Rabu, 7 April 2010

"TEGURAN KAMI BERASAS"



SHAH ALAM – Pengerusi Badan Pemantau Pilihan Raya (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh menyifatkan teguran badan itu terhadap tindakan Barisan Nasional (BN) meluluskan pelbagai projek di Hulu Selangor sebagai berkempen sebelum hari pengundian pilihan raya kecil Parlimen bermula adalah berasas.

Katanya, teguran tersebut selari dengan fungsi dan peranan badan itu dan tetap melakukan sama terhadap mana-mana pihak yang melakukan perkara sama tanpa memihak kepada sesiapapun.

“Kami adalah badan bebas yang tidak terikat dengan mana-mana pihak dan tidak bersikap pilih kasih dalam melaporkan kesalahan.

“Laporan kami berdasarkan pemerhatian yang dilaksanakan dengan tidak mengehadkannya terhadap pihak tertentu sahaja,” katanya kepada :Sinar Harian, :semalam.

Menurutnya, Mafrel sedia bekerjasama dengan setiap pihak, termasuk parti politik, tanpa melibatkan elemen politik dalam setiap laporannya.

Kelmarin, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar menggesa SPR mengkaji semula peranan Mafrel sebagai pemantau pilihan raya yang dilihat sebagai alat kepada pembangkang dan didakwa bersikap tidak bebas dalam menyatakan pandangannya.

Syed Ibrahim turut mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berhubung laporan pilihan raya kecil (PRK) yang gagal dihantar badan bebas itu.

Katanya, sebahagian tuduhan tersebut tidak benar kerana mereka telah menghantar laporan PRK Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai.

“Sebahagian PRK itu berlangsung secara berturutan dan masih dalam proses untuk diteliti.

“Kami akan menyiapkan laporan tersebut sebelum PRK Hulu Selangor,” katanya.

Beliau berkata, Mafrel sedia berkongsi maklumat kerana terdapat kejayaan yang diperoleh berdasarkan cadangannya dan dilaksanakan SPR.

Abdul Aziz kelmarin, mendakwa Mafrel gagal menghantar laporan sembilan PRK yang berlangsung sebelum ini dan kecewa penggunaan media sebagai saluran untuk mengkritik SPR.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan