Khamis, 15 April 2010

PRK HULU SELANGOR : ZAID LETAK JAWATAN MENTERI LAWAN ISA





















BATANG KALI 15 Apr - Calon Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim berkata tindakan beliau meletakkan jawatan Kabinet adalah berdasarkan prinsip menentang penyalahgunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan memperjuangkan hak rakyat Malaysia yang ditindas di bawah akta zalim itu.
"Saya tegaskan bahawa kerajaan tidak boleh perintah dengan menggunakan akta yang zalim, tak boleh tahan orang tanpa sebab, tak boleh guna mahkamah untuk kepentingan politik dan tak boleh guna undang-undang zalim terhadap rakyat.
"Saya dipecat sebab saya tulis surat terbuka kepada Perdana Menteri mengingatkan janji Tunku Abdul Rahman pada tahun 1960-an bagaimana ISA digunakan. ISA bukan untuk tahan sesiapa tetapi untuk komunis.
"Saya ada prinsip politik, kalau tak ada prinsip tegas bagaimana nak bela rakyat? Sudah sampai masa rakyat pilih calon yang ada rekod perjuangan dan tak boleh dibeli dengan kuasa dan wang ringgit," tegas Zaid ketika menemui lebih 3,000 pengundi dan penyokong di Dewan Datuk Abd Hamid, Taman Ligamas, Bandar Utama Batang Kali semalam.
Majlis Penerangan itu turut di hadiri Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam serta Ketua Penerangan PAS PUsat, Idris Ahmad.
Zaid juga berjanji untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi penduduk Hulu Selangor sekiranya dipilih mewakili kawasan itu Parlimen 25 April depan.
"Walaupun saya tinggal di Petaling Jaya hampir 30 tahun, saya bolaehlah dikira sebagai orang Selangor. Saya faham benar masalah rakyat Hulu Selangor.
"Selama 18 tahun BN wakili Hulu Selangor masih tidak boleh selesaikan masalah geran tanah rakyat di sini, tidak ada pelaburan yang di bawa. Apakah pengundi masih mahu percaya kepada BN?
Ketika berucap di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Buaya kemudian, Zaid berkata beliau bersedia mendedahkan kekayaannya dan mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta seluruh anggota barisan tertinggi kerajaan melakukan langkah yang sama.
Cabaran itu dibuat selepas Muhyiddin mendakwa Zaid dipilih sebagai calon Pakatan Rakyat kerana kekayaan beliau, dan bukannya kemampuan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Sebahagian anggota Kabinet menentang idea mengisytiharkan harta ketika berkhidmat di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Jadi saya akan dedahkan harta, jika mereka berbuat demikian,” kata beliau di hadapan lebih 300 penyokong.
Zaid juga menafikan dakwaan beliau mempunyai rumah di Dubai, London dan Australia berikutan kekayaan luar biasa yang dimilikinya.
“Saya berharap ia betul, tetapi saya hanya ada rumah di Kota Bharu, yang dibeli 15 tahun lalu dan sebuah lagi di Petaling Jaya,” jelas beliau.
Zaid diumumkan sebagai calon Pakatan Rakyat oleh Anwar pada satu majlis di Serendah Selasa lalu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan