Jumaat, 16 April 2010

PRK HULU SELANGOR : PAKATAN RAKYAT TERUS MARA MEMBAWA PERUBAHAN




















Menjelang pilihan raya pastinya ada usaha untuk memburukkan muafakat utuh Pakatan Rakyat. Tohmahan sebagai pengkhianat bangsa dan negara dihamburkan tanpa sebarang asas dan bukti. Pakatan Rakyat digambarkan oleh media yang dikongkong seolah-seolah retak menunggu belah. Namun apa yang terjadi sebaliknya. Permuafakatan ini dari hari demi hari semakin erat, kukuh dan berkeyakinan untuk membawa Perubahan.

Lalu pihak lawan tidak dapat tidak terpaksa menggunakan muslihat kotor hatta mengkhianati hasrat Rakyat. Maka kita lihat ada dari kalangan kita akhirnya menyerah kepada muslihat tersebut.

Namun pernahkah kita merasa kecewa kerana pengkhianatan itu? Pastinya tidak. Mengapa harus bersedih demi mereka yang tercicir dari perjuangan!

Ya, kita kehilangan kerusi baik di parlimen atau di dewan undangan negeri, namun tidak sedikitpun ianya menggoncang keyakinan kita. Kita sedar rakyat marah melihat gelagat murahan gerombolan para pelompat itu.

Akan tetapi kita mara terus, berbekalkan doa dan iltizam demi memastikan kemaslahatan bangsa serta negara, ujian serta cobaan diharungi.

Ini tidak menjadi alasan kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk menafikan tanggungjawab selepas diberi mandat. Kami memikul tanggungjawab tersebut. Janji kami calon selepas ini pastinya berkebolehan dan sedia berbakti dengan ikhlas.

Makanya Pilihanraya Kecil Hulu Selangor menjadi bukti tekad dan janji kami itu; calon Pakatan Rakyat merupakan mantan menteri yang meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan penggunaan ISA.

Oleh itu kepada pendokong Pakatan Rakyat pastikan kemenangan di Hulu Selangor. Tunjukkan kepada pimpinan Umno-Bn bahawa muslihat mereka sudah tidak mengejutkan apatah lagi mampu menggoncang keyakinan perjuangan.
Malah Umno-Bn sewajarnya gusar kerana hayat mereka semakin pendek akibat pengkhianatan demi pengkhianatan terhadap rakyat dan negara.

Demi mengampu Amerika Syarikat, pentadbiran sekarang kelu membisu berkaitan senjata nuklear Israel, sanggup bekerjasama di Afghanistan tatkala umat Islam terbunuh saban hari dan masih membenarkan syarikat perunding Apco yang ada kaitan jelas dengan individu-individu dari Agensi Perisikan Israel sehinggakan berpotensi mengancam keselamatan negara. Saya yakin rakyat akan membuat keputusan untuk menolak pentadbiran yang bermuka-muka.

Anwar Ibrahim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan