Sabtu, 3 April 2010

TAWARAN JAWATAN MB SATU PEMBOHONGAN ZAMBRY



KUALA LUMPUR 3 Apr - Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata dakwaan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bahawa beliau pernah ditawarkan jawatan Menteri Besar oleh Ketua Pembangkang selepas pilihan raya umum 2008 adalah satu pembohongan untuk mengalihkan isu Umno Perak yang tidak menyokong beliau.

Nizar berkata beliau telah mengesahkan perkara ini dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menafikan dakwaan Zambry tersebut di dalam Parlimen Rabu lalu.

"Saya fikir ini satu daripada taktik pembohongan oleh Zambry kerana kami sendiri 'confirm' dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan tidak ada sebarang tawaran. Kalaulah ada sekali pun ramai lagi calon yang lebih layak dan hebat darpada dia.

"Yang kedua Umno Perak ada krisis dalaman, mereka tidak bersetuju dengan Zambry, jadi apabila disebut ada tawaran sekaligus maka seolah-olah dialah calon yang paling baik sekali untuk menduduki jawatan itu. Faktor ketiga dia sebut perkara itu untuk mententeramkan dan barangkali nak sampaikan mesej kepada Najib bahawa dia pernah ditawarkan jawatan itu," kata Nizar kepada Suara Keadilan di Parlimen Khamis lalu.

Nizar menambah tindakan Zambry mengada-adakan cerita beliau di tawar menjadi Menteri Besar oleh Pakatan Rakyat adalah kerana beliau mahu menutup kegagalan beliau mengendalikan sidang Dewan Undangan Perak pada 30 dan 31 mac lalu dengan baik dan mengikut peraturan.

"Itulah cara dia nak alihkan pandangan daripada krisis sidang Dewan Undangan Negeri Perak di mana dia sebagai Menteri Besar yang dilantik oleh mahkamah serta Speaker haram dengan kehadiran polis di dalam dan luar Dewan masih tidak boleh mengendalikan persidangan. Ini menunjukkan sikap pengecut dan penakut Zambry," kata beliau lagi.

Ditanya mengenai tindakan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat meninggalkan sidang Dewan pada hari kedua, Nizar berkata ini adalah kerana Zambry dan Speaker haram Datuk R. Ganesan telah mengenepikan Perintah Tetap.

"Pertamanya Perintah Tetap telahpun diketepikan, tidak dipatuhi dan dihormati. Kedua dalam agenda persidangan tidak dinyatakan agenda untuk membahaskan Titah Ucapan Tuanku jadi apabila kita tanya adakah perbahasan hendak diadakan, Zambry, Ganesan tidak jawab dan ini satu perkara yang kita rasa mesti dijelaskan.

"Kalau ada perbahasan kita akan buat persiapan dan sememangnya kita telah buat persiapan. Ketiga kita tanya boleh ke persidangan ini dilanjutkan sampai lima hari kerana belum pernah lagi sejak rampasan kuasa persidangan berlarutan, yang ada sebelum ini tidak sampai dua, tiga jam. Jadi kami mahu persidangan yang lebih adil supaya kami boleh bersuara berkenaan tuntutan rakyat dan adakan lima hari, itupun tidak dijawab. Apabila kami melihat pembesar suara kami ditutup, Perintah Tetap dibuang begitu sahaja, tidak dihormati maka kami tidak ada pilihan lain dan pukul 11 pagi kami terpaksa keluar," jelas Nizar dengan panjang lebar.Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata tindakan mengadakan sidang DUN Perak hanya selama lima jam menunjukkan sikap bacul Zambry.

"Untuk membincangkan masalah negeri Perak dengan 59 Ahli Dewan Undangan Negeri tidak sampai lima jam, ini menunjukkan sikap pengecut, penakut dan rakus kuasa. Lima jam itu digunakan sebagai satu gimik dan retorik untuk 'bulldoze' apa yang mereka nak luluskan termasuk undang-undang, kertas-kertas statute bagi mengiyakan Zambry sebagai Menteri Besar dan Ganesan sebagai Speaker, digunakan DUN untuk mengesahkan mereka, itu saja," tambah beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan