjanjikan rupabentuk berbeza negara berbanding dengan apa yang kita ada sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan